Showing posts with label Motivasi diri. Show all posts
Showing posts with label Motivasi diri. Show all posts

Sunday, 16 October 2011

Ikut resmi Sudoku

Assalamualaikum wb...

Akhir2 ni memang saya "ketagih" buat sudoku. Kalau dulu saya tak pandang pun Big Book of Sudoku yang suami belikan, sekarang asyik mengadap buku tu je. Dalam tu memang banyak sangat Sudoku dari pelbagai peringkat; yang paling senang hingga yang paling sukar. Tapi yang tak seronoknya, buku ni tebal sangat. Tak sesuai nak dibawa ke mana2.

Jadi malam tadi, bila keluarga singgah di MPH, saya beli dua buah buku Sudoku; yang susah dan yang sukar (Hard and Diabolical).

Bila dah kerap sangat mengadap Sudoku ni, saya terfikir pulak satu perkara.

Nikmat buat Sudoku ni ialah bila kita mengahadapi kesukaran semasa nak selesaikan Sudoku tu. Kalau kita dah selalu buat, mesti kita dah tak rasa seronok kalau buat yang peringkat mudah. Makin sukar, makin seronok. Dan yang paling seronok ialah  bila kita berjaya selesaikan Sudoku yang sukar tu.

Namun sebaliknya, keseronokan tu takkan lama, dan seterusnya kita akan mula nak selesaikan masalah yang seterusnya. Dan proses itu akan berulang- ulang.

Kenapa agaknya ya, kita suka kepada kesukaran atau dalam erti kata lain "cabaran"?.

Saya sendiri tak tahu jawapannya. Tapi saya rasa proses menyelesaikan masalah Sudoku tu sebenarnya tidak banyak bezanya dengan proses kita menangani cabaran kehidupan kita sendiri.

Justeru, setiap kali kita terserempak dengan cabaran2 dalam mengharungi kehidupan seharian, janganlah mudah berputus asa. Selesaikan satu persatu, kerana suatu hari nanti bila semua telah kembali tenang seperti sedia kala, kita akan menoleh ke belakang dan tersenyum kerana kita telah berjaya mengatasi cabaran- cabaran itu, dan itulah nikmat  kehidupan.

Wallahu a'lam...

Wednesday, 8 December 2010

Kempen mencintai Masjid

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah...

Sekembali dari bermusafir masih belum berkesempatan untuk memblog mengenai kembara tersebut... Secara ringkasnya memang seronok walaupun letih yang amat2... Banyak juga belajar dan muhasabah bagi kami suami isteri...

Entri kali ini sekadar ingin mengingati diri untuk menanam semangat dan niat untuk mencintai dan mendekati masjid...


Jangan setakat menunggu kelapangan untuk mendekati masjid tetapi cuba cari dan peruntukkan masa yang khas untuk mendekati dan memesrakan diri dengan masjid...

Semoga diberi kekuatan... Insya'Allah...

Thursday, 4 November 2010

Seram

Salam..

Pernah tak kita tonton cerita seram?... Mesti pernah, kan...

Selalunya "benda" ni bila menjelma konon2nya akan menjelma dalam bentuk yang cantik contohnya perempuan yang cantik. Lepas tu pulak akan ada watak "pakar" yang boleh tengok rupa asal "benda" ni yang menakutkan... (Kononnya..)

Kenapa saya cerita pasal ni?...

Sebenarnya saya terfikir mengenai konsep dunia yang sementara ni... Semuanya nampak indah2 belaka... Seronok... Sehingga rasa sayang nak ditinggalkan...

Tapi seandainya kita tahu tarikh akhir kita berada di dunia yang sementara ni, agaknya sama tak lagi nilai dunia ni di mata kita?...

Takde lah maksud saya ingatan kepada mati menyebabkan kita terus meninggalkan sepenuhnya urusan dunia, dan terus 24 jam berada di tikar sejadah...

Namun, kesedaran dengan hakikat kematian pasti akan menyedarkan kita bahawa kita tidak seharusnya bermatian2 mengejar dunia kerana semua itu akan ditinggalkan.

Malahan, kesedaran tentang hakikat kematian sepatutnya akan menjadikan kita insan yang lebih bertanggungjawab ke atas tugasan dunia kita. Hal ini kerana setiap tanggungjawab pasti dilaksanakan dengan segera kerana masa amat terhad.

