Puan Samsiah (http://samsiahmohdnor.blogspot.com/) , izinkan saya berkongsi cerpen puan di sini. Saya suka sangat cerpen nih. Ia berjaya mencuri perhatian saya untuk membacanya perkataan demi perkataan dari patah yang pertama sehingga ke penamat.
ARKIB : 09/05/2010
-mula-
Ombak di Kamar Sukma
Di mana ada ombak, di situlah tempatnya pantai.
"Ada ombak yang tak perlukan pantai," ujar Suri Abadi.
"Adakah pantai yang tak perlukan ombak? tanya pula Fard Fahim.
1
Seperti seekor rama-rama yang berkepak-kepak, mencari kelopak madu, begitulah aku, mengintai taman-taman inderaloka dan akhirnya kutemukan sebuah taman - taman gharib. Usai pencarianku. Di kelopak sekuntum bunga derdap - kelopak yang tidak bermadu, kelopak yang tidak berbau, kupilih untuk kubina sebuah kamar. Dan aku bermukim di situ. Di taman gharib yang bunga-bunganya tidak bermadu dan tidak berbau. Hanya putih memutih tanpa warna-warni. Menghuni bersama mereka yang tidak mengerti. Tak betah berfikir apatah lagi mentafsir. Lantas untuk jatuh cinta jauh sekali.
Taman ini bukan untuk orang jatuh cinta. Kerana mereka tak kenal erti cinta maka aku berada di sini. Mustahil aku akan jatuh cinta pada mereka yang tak mengerti ini. Sementelah cintaku pada seorang arjuna telah kupusarakan lima tahun sudah sebelum aku ke sini. Cukuplah sekali dan sekali itu cukup. Kini, biarlah cintaku tumpah hanya pada yang khaliq. Biarlah cintaku jatuh pada manusia manusia di sini, cinta pada kebajikan, cinta pada kasih sayang. Itu lebih afdal.
Dari laman bunga-bungaan, kuselusuri ruang anjung yang mengadap segara nan luas. Masuk saja, suara zikir yang pada setiap masa diputarkan menerusi pemain cakera menusuk ke telingaku. Indah alunannya! Di situlah tempatku kalau tiada 'tetamu'. Aku senang berdiri di sisi anjung rumah limas Pahang ihsan Seri Paduka Perempuan Pahang yang berjirankan pesisir pantai diiringi desir ombak hijau biru Laut Cina Selatan. Di sinilah duniaku dan dunia penghuni yang gersang dan kontang menumpang sebelum hijrah kami ke negeri baqa.
Telefon bimbit di dalam poket seluar uniformku bergetar.
"Hello Kak Suri, kejap lagi kakak ada tetamu baru," suara manja misi Aminah menerjah terowong telingaku.
"Oh, mana?"
"Dia masih di Kamar Terapi. Warisnya di pejabat. Dr. Roslya kata dalam masa 15 minit lagi tetamu akan sampai di Kamar Sukma."
Langkahku laju ke Kamar Sukma. Lazimnya begitulah tatacara teratak ini menerima tetamu. Sebelum tetamu ditemukan denganku, mereka terlebih dulu dibawa ke Kamar Terapi untuk diperiksa status kesihatan mental, emosi dan fizikal sebelum dikelaskan ke kamar-kamar tertentu. Rata-rata tetamu yang dibawa ke Teratak Jiwa Luhur adalah tetamu yang koyak emosinya tetapi tidak berbahaya pada tetamu-tetamu lain. Setakat ini tetamu yang sampai ke kamarku, Kamar Sukma tidak sampai sepuluh orang.
"Dari mana?" tanpa niat aku bertanya pada misi Aminah yang berdiri menunggu tetamu di celahan pintu yang dibuka suku, menghulurkan sebuah fail kepadaku.
"Bandar Baru Bangi."
"Oh!" Dadaku berombak.
"Siapa?" dalam debar masih berani kulontarkan tanya.
"Seorang bekas jurutera"
"Jurutera?" Kali kedua jantungku berdetak bagai menyampaikan petanda.
