Tuesday, 22 June 2010

Maryam dan serangga di sinki

"Mama!!" suara Maryam memecah kesunyian malam.

Saya dan suami yang baru balik dari tHe Spring sedikit terperanjat. Ingatkan anak-anak semua dah tidur. Penting benarkah yang hendak dimaklumkan kepada saya sehingga dia sanggup menunggu sehingga saya balik.

"Mama, tadi kami terjumpa belalang," sambung Maryam lagi dengan wajah yang serius.

Saya tidak menghiraukan sangat celoteh Maryam dengan anggapan bahawa belalang tersebut telah lama terbang ke tempat lain. Saya terus ke dapur untuk menyediakan minuman untuk suami.

Maryam masih mengejar saya sehingga ke dapur. Mulutnya masih terus becok bercerita mengenai belalang yang dijumpai mereka adik beradik tadi.

Tiba-tiba semasa saya melintas ruangan tengah di antara dapur dan ruang makan, Maryam menarik tangan saya.

"Mama, cuba tengok," sambil tangannya menunjukkan ke arah sinki yang terletak berhampiran.

Memek wajahnya berkerut-kerut. Memang Maryam amat takut kepada hampir semua serangga. Dia akan meraung sekiranya ada serangga yang terbang menggila di dalam rumah.

Untuk menjaga hatinya saya menoleh ke arah sinki tetapi tidak melihat apa-apa yang pelik. Jelas tidak ada apa-apa di sana. Saya jenguk ke dalam sinki. Juga kosong. Saya intai di bawah cermin. Juga gagal menemui apa-apa.

"Mama tak nampak apa-apa pun," saya menjawab sambil tangan saya menghampiri ke arah sinki.

Cepa-cepat Maryam menarik tangan saya seolah-olah serangga itu masih di situ. Jarinya masih menunjuk ke arah sinki dengan yakin. Tapi hanya dari jauh.

Saya berasa hairan. Adakah Maryam terlalu fobia sehingga terbayang-bayang kehadiran serangga di sinki, hati saya tertanya sendiri.

Saya terus ke ruang makan untuk meneruskan kerja saya yang belum selesai. Cawan minuman panas di tangan perlu diletakkan ke meja dengan segera. Maryam tetap mengekori saya sambil menarik-narik tangan saya yang menyebabkan saya semakin risau.

"Belalang tu dah terbang agaknya,' saya cuba menerangkan keadaan sebenar kepada Maryam.

Namun Maryam enggan menerima penjelasan saya. Dia masih berkeras yang serangga tersebut masih ada di singki.

Sekali lagi saya menuju ke arah sinki. Sekadar untuk menyedapkan hati Maryam. Namun kali ini saya cuba melihat dari sudut pandangan Maryam. Saya membongkokkan badan dan meletakkan pandangan mata saya searas dengan Maryam yang baru berusia lima tahun itu.

Dan di sana, di dalam lubang kecil di sinki tempat air melimpah keluar bila penuh, saya melihat sebahagian kecil badan serangga tersebut dan sebelah sesungutnya. Badannya yang berwarna coklat gelap memang setona dengan suasana gelap di lubang tersebut.

Sekali pandang memang sukar untuk mengesannya. Tapi serangga itu memang ada di situ.

2 comments:

  1. adohh..terkial2 jak belalang ya...hehehe...itok ati maryam ngn belalang ya lok..

    ReplyDelete
  2. Hehe.. Bukan belalang pun... Suka2 jaknya madah ya belalang... :)...
    Belajar sesuatu malam tuk Mai.. Untuk memahami anak2 kita harus "merendahkan" diri kita searas dgn mereka.. :)

    ReplyDelete