Dan tanggungjawab di dunia yang tidak terlaksana dengan sempurna akan menyebabkan perjalanan di akhirat menjadi sukar.

Seperti kata penceramah di Radio Ikim pagi tadi, apa yang bakal kita hadapi di alam akhirat bergantung dengan cara kita hidup di dunia...

Wallahua'lam..

Salam..

Sunday, 31 October 2010

Bahagiakah saya?.

Salam...

Hujung minggu lepas saya "berdrama" dengan Fatihah.

Fatihah merupakan anak yang sulung, jadi banyak situasi saya bersamanya merupakan yang pertama. Mungkin kerana dia anak yang sulung, saya cenderung untuk mengharapkan yang terbaik darinya sejak mula.

Kerap, apabila timbul keadaan yang memerlukan saya menegurnya, saya akan "berceramah" seperti saya berbicara dengan orang yang lebih dewasa. Hasilnya, ia kembali kepada saya semula.

Maknanya, apabila Fatihah meluahkan perasaannya, dia akan menggunakan istilah2 yang "dewasa" seperti konsep kebahagiaan.

Jadi, hujung minggu lepas, apabila saya menegurnya, dia pun meluahkan "masalah"nya di sekolah yang menyebabkan dia tidak bahagia... Alamak... Saya pun mula menyusun ayat...

Hakikatnya, setiap kali saya "berceramah" dengan Fatihah, saya sebenarnya menegur diri saya sendiri... Kerana setiap apa yang saya luahkan, turut didengar oleh telinga saya sendiri.

Dan hari itu saya menyedari hakikat bahawa setiap individu telah dianugerahkan Allah dengan kebahagiaan. Namun, tidak semua yang menyedari hakikat itu dan mungkin saya salah seorang darinya.

Akibatnya, saya mungkin lebih cenderung untuk resah dengan masalah2 atau cabaran kehidupan yang saya hadapi. Lantas "mengizinkan" masalah2 dan cabaran2 tersebut menentukan arah tuju kebahagiaan hidup saya.

Sepatutnya saya mempergunakan sebaik2nya anugerah yang Allah berikan iaitu menentukan sendiri kebahagiaan hidup saya dan jangan memberi sebarang ruang untuk unsur2 luaran untuk menentukannya.

Hal inilah yang saya "drama"kan kepada Fatihah dan pada masa yang sama saya tujukan untuk diri sendiri.

Hargailah anugerah Allah dan pastikan kita sendiri yang mengawal erti kebahagiaan hidup dan jangan biarkan cabaran2 luaran mempengaruhi hidup kita.

Wallahua'lam...

Thursday, 28 October 2010

Koleksi Buku Motivasi HM Tuah Iskandar (Terpakai)

Salam..

Suami saya memang minat sangat kat tulisan HM Tuah Iskandar ni... Setiap buku memang dia tak miss... Saya pulak memang tak baca buku motivasi ni.. Tapi novel dia saya baca...

Bila suami saya tengok saya buat jualan online, dia tawarkan buku- buku koleksi ni untuk sesiapa yang berminat untuk dapatkan dengan harga yang murah...


Buat Sampai Jadi- HM Tuah Iskandar


Jangan Tidak- Tidak - HM Tuah Iskandar


Membina Cinta Sayang- HM Tuah Iskandar


Nak Jadi- Jadi- HM Tuah Iskandar


Sendiri Mau Ingat- HM Tuah Iskandar


Setiap buku berharga RM5.00 dan kos penghantaran RM5.00 sahaja untuk setiap buku. Boleh juga disatukan dengan pembelian buku novel kanak2 terpakai. tapi kalau 3 buku, kos penghantaran RM10 sahaja.

Mintak maaf di atas mutu gambar kerana ia diambil oleh jurugambar amatur (Maryam)... :)

Ada Bagus Bagusss - HM Tuah Iskandar

Membina Peribadi Anggun- Hm Tuah Iskandar


Jangan Main- Main- HM Tuah Iskandar

Membina Personaliti Terbilang- HM Tuah Iskandar



Stefa Isle- HM Tuah Iskandar

Selamat menjamu mata....

Salam..

Thursday, 5 August 2010

Alhamdulillahilladzi ahyana...