Pintu yang tadinya terkuak sudah dibuka lebar. Aku turut berdiri mahu menyambut tetamu baru dengan sehiris fikir yang menyambar kenangan.
Belum pun habis sejuring fikir kutelaah, jantungku yang tadinya berdetak mendadak terhenti demi terlihat sesosok tubuh, berdiri tidak jauh dariku. Aku sesak.
"Fard!!!" Hanya itu yang termonolog di dinding dadaku. Aku seperti mahu tumbang tapi segera kupaut pada siku meja di sisi.
Seorang wanita menyusul di belakangnya, melemparkan selengkung senyum. Hadirnya, menggalang dan menunda segala perasaan yang berbuku di jiwaku. Tinggal kami bertiga kini setelah pintu kamar ditutup.
"Saya baru tahu tentang tempat ini dari Dr. Darwis. Kalau lebih awal saya tahu kewujudannya, sudah lama saya bawa suami saya, Fard ke sini," Seawal bicara, aku bebaskan wanita bernama Ria untuk bercerita segalanya. Aku hanya mampu jadi pendengar. Sesekali aku menjeling pada lelaki kaku yang kosong pandangan. Paling penting, aku ingin tahu apa sebenarnya yang terjadi pada Fard Fahim.
"Lima tahun yang lalu. Dia pulang ke rumah- murung. Dia pendiam dan kami jarang berkomunikasi, jadi saya terlepas pandang perubahan Fard. Sehinggalah suatu hari saya dihubungi teman sepejabatnya memaklumkan situasi Fard. Ketika itu keadaannya sudah agak kritikal," Ria menyisir air yang terbit dari tubir matanya. Dia menahan emosi dan sepuasnya aku melahap wajahnya. Wajah seorang isteri yang suaminya pernah menjadi kekasihku. Malangnya Ria tidak pernah tahu akan kewujudanku di gelanggang hidup Fard Fahim.
"Dia banyak bermonolog kala bersendiri. Dia berbisik menyebut ombak berulangkali."
Aduhai Ria, tidakkah kau tahu ombak itu adalah aku? Meleleh laraku.
"Seorang pakar psikologi, Dr Emin Mai menasihati saya membawanya ke pantai bertemu ombak, saya membawanya," Ria galak bercerita tanpa menyedari gelora yang menikam-nikam sukma perempuanku.
"Dia menjerit marahkan saya. Katanya bukan ombak itu yang dia mahu... saya kira dia mahu ombak di tempat lain. Sudahnya berpuluh-puluh pantai saya bawa Fard tapi tidak ada satu ombak pun yang dapat menenangkannya."
Air mataku tidak mampu diampung. Berjerih kulepaskan. Kerana Ria juga menangis, dia tidak pedulikan air mataku yang menyaingi kesedihannya. Ria tidak tahu bagaimana rupanya ombak yang melanda hatiku saat itu.
"Klimaks, Fard tidak lagi bercakap. Dia hanya menyebut ombak. Dr. Emin Mai menjelaskan Fard jadi begitu bermula dengan kemurungan. Saya tidak tahu punca kemurungannya dan awalnya, sayajuga tak pernah ambil tahu." Ria menundukkan wajah seolah-olah menyalahi dirinya. Dia angkat muka seketika kemudian. Bergayut pada sisa kekuatan, dia menyambung, "Dr Emin Mai juga yang mengusulkan saya menempatkan Fard di hospital mental yang berdekatan dengan laut. Alhamdulillah saya bertemu Teratak Jiwa Luhur ini… mudah-mudahan Fard akan sembuh." Doa qudus Ria sebelum pergi. Dan kenangan silam melambai.
11
Katanya aku ombak yang sombong, keras kepala dan pentingkan diri. Sedang dirinya adalah pantai yang reda, yang menerima aku seadanya tanpa syarat.
Keningku terangkat menyanggahi tuduhannya yang melulu. "Kau yang tak pernah memahami hati seorang perempuan." Rahang bujurku terjungkit memberi alamat bahang marahku sudah pun mendarat di kepala.
