Friday, 11 June 2010

Kenangan Ummi

Mari kita buat cerita pendek:

Suatu hari Hana terjumpa sekeping foto lama di celah lipatan kain yang tersusun kemas di dalam gobok pakaian ummi. Hati Hana berdebar-debar. Ummi tersenyum manja di samping seorang lelaki yang tidak Hana kenali.

"Ummi, Hana nak tanya sikit boleh tak?" Hana memberanikan diri mendekati Ummi.

Ummu mengalihkan tumpuannya dari monitor komputer. Ditatapnya wajah Hana dengan penuh kasih sayang. Hanya Hana tempat Ummi bergantung kasih. Kolam mata Hana yang seolah-olah mengalirkan rasa rindu Ummi kepada zaman silamnya yang manis.


Hana terdiam seketika. Hatinya masih teragak-agak untuk merungkai keliru di benaknya. Mungkinkah segalanya akan tetap seperti dulu. Hana kian gementar.

Namun rasa ingin tahunya mengatasi segala keraguan yang bersarang di kotak mindanya. Ummi masih menatap wajah Hana. Kertas pembentangan yang separuh siap untuk mesyuarat esok dibiarkannya begitu sahaja.

Ah... Tiada perkara yang lebih penting dari permata hatinya itu. Ummi sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan Hana bahagia. Detik hati Ummi. Matanya mengenyit ke arah Hana sebagai isyarat untuk Hana meneruskan pertanyaannya.

"Ummi jangan marah ya', Hana mula mengumpan perhatian Ummi.

Bimbang Hana Ummi akan berkecil hati dengan pertanyaan Hana. Siapa tahu yang foto itu adalah kenangan masa silam Ummi. Dan mungkin Ummi tidak suka orang lain menjenguk masa silamnya itu walaupun orang itu adalah Hana, anak tunggalnya.

"Siapa lelaki yang bersama Ummi dalam foto lama yang Ummi simpan tu?" Hana cepat-cepat meluahkan pertanyaannya sebelum keberaniannya lenyap meninggalkannya.

Wajah Ummi berubah serta-merta. Sinar matanya yang tadi ceria hilang ditelan awan duka. Ummi memalingkan wajahnya kembali menghadap monitor. Soalan yang disuakan Hana kepadanya berlalu tanpa sebarang jawapan.

Hati Hana kembali diziarah rasa bersalah. Sebal menyelubungi jiwanya. Mengapa dia tega mengetuk pintu rahsia yang kuncinya hanya dimiliki oleh Ummi. Masih tidak cukupkah kasih sayang yang Ummi curahkan kepadanya selama lima belas tahun tempohnya menghuni bumi Allah ini.

Perlahan-lahan Hana menghampiri Ummi. Didakapnya Ummi dengan erat. Diciumnya pipi Ummi. Dicapainya dua tangan Ummi lantas dikucupnya.

Tanpa bersuara Ummi membalas dakapan Hana. Lega hati Hana.

Dalam diam Hana bertekad. Dia tidak akan melukakan hati Ummi lagi walau apa cara sekalipun. Dan biarlah Ummi bahagia dengan kenangan silamnya. Kerana hanya kenangan silam yang Ummi miliki selain dari kasih sayang Hana yang tidak pernah padam.

++++++++++++++++Tamat+++++++++++++++++++++


2 comments:

  1. Mesti ada manis dan pahit 'kenangan ummi' tu kan? Harap2 banyak manis dari yang pahit :)

    Cantik bahasa, suka mak isah membaca :)

    ReplyDelete
  2. Thanks Mak Isah sudi baca...

    Saya ni berangan2 nak buat cerpen tapi belum mampu nak tulis betul2.. Jadi, cuba konon2 buat cerpen pendek... :)

    Tu yang kenangan Ummi tu belum dapat dirungkai lagi. Nanti suatu hari saya cuba nak kupas rahsia tu. Tapi kalau Mak Isah tahu apa rahsia dia, boleh lah sambungkan terus.. Mak Isah mesti banyak idea...

    Nanti2 kalau Mak Isah lapang, kita buat cerpen sambung2 nak?...

    ReplyDelete