Juadah tengahari Juma'at

Ringkasan Segmen Motivasi Pagi Ikim.FM- 06.08.10


++++++++++++++++++++++++++++++

1. Peluang untuk meneruskan kehidupan sehari lagi merupakan anugerah berharga dari Allah. Sebab itu kita dianjurkan untuk membaca doa bangun tidur;

*****"• Sesudah Bangun Tidur Membaca Doa :

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى أَحْيَانَا بَعْدَمَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

alhamdulillahil ladzi ahyana ba’da ma amatana wailaihin nusyur

Artinya :
Segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepada Allah akan bangkit

Keterangan :

Doa ini berdasarkan hadits nabi yang saya ambil dari Riadust Shalihin :

عَنْ حُذَيْفَةَ وَأَبِىذَرٍّ رَضِىَاللّهُعَنْهُمَا قَالَ : كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَاأَوَى إِلىَ فِرَاشِهِ قَالَ : بِاسْمِكَ اللّهُمَّ أَحْيَاوَأَمُوتُ ، وَإِذَااسْتَيْقَظَ قَالَ : اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى أَحْيَانَا بَعْدَمَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ . رَوَاهُ الْبُخَارِىُّ

Artinya :
Hudzaifah r.a. dan Abu Dzarr keduanya berkata : Adalah Rasulullah saw. jika akan tidur membaca : bismikallahumma ahya wa amutu (Dengan nama-Mu ya Allah aku hidup dan mati), dan apabila bangun tidur membaca ; alhamdulillahil ladzi ahyana ba’da ma amatana wailaihin nusyur (Segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepada Allah akan bangkit). (Bukhari)"***********




2. Bayangkan sekiranya kita menerima sebungkus hadiah dari seseorang, kita akan begitu gembira dan akan terus menghubungi orang tersebut untuk mengucapkan terima kasih.

Jadi, apabila kita menerima anugerah hidup untuk sehari lagi dari Allah, apakah yang sepatutnya kita lakukan?.


3. Salah dari dari tanda terima kasih kita ialah bersyukur. Ia bermakna kita harus mengguna anugerah Allah untuk tujuan yang sepatutnya. Jadi, kita harus bertanggungjawab untuk mengguna peluang kehidupan itu dengan sebaik-baiknya.


++++++++++++++++++++++++++++++++++++++


**** Petikan mengenai doa bangun tidur dicopy dari laman web ini




Nota Pemblog:

WallahuA'lam. Besarnya nikmat bangun pagi setiap hari. Semoga kita sentiasa menghargainya dan memanfaatkan peluang hidup untuk sehari lagi. Bila sampai masanya, ajal tidak akan tertangguh walau sesaat dan tiada harta dunia yang mampu menganjaknya walau untuk sesaat.



Wednesday, 4 August 2010

Kebakaran

Petang semalam penghuni bangunan yang diduduki pejabat saya digemparkan oleh siren kecemasan.

Pada mulanya saya yang baru bersiap- siap nak ke surau untuk menunaikan solat Asar menganggap ia hanya amaran biasa. Maksudnya mungkin ada yang tertekan butang kecemasan pada lif secara tidak sengaja atau untuk main- main.

Namun saya mula panik bila tercium bau benda terbakar dan kelihatan asap keluar dari bahagian tangga. Beberapa orang rakan pejabat dari tingkat 9 (saya di tingkat 10) berlari naik dengan wajah pucat sambil memberitahu yang memang betul- betul berlaku kebakaran di bangunan 20 tingkat itu.

Saya terus berlari balik ke bilik saya untuk mengambil beg. Dalam kelam kabut saya hanya sempat mematikan suis elektrik utama. Saya dah tak kisah sama ada komputer dah ditutup secara teratur.

Yang kelakarnya, saya masih sempat mencapai novel "To kill a Mocking Bird" yang baru saya beli dan tak sempat lagi dibaca. Buku tu saya keluarkan dari beg sebelum tu sebab nak baca sewaktu turun makan tengahari.

Terfikir jugak saya dengan kereta saya. Tapi saya tak rasa saya sempat nak keluarkan kereta mengenangkan saya parkir di tingkat 6. Rasanya pada waktu tu, menyelamatkan nyawa lebih utama. Yang kesian, seorang rakan saya sedang sarat mengandung terpaksa turun tangga dari tingkat 10.

Alhamdulillah, lepas kira- kira 30 minit berdiri di luar bangunan dalam hujan gerimis, pihak bomba mengisytiharkan bangunan selamat untuk dimasukki semula. Baru pagi tadi saya dapat tahu yang kebakaran kecil tersebut berpunca dari puntung rokok yang dibuang dalam tong sampah. (Sabar je la...)