"Semua bicaraku mencetuskan kemarahanmu, apa saja cakapku tak pernah betul. Semua salah." Fard Fahim tidak mengalah. Matanya jatuh ke tangan yang menguliti pasir di kaki yang kemudiannya berpindah ke dada ombak. Ombak yang bergulung-gulung siap untuk menerjah. "Tempat kau melempias dan meledakkan segala amarahanmu," sambungnya.
Siapa yang marah siapa sebenarnya? Aduhai Fard Fahim belum lagi 'bertemu' dan belum kenal erti sebenar kemarahanku. Aku akan diam dan terus pergi kalau marahku memuncak. Itu yang Fard Fahim tidak tahu.
"Segala kesakitan dan kegersangan hatimu kau hamburkan padaku. Kau hempaskan semuanya di dada pantai ini," Fard Fahim berkias lagi. Aduhai begitu jahat diriku. Menjadikan dirinya seumpama pantai. Dan akulah ombak yang baru saja menerjah pantai yang kaku. Tapi Fard tidak sedar, dia jadikan aku seperti layang-layang yang tidak diumpamakan. Dibiarkan aku berlegar-legar di udara dan ada tikanya disentapnya aku sewaktu tali rinduku tersangkut di rantingan pohon ru. Aduh sakit sekali hingga rabak kertas jiwaku.
Sesudah mati pertelingkahan kami, si dia yang mentafsir dirinya seumpama pantai kerenungi dari sisi. Fard Fahim ini kutemukan secara tidak sengaja meski katanya dia sudah lama menemukan aku.
"Di celah anak-anak, aku mula mendengar tentangmu, di antara kaum ibu, ayah dan guru aku melihat dan aku berkesempatan menegurmu tapi kau sering hilang dalam bayang-bayang tika senja menggapai. Kesempatan tipis buatku tinggal bayang. Sehingga lama betul masa yang kuperlukan untuk kudekatimu," itu kata Fard Fahim pada awal pertemuan kami. Di gigi pantai. Ombak jadi saksi pertemuan kami. Ya, antara berani dan takut Fard mengejarku padahal dia tidak boleh berbuat begitu. Kenapa? Kerana Fard sudah beristeri. Pun begitu, Fard Fahim tak jemu menagih kasihku. Aku jadi buntu. Mana mungkin. Ini mainan cinta larangan. Aku tak boleh bersama Fard Fahim walaupun kami sering bersama di dada pantai, di depan ombak yang bergelinjang. Seingatku, dalam banyak pertemuan, lebih berbalah daripada berkasih-sayang. Lebih bertelingkah daripada berindu dendam.
"Apa pun berlaku kau tetap buah mataku," tekan Fard bila kucetuskan status dirinya.
"Buah mata?" Soalku.
"Kekasihku, nyawaku, hidupku," ulas Fard Fahim.
Kekasih? Gila! Aku dan dia lebih banyak bertingkah kata, berselisih makna. Lebih dari itu, Fard sudah punya isteri.
"Aku tidak bahagia bersamanya," bukan pertama kali Fard Fahim menyatakan begitu tapi sudah berpuluh-puluh kali.
"Tapi kau masih suaminya."
"Dia memang isteriku tapi dia perempuan yang tidak mengerti."
Aku tertawa sinis. Anehnya Fard Fahim turut tertawa. Ketawanya lagi besar. Ada kepelikan. Lalu kususur anak matanya. Yang kulihat di situ ada bening. Kenapa selama ini tidak kusedari? Dari bening itu kusuluh kecelaruan. Kubaca sedetik anak matanya.
Lelaki ini hidup dalam keliru. Jiwanya keliru. Batinnya terganggu. Itu warna wataknya yang kubaca. Selama ini aku berkelana dalam lautan kata dengan lelaki yang keliru.
111
"Oh kenangan itu menampar-namparku. Makin kuat tamparannya apabila di hadapanku kini adalah pantai yang kutinggalkan. Pantai yang sepi kelu setelah ombak pergi. Pantai yang bukan saja kehilangan ombak tapi pantai itu sendiri sudah infiniti.
Di Kamar Sukma, lelaki silam muncul semula dalam hidupku tapi muncul tanpa jiwa. Hanya jasadnya sahaja di situ. Di mana sukmanya di Kamar Sukma ini? Entah!
