Monday, 7 June 2010

Danish berjalan

Latihan Menulis:

======================================================
Lamunan Marina terhenti seketika. Pandangannya tertumpu pada Danish Aiman yang sedang merangkak dengan pantas. Sekali pandang tangan dan kakinya seolah-olah berlumba di antara satu sama lain. Mulutnya becok berbicara tanpa jelas buah butirnya.

"Danish, kejar bola tu", petah bicara Afiqah, puteri sulung Marina yang berumur lima tahun mengacah adiknya.

Merasakan terlalu lambat mengejar bola getah itu, Danish cuba untuk berjalan. Ditolaknya tangannya ke lantai. Sukar benar nampaknya Danish yang berusia setahun setengah itu hendak berdiri. Tangkas Afiqah bergerak ke arah Danish. Risau benar dia.

Ingatan Marina kembali menerawang. Semasa kelahiran Danish, Afiqahlah yang paling gembira menyambut kedatangan orang baru ke dalam keluarga kecil mereka. Dalam usianya yang amat memerlukan teman permainan, Danish tiba tepat pada masanya.

Marina tersentak apabila suara tangisan Danish memecah ketenangan petang. Marina bergegas menghampiri Danish. Wajah Danish merah padam. Afiqah di sebelahnya menggosok punggung Danish seolah-olah ingin membuang kesakitan yang dirasai Danish jauh-jauh.

Sejak kebelakangan ini Danish memang telah mula cuba untuk melangkahkan kakinya untuk berjalan. Namun ternyata keberanian belum terserlah di dalam dirinya. Ditambah lagi dengan kekerapannya terjatuh semasa percubaannya. Lantas, Danish kian takut untuk mencuba.

"Ah, belum sampai masanya untuk Danish untuk langkah pertamanya", desis Marina seolah-olah meyakinkan dirinya sendiri.

Kadangkala hati Marina digayut risau. Afiqah seusia itu telah mula belajar berlari. Memang Afiqah anak yang cergas. Mungkin kerana sifatnya sebagai anak sulung, dia sentiasa mencuba untuk memulakan sesuatu tanpa bantuan sesiapa.

Pernah disuarakannya kebimbangannya kepada Azman, suaminya. Namun Azman tidak banyak bicara.

"Perkembangan kanak-kanak berbeza antara satu sama lain", Azman cuba untuk melegakan kerisauan Marina.

Marina sebenarnya memang pernah terbaca mengenai perkara itu dalam majalah bimbingan keibubapaan yang dilanggannya setiap bulan. Menetap jauh dari keluarga dan saudara mara, Marina lebih banyak bergantung dengan bahan bacaan dalam membesarkan anak-anaknya.

"Tapi bang, takkan lah selambat ni. Saya bimbang ia merupakan salah satu tanda kepada tumbesaran Danish", Marina terus melayan kerisauannya.

Dan seperti kebiasaan, Azman akan membiarkan Marina dimamah resah. Memang dari mereka mula berkawan, Azman dan Marina amat berbeza dari segi perwatakan. Azman pendiam. Dia lebih suka berbicara perkara yang fakta. Marina pula lebih gemar berbicara. Dan pada masa yang sama, mudah risau terhadap perkara2 yang Azman anggap remeh-temeh. Namun, perbezaan itulah yang menyatukan mereka.

"Kata orang, kepelbagaian di antara pasangan suami isteri itulah sebenarnya keindahan dalam hidup berumahtangga" hati Marina berbisik.

Bibirnya dihias sekuntum senyuman. Wajah bersahaja Azman berlegar di kotak mindanya. Jurutera muda yang dikenalinya semasa mula-mula menginjak dunia kerjaya itu memang lelaki yang baik. Hati Marina yang sukar untuk diketuk oleh jejaka semenjak dari remaja akhirnya cair seperti salji yang dipancar sinar mentari.

Kerana hormat dan sayangnya pada Azman jualah Marina dengan hati yang rela mengucapkan selamat tinggal pada dunia kerjayanya. Jawatannya sebagai setiausaha syarikat yang menjanjikan pendapatan yang lumayan tidak sedikitpun mampu menggugat keputusannya untuk menumpukan perhatian kepada suami dan anak-anak.

===================================================

Setakat ni dulu. Sapa2 nak cuba sambung, amat dialu2kan.,..

Salam...

No comments:

Post a Comment