Walaupun kelakar dalam panik, banyak pengajaran yang saya perolehi:

1. Bila nyawa di penghujung, harta tidak lagi berharga
2. Saat itu, tiada lagi istilah gurau senda.
3. Bila- bila saja kita boleh dijemput maut.
4. Perlu sentiasa bersedia dengan "bekalan" yang cukup sebelum maut menjemput.

WallahuA'lam.

Sunday, 1 August 2010

Rahsia Kejayaan Puan Faiza ( Tokoh MaulidurRasul 2010)

Diperik dari Mingguan Malaysia, 1 Ogos 2010, muka surat 9
Tulisan: Arif Nizam Abdullah.

+++++++++++++++++++++++++++++++

Puan Faizah Bauwumi merupakan Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd, pembekal 21 jenama beras dan pengeluar pelbagai jenis rempah ratus di pasaran.

Apabila ditanya rahsia kejayaan beliau, jawapan Puan Faizah ialah:


1. Niat yang betul

- Niat beliau berniaga bukan hendak menjadi kaya raya tetapi untuk membantu seramai mungkin ahli masyarakat melalui rezeki yang diperolehinya. Syarikat beliau merupakan salah satu pembayar zakat terbanyak di Malaysia.


2. Solat Dhuha dan Surah Al-Waqiah

- Puan Faiza mengamalkan Solat Dhuha dan membaca surah Al-Waqiah setiap hari agar tidak ditimpa papa.

++++++++++++++++++++++++++++++++++


Nota Penulis:

- Solat Dhuha merupa solat sunat dua rakaat yang dilakukan pada waktu pagi selepas matahari terbit dan sebelum matahari tegak di kepala. Waktu yang sesuai adalah sekitar pukul 10 pagi.

- Surah Al-Waqiah adalah surah yang ke 56 yang terdiri dari 96 ayat yang pendek-pendek. Kita boleh menamat satu surah tersebut dalam masa kurant dari 15 minit.

Friday, 30 July 2010

Imam Muda (Peringkat Akhir)

Malam ini Siri Imam Muda akan melangkah ke gerbang penamat.

Pada hakikatnya, peringkat akhir bukanlan untuk mencari pemenang. Menurut Pengetua, semua yang menyertai (malahan yang tidak terpilih) memang telah layak menjadi Imam.

Namun, pastinya tujuan utama program ini sebenarnya untuk membuka mata masyarakat bahawa masih banyak peranan yang boleh dimainkan oleh remaja masa kini selain dari menjadi selebriti program hiburan.

Dan supaya kita lebih berfikiran positif bahawa masih ada harapan untuk kita melihat generasi anak- anak kita menikmati kehidupan sejahtera dari segi fizikal, moral dan rohani.

Yang pentingnya sekarang ialah untuk setiap anggota masyarakat memainkan peranan dengan terancang dan berkesan untuk memastikan persekitaran di mana anak-anak kita membesar terpelihara dari unsur- unsur negatif.

Kita harus bijak untuk memanfaatkan semua sumber maklumat seperti televisyen, radio, akhbar dan internet supaya "memihak" ke arah yang kita inginkan.

Sebagai contoh, berbanding dengan 10 tahun lepas, hari ini telah banyak program televisyen dan radio dirangka seiring dengan pembangunan insan seperti yang dihidangkan oleh Radio IKIM dan Astro Oasis.

Pada sisi lain, lambakan majalah dan akhbar yang menawarkan maklumat membina berupaya membantu kita dalam pembentukan generasi baru yang mampan. Majalah seperti Solusi dan Anis (Sekadar menyebut beberapa nama) adalah beberapa nama yang boleh diberi perhatian.

Secara ringkasnya, saya menyimpan harapan positif untuk angkatan baru yang disertai oleh anak-anak saya akan tetap utuh dan terpelihara untuk menjadi pelapis masyarakat Islam masa hadapan.

Thursday, 29 July 2010

Mari le berekreasi dan beriadhah...

Ringkasan Segmen Motivasi Pagi, IKIM.fm, 30 Julai 2010 (Ustaz Hasrizal Abdul Jamil)

Nota: Saya hanya sempat mendengar di pertengahan segmen, jadi saya catatkan setakat yang mampu.