Kurenungi wajah lelaki di hadapanku bersungguh hati. Lelaki kurus berwajah kosong. Matanya kosong. Jiwanya kosong. Segala-galanya kosong. Adakah sekosong pantai yang ditinggalkan ombak seperti dakwanya dulu?
"Fard!" penuh syahdu kuseru nama itu. Dia tetap kaku sehingga aku dipalit sengsara. Manik-manik dosa membenihiku. Bergumpalan di laman dada sebelum mengocak emosi seorang kaunselor seperti aku. Air bening yang memutar-mutar dari rongga tidak bisa bisa kutahan, tak mampu kubendung. Tumpah. Bukan setetes tapi bertimba-timba. Biarkan Lelaki ini telah mengocak perasaanku mendadak. Perasaan yang selama ini diam dan sepi setelah aku tidak lagi menjadi ombak yang menari-nari di gigi pantai.
IV
"Satu hari aku tidak lagi menjadi ombak dan aku akan tingalkan kau," kuhunus sehiris ugutan padanya di suatu petang.
"Mana saja kau pergi aku akan ikut. Itu janjiku di hadapan segara ini," senyumnya melirik.
Senyumnya kubalas tapi malangnya dia tidak mengerti makna senyumku. Sebelum keluar dari hidupnya, sempat Fard Fahim kirimi aku sebuah bingkisan kata:
Mengapa sepi sekian lama
Jiwaku runtun hati berduka
Tidak lagi bertarung kata
Kusangka panas hingga ke senja
Apakan daya
Ribut dijiwa, hujan di mata
Kalau masih ada rasa cinta
Sudi kiranya hantar berita.
Bukan sahaja bingkisannya tidak berbalas, Seperti kabus aku muncul dan seperti kabus juga kuhilangkan diri.
V
Nah, di sekelilingku sekarang adalah mereka yang kabur. Seorang gadis manis di bangku memangku anak patung kaku. Setelah bayi tanpa ijab kabul dibuang, lantas bersepai tubuh kecil digonggong anjing, jiwa gadis itu juga berkecai. Lelaki muda dengan rambut ala Mawi tak henti bermenung menolak mata ke angkasa. Asalnya dia dipenjara kerana pecah amanah. Katanya, dia tidak bersalah. Setelah enam bulan terpenjara, akalnya hilang beransuran. Kesudahannya, dia di teratak ini, menyaingi mereka yang tidak berupaya menghidu manisnya dunia.
Paling melarakan atmaku tiap kali terpandangkan Fard Fahim. Bertemankan seorang petugas Fard Fahim menyelusuri laut mencari ombaknya.
"Saya tak tahu apa kaitannya kemurungan Fard dengan ombak, " kata Ria sewaktu kunjungannya yang kedua.
Hakikatnya hanya Tuhan yang tahu. Barangkali aku juga tahu. Cuma tidak kusangka lelaki itu begitu rapuh. Serapuh pantai di Taman Gelora yang sudah rebah lalu tidak berpantai lagi. Pantai Rebah dan kalah tidak tertanggung oleh hempasan ombak yang tak kenal lelah. Masakan Fard Fahim juga begitu?
Ah, aku jadi linglung memikirkan Fard Fahim. Tapi satu yang pasti. Fard Fahim mengotakan janjinya
"Mana saja kau pergi aku akan ikut. Itu janjiku di hadapan segara ini," Akhirnya dia dilayarkan ombak hingga sampai ke pangkuan "ombak" yang dicarinya. Namun situasinya sudah berbeza. Aku tidak bisa lagi bertarung kata dengannya. Dia tidak lagi perlu beribut di jiwa berhujan di mata. Sekosong matanya, kosong lagi jiwa raganya di kala menyelusuri pantai di sebelah ombak. Ya seperti katanya dulu pantai akan sentiasa berdamping dengan ombak. Cuma kini dirinya tidak lagi dirantai pantai dan ombak. Dia sudah dibebaskan. Bebas dari penderitaan raga. Di sini rumahnya kini. Bersama ombak di Kamar Sukma.
- tamat-
No comments:
Post a Comment