1. Iman menurun dan menaik

Hadis Nabi S.A.W mengenai Sahabah bernama Hanzalah yang menganggap dirinya munafik kerana Imannya yang menaik semasa di Majlis Nabi SAW tetapi menurun semula apabila berada di tempat lain. Nabi SAW bersabda bahawa seandainya Iman seseorang itu sentiasa sama sahaja dalam semua keadaan, para Malaikat pun akan berjabat tangan dengannya (tabik spring kata penceramah).

Menurut Nabi SAW, Iman seseorang itu secara biasanya sebagai manusia akan turun naik mengikut keadaan. Tetapi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha meningkatkan tahap Iman kita.

(Riwayat Muslim, saya akan cuba dapatkan maklumat terperinci mengenai hadith ini, Insya'Allah)

2. 4 aktiviti yang tidak dianggap membazir oleh Nabi SAW walaupun secara kasarnya seperti tidak mendatangkan faedah
  1. Aktiviti berulang- alik melepaskan anak panah dan mengambilnya semula dari papan sasar
  2. Aktiviti berlatih menunggang kuda
  3. Aktiviti bersenang-senang dengan pasangan dan anak2/ ibu bapa
  4. Aktiviti berenang
3. Wajib mengambil berat mengenai kesihatan

Islam menggalakkan bersukan dan berekreaksi bersama keluarga untuk menjaga kesihatan badan dan pada masa yang sama mengekalkan kebahagiaaan rumah tangga.

4. Nabi SAW turut berekreasi bersama isteri

Semasa dalam perjalanan ke suatu tempat bersama Saiditina Aisyah dan sahabah2 yang lain, Nabi SAW telah menyuruh Sahabah berjalan di depan dan meninggalkan Baginda SAW di belakang rombongan.

Kemudian, Nabi SAW dan Saiditina Aisyah telah menggunakan masa tersebut untuk berlumba lari sesama sendiri.

++++++++++++++++++++++++++++++++

Wallahua'lam

Sunday, 25 July 2010

Nisfu Syaaban (dipetik dari emel)

Dipetik dari e-mel:

+++++++++++++++++++++++++

Assalamualaikum w.b.t...

Untuk makluman…sekadar ingat & mengingatkan..!

Malam Nisfu Sya'aban 1431H akan tiba pada hari Isnin (26hb.Julai 2010) malam
Selasa ( sebaik saja masuk maghrib), dimana bermulanya 15 Sya'aban 1431H.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mengambil masa keemasan ini untuk menutup
catatan amal ibadah kita kpd Allah dengan baik dan seterusnya berazam untuk
memperbaiki diri kita untuk catatan yang baru.
Riwayat yang muktabar menyatakan Hari Nisfu Sya'aban adalah hari dimana buku
catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku
catatan yang baru.


Berikut adalah antara amal ibadah yang digalakkan di hari Nisfu Sya'aban:
1. Selepas solat maghrib (15 Sya'aban 1431H, Isnin malam Selasa)
Solat sunat nisfu sya'aban, 2 rakaat
Rakaat 1 : baca Al-Fatihah & surah Al-Qadar 1x
Rakaat 2 : baca Al-Fatihah & surah Al-Ikhlas 3x
2. Membaca Yasin 3x selepas solat Maghrib(15 Sya'aban 1431H, Isnin malam Selasa)
i) Selepas Yasin pertama : mohon dipanjangkan umur untuk beribadat kepada Allah
ii) Selepas Yasin kedua : mohon rezeki yang halal untuk beribadat kepada Allah
iii) Selepas Yasin ketiga : mohon ditetapkan iman dan Islam & mati di dalam iman &
pohonlah segala yang baik dan munafaat.
Kemudian baca Istighfar 11x & selawat 11x
Baca doa Nisfu Sya'aban (ada didalam Yasin Majmuk)
3. Baca surah al-Ikhlas 1000x
4. Berpuasa pada siangnya)
Abul Khair Al Talaqaani r.a. mengira nama2 malam Nisfu Syaaban sebanyak 22.
Antaranya yg termasyhur adalah:
1. Malam Dimustajabkan Doa
2. Malam Pembahagian Takdir
3. Malam Rahmat
4. Malam Berkat
5. Malam Pengampunan (Taubat)
6. Malam Penebusan
7. Malam Syafaat
8. Malam Penulisan
9. Malam Keagungan dan Kemuliaan
10. Malam Rezeki
11. Malam Hari Raya Para Malaikat
12. Malam Penghidupan

Antara kelebihan bulan Sya'aban:
1. Sesiapa berpuasa sehari dalam bulan Sya'aban maka Allah haramkan tubuhnya dari api neraka dan dia akan menjadi teman kpd nabi Allah Yusof d ida lam syurga.
2. Riwayat dari Osman Bin Abi Al-As, Sabda Nabi Muhammad (saw)
: pada malam nisfu sya'aban setelah berlalu 1/3 malamnya, Allah turun ke langit dunia lalu berfirman : adakah orang-orang yang meminta maka Aku perkenankan permintannya, adakah orang yang meminta ampun maka aku ampunkannya, adakah orang yang bertaubat maka aku terima taubatnya dan diampunkan semua orang mukmin lelaki & perempuan , melainkan orang yang berz ina atau orang yang berdendam marah hatinya kepada saudaranya.
Sebaik-baiknya minta ampun dengan ibubapa sebelum hari nisfu sya'aban kerana amalan kita akan terhalang dari diangkat ke langit sekiranya kita derhaka/berdosa dengan ibubapa kita.
Wallahua'alam

Wassalam.

+++++++++++++++++++++++++++

Mulut Laser tapi Hati Baik...

Penceramah kat IKIM.fm kata:

"Buah limau kalau diperah akan mengeluarkan air limau"

Maknanya buah limau kalau diperah takkan mengeluarkan madu.

Fikir-fikirkan sempena menyambut Ramadhan yang bakal berkunjung sedikit masa lagi.

Friday, 23 July 2010

Anjakan Paradigma

Minggu lepas saya telah diarahkan untuk menghadiri bengkel membangun semula (Redevelopment) sistem kewangan jabatan. Ia boleh dianggap sebuah bengkel yang intensif kerana ia dijalankan selama 3 hari bermula pukul 8.30 pagi dan tamat pada pukul 10 malam setiap hari.

Tujuan utama bengkel adalah untuk mengenalpasti pelbagai masalah yang wujud dalam perlaksanaan sistem semasa dan cuba untuk memasukkan penyelesaiannya di dalam sistem baru.

Sebagai pengguna utama kepada sistem tersebut, saya adalah di antara kumpulan sasar yang "diperah otak" (brainstorm) untuk mendapatkan sebanyak input yang boleh. Memang betul-betul "taufan" kepala saya terutama pada dua hari pertama bengkel tersebut. Sampaikan ahli kumpulan saya sengih2 je bila tengok air muka saya berkerut seperti dipukul ribut.

Yang nak dikongsi saya sebenarnya ialah walaupun saya rasa betul2 tertekan waktu bengkel tersebut, tetapi sebaliknya selepas kembali semula ke pejabat, timbul satu perasaan yang berbeza.

Saya rasa lega sangat. Dan saya melihat beban kerja melalui "kaca mata" yang lebih positif. Sehingga hari ini saya masih "feel good" dan lebih yakin untuk melaksanakan tugas rasmi harian.

Kenapa agaknya ya?. Mungkin sesi "brainstorm" yang saya lalui hari tu telah menganjak sistem berfikir saya ke aras yang baru yang sebelum ini saya tak mampu nak capai melalui tekanan biasa... Agaknyalah...

WallahuA'lam...

Thursday, 22 July 2010

Go for it....

Kelemahan saya; saya sukar nak berbicara di hadapan orang ramai.

Saya rasa hal ini berlaku kerana rasa rendah diri terhadap keupayaan diri sendiri. Buktinya saya akan menggeletar tahap teruk setiap kali berucap di khalayak ramai. Tapi kali ni saya tak nak cerita pasal tu sebab kalau mula, payah nak berhenti.

Pada mesyuarat jabatan saya yang lepas saya telah diamanahkan untuk melaksanakan satu program kecil. Itupun sebab mulut saya "gatal" mengajukan pendapat. Akhirnya saya yang kena buat.

Strategi saya untuk melaksanakan program ni ialah dengan mendapatkan pelbagai input dari pihak pekerja supaya perlaksanaannya nanti mendapat sambutan dari semua pihak. Jadi saya rancang nak jumpa wakil pekerja untuk mendapat kerjasama mereka.

Sepanjang minggu lepas saya rasa tak sedap hati sebab tak yakin yang saya mampu untuk memahamkan wakil2 tersebut mengenai idea saya. Dan saya juga risau yang saya akan "syok sendiri" dalam melaksanakan program ni.

Tapi memandangkan minggu depan terdapat kumpulan pekerja yang akan mengadakan mesyuarat kumpulan masing2, saya rasa saya dah tak boleh bertangguh untuk memanggil wakil2 tersebut.

Jadi, paksa dalam rela petang semalam saya pun tergocoh2 le panggil diorang untuk buat perbincangan ringkas pagi ni. Sebentar tadi baru je selesai perbincangan, dan nampaknya wakil2 pekerja menunjukkan yang mereka faham dengan idea yang saya kemukakan dan berminat untuk membantu mendapatkan maklumbalas dari ahli2 mereka.

Semasa menaip ni, saya rasa lega sangat. Rasa dah hilang berguni2 beban yang saya pikul dalam seminggu nih.

Pengajarannya,
  • dalam melaksanakan sesuatu perkara, kita harus yakin terhadap kemampuan diri sendiri
  • jangan teragak-agak untuk melaksanakan idea kita kerana kita tidak akan tahu samada ia akan berjaya atau tidak selagi ia tidak dilaksanakan
  • jangan takut gagal kerana gagal adalah perkara yang harus ditempuhi untuk mencapai kejayaan.
Yesss.... I feel good... :).. Alhamdulillah kerana Dia Yang Maha Pemudah segala urusan...

Tuesday, 20 July 2010

Al-Ankabut

Juadah Pagi Rabu


++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

1. "Apakah manusia mengira bahwa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan , "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji"

(Surah Al-Ankabut; Ayat 2)

(Saya baca ayat 1-14)


2. Siri Jangan Bersedih, Jadilah Wanita Paling Bahagia
  • Mawar Kesembilan- Padamkan api kedengkian di dadamu dengan memaafkan semua yang pernah berbuat salah kepadamu
  • Melati Kedua- Jangan beri kesempatan kepada diri anda untuk menyelidiki kelemahan orang lain dan mencari-cari kesalahan mereka.

3. Siri Indahnya Hidup Bersyariat

  1. Pengertian Solat Jamak: Mengumpulkan dua solat dalam satu waktu; solat zohor di dalam Asar dan sebaliknya, atau solat Maghrib di dalam waktu Isya atau sebaliknya.
  2. Bacaan Sujud Sahwi: Subhana man lam yanamu wa lam yas-hur
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++


Nota Penulis:

"Terlalu singkat masa yang ada, namun terlalu banyak yang harus dilaksana"


Tuesday, 29 June 2010

Memberi

Segmen Motivasi Pagi, IKIM.fm- Ustaz Pahrol

Kita hidup dengan apa yang kita ada, namun kita MEMBINA KEHIDUPAN dengan apa yang kita BERI

Kenapa enggan memberi?

1. Saya tiada harta untuk diberi

Luaskan skop "harta" dalam hidup anda dan anda akan dapati andalah yang paling kaya.

  1. Harta benda
  2. Ilmu Pengetahuan
  3. Nasihat
  4. Senyum
  5. Doa
nota pemblog: Juga boleh memberi laluan kepada kereta lain yang ingin masuk laluan anda semasa memandu di jalan raya


2. Memberi akan mengurangkan harta

Al-Qur'an berjanji bahawa untuk setiap harta yang disedekahkan akan berkembang biak seperti pokok padi.

Nota pemblog:

Kalau dilihat dari segi nilai, orang yang memerlukan akan meletakkan nilai yang lebih tinggi kepada suatu perkara berbanding dgn orng yang kurang memerlukan. Sebagai contoh, bagi orang kelaparan, sekeping biskut kering amat bermakna berbanding dengan orang yang sedang kenyang, tidak akan memperdulikan biskut kering tersebut.

Jadi, dengan memberi harta kepada yang memerlukan akan meningkat harta secara makro/ keseluruhan umat.

Monday, 28 June 2010

Mendengar rintihan sebelum ia bertukar jeritan

Seperti biasa saya perlu catat perkara2 yang saya petik dari segmen Motivasi pagi tadi (Ustaz Pahrol) yang saya rasa amat menarik sebelum terlupa:

1. Rintihan amat penting sama seperti keperluan terhadap makanan

2. Dengarlah bisikan/ rintihan mereka sebelum ia bertukar kepada jeritan

Rintihan anak2 yang tidak diberi perhatian akan bertukar kepada jeritan apabila mereka meningkat dewasa.

3. Semakin banyak mendengar semakin tinggi peluang untuk mengutip ilmu/ maklumat yang bertebaran

4. "Kekasih" yang cemerlang ialah mereka yang sentiasa bersedia untuk mendengar rintihan/ bicara pasangan mereka

5. Allah adalah Pendengar yang paling Setia kerana Dia Maha Mendengar

6. Dengan meluangkan sedikit masa untuk mendengar luahan/ rintihan/ bisikan individu yang bermasalah anda mampu mengubah masa depan individu tersebut ke arah yang lebih baik.

Nota: Siaran ulangan selepas maghrib setiap hari di Ikimfm. Dicadangkan untuk dengar ulangan isu hari ini.

Tuesday, 22 June 2010

Surah Al-Ikhlas

I was dropping by at my other blog which was not maintained for quite some time. However it seems that someone has posted a message which was not supposed to be posted at my Guest Book Section because it is obviously reflected from my blog that I'm a Muslim. So I considered it as provocative posting.

However, I cant delete it because there was no delete button provided by the site developer. So, to force the posting to go down to Archive section faster, i plan to post other postings there.
The first one would be as below.

And I posted the same posting at his/ her blog because if he/ she didnt mind to post his/her posting at my blog, then I think it is okay for me to post something back at he/ her blog.

Arabic:

بسم الله الرحمن الرحيم
قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ١
اللَّهُ الصَّمَدُ ٢
لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ٣
وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ ٤


Transliteration:

Bismillah Ar-Rahman Ar-Raheem
1 Qul huwa Allahu ahad
2 Allahus-samad
3 Lam yalid walam yulad
4 Walam yakun lahu kufuwan ahad


Translation: Surah 112: Al-Ikhlas (The Unity, Sincerity, Oneness Of God)


In the name of God, Most Gracious, Most Merciful

1. Say: He is God, the One and Only;

2. God, the Eternal, Absolute;

3. He does not beget, nor is He begotten;

4. And there is none comparable to Him.

http://en.wikipedia.org/wiki/Al-Ikhlas

Sunday, 20 June 2010

Belajar dari Alam

Saya nak catat sebelum lupa.

Pagi tadi dengar Segmen Motivasi IKIM.fm. Saya nak catat beberapa perkara yang menarik sebelum saya lupa:

1. 4 peringkat dalam amalan (baik/ buruk)
  1. kurang selesa ====>>(Berusaha untuk mengamalkan)
  2. selesa/ suka====>> (Selesa dalam melakukan perkara tersebut)
  3. ketagih ====>>>(Rasa tidak selesa kalau tidak melakukan amalan tersebut)
  4. memperjuangkan/ mempertahankan amalan====>>> mempertahankan amalan tersebut apabila amalan tersebut diremehkan oleh orang lain.

2. Mendekati alam menghampiri Allah

Kita menikmati ketenangan dengan mendekati alam semulajadi bukanlah kerana alam itu menenangkan. Tetapi sebaliknya ia mendekatkan kita kepada Pencipta alam itu iaitu Allah (SWT).

Sekiranya kita hampir dengan makhlukNYa pun dapat menenangkan, apatah lagi sekiranya kita mendekatkan terus diri kepada Allah dengan amal ibadat seperti solat sunat, zikir harian, membaca Al-Qur'an.



3. Resah tanda dosa

Resah yang dirasai adalah petanda kita ada melakukan perkara yang tidak disukai Allah. Jadi, untuk menghilangkan keresahan, dekatkan diri kepada Allah.


4. Rawat ketagihan dengan kembali kepada Allah (ni rumusan saya sendiri :))

Kembali kepada perkara 1 di atas. Peringkat ketagihan berpunca dari beberapa peringkat yang perlu dilalui lebih awal dan bukan saja2 terus jadi ketagih.

Jadi, untuk merawat ketagihan terhadap amalan negatif, mulalah berjinak2 dengan dengan amalan baik sehingga ke mampu ke tahap 4 untuk perkara baik tersebut.


Sebagai contoh, ketagih untuk mengumpat boleh diatasi dengan mula berjinak2 dengan berbicara perkara yang bermanfaat. Ketagih mengumpat dapat diatasi sepenuhnya apabila kita berjaya sampai ke peringkat memperjuangkan kepentingan berbicara perkara2 yang baik sahaja.

Wallahua'lam...

Esok

Esok adalah harapan
hari ini menyerlah sinarnya
jangan kesal pada semalam
yang telah berlalu
kerana ada kebaikan
pada setiap kejadian.