Friday, 7 October 2011

Cerita Sebuah Persahabatan

Assalamualaikum wb...

Semasa saya dalam tingkatan satu (beribu abad yang lampau), saya pernah dipilih untuk  menyertai kumpulan nasyid sempena apa entah... Layaklah tak ingat sebab dah beribu abad yang lampau ianya berlaku... Tapi, saya masih ingat lagu yang kami bawa, lagu nasyid berkaitan Palestin. Antara lirik dia;

hhmm... hhmm.. testing.. testing..

one... two... one .. two...

korus:


"Rakyat Palestin terus di...... 
oleh insan yang bengis
berbagai ragam tindakan kejam
yahudi dan .......


mereka dibuat seperti
binatang sembelihan
dibunuh disakiti
tanpa belas kasihan"

Lagu kedua:

Tak ingat.... Nampak bayang2 je, tapi lirik dia tak jelas...


Sebenarnya saya nak cerita pasal seorang budak ni.. Yang sama- sama nasyid ni. Tapi dia terpilih sebagai salah seorang dari dua orang penyanyi utama. Dia ni kecik aje (masa tu lah), berkulit putih cerah, muka comel aje...Chinese look...  Sebelum tu memang saya tak pernah bertegur sapa dengan budak ni...

Pada penilaian saya, dia ni nampak macam sombong sikit.. Serius je mukanya dia kalau bertembung... Lagipun saya tengok, baju kurung sekolah dia macam putih bersih dan sentiasa licin bergosok je. Mesti anak orang berada. Seganlah saya... Rumah saya, bukan setakat nak gosok baju, bekalan elektrik pun tak ada.. Malam2 dapat bekalan tenaga dari sambungan janakuasa kecil dari jiran sekampung. Yang cerita sedih ni lain kali kita buat entri... Kali ni saya nak cerita pasal budak comel yang muka serius ni dulu....

Dipendekkan cerita... Semasa masuk Tingkatan Dua, pihak sekolah buat pengkelasan pelajar. Jadi, pelajar di kelas saya terdiri dari kombinasi pelajar dari pelbagai kelas yang berbeza. Tup, tup saya dan budak comel yang saya panggil A (Bukan nama sebenar) ni ditempatkan di satu kelas. Bukan sahaja satu kelas, malahan satu dorm. Sebab, penempatan dorm dibuat berdasarkan kelas. Kelakar kan... Lepas tu boleh pihak sekolah salahkan pelajar pulak bila tak nak bergaul dengan pelajar kelas lain....

Jadi, saya dan A sekarang telah berada dalam satu geng. Kelas kami dulu di makmal sekolah, jadi duduk kat meja besar makmal tu setiap meja dalam 4 pelajar rasanya. Kami duduk satu meja sebab kawan rapat dia dari satu kelas dulu memang kenal dengan saya. Saya dah tahu dah yang dia tak sombong tapi cuma jenis pelajar serius aje. Tapi dalam geng besar kami dulu, ada pasangan atau pair. A ni geng dengan kawan rapat dia lah, dan saya ada pair saya sendiri. Betul ke istilah pair yang saya pakai ni... Hentam je lah Labu...

Mari kita pendekkan lagi cerita ni. Kami berada dalam satu kelas di sekolah yang sama sehingga tingkatan 4. Saya dan A dan beberapa orang kawan sekelas saya telah ditawarkan untuk masuk tingkatan 4 di sekolah berasrama penuh kat Klang. Dan yang bestnya, kami berdua dan seorang lagi pelajar lelaki ditempatkan di satu kelas walaupun tak sama bilik. Kat sekolah ni kami dari satu negeri ada 5 org pelajar perempuan dan setiap seorang ditempatkan di 5 dorm yang berbeza. Kejam lah pulak... Dahlah jauh dari keluarga, dipisahkan pulak dari kawan senegeri.

Bermula dari di sekolah ni lah kami mula rapat. Kami duduk satu meja sebab waktu kami masuk sekolah tu, pelajar2 lain dah lama mendaftar. Memandangkan kami duduk jauh dari keluarga, saya dan A sentiasa ke mana- mana bersama. Malahan, kalau ikut kawan balik bercuti pun, kami akan pilih kawan dari negeri yang sama. Malah pernah kami berdua sama2 balik bercuti ikut seorang kakak.

Waktu lepas SPM, kawan- kawan lain masuk tingkatan 6 sementara menunggu keputusan universiti. Yang kami berdua ni, dengan selambanya duduk je kat rumah. Macam konfiden ya dapat masuk U.. Indahnya kenangan... :)... Nasib baik dapat masuk.. Kalau tak, menggagau la... Waktu mak ayah A menunaikan haji di Mekah, A dititipkan sekali kepada mak ayah saya untuk tengok2kan. Dan satu peristiwa yang sampai sekarang A tak boleh lupa, Abah terlibat dalam kemalangan motosikal dilanggar bas semasa dalam perjalanan balik dari menguruskan borang biasiswa A. Ini pun boleh cerita lain kali.

Alhamdulillah kami berdua dapat masuk MAtrik UIA. Sama- sama masuk Kuliyyah Ekonomi. Jadi, dapatlah kami atur semaksima yang mungkin, hampir semua kelas kami sama. Masuk kampus Induk UIA (waktu tu di Petaling Jaya), tahun dua kami sama2 ambil pengkhususan perakaunan. Tapi semenjak keluar dari sekolah lama, kami tidak pernah lagi ditempatkan di dorm/ atau bilik yang sama. Namun ia tak menghalang dari kami berkepit sepanjang masa. Kebetulan lagi sekali kami membentuk geng di UIA dan kami mempunyai satu bilik yang dijadikan pusat oleh geng kami. Jadi, lebih kurang, kami macam sebilik jugaklah.. Dalam erti kata lain, bilik orang bilik kami juga.. Kalau kat uni, istilah yang biasa ialah "squatting". Betul ekk?...

Tahun 3 kami kena buat praktikal. Saya kat firma audit dan A kat BSN. Tapi kebetulan jugak tempat praktikal kami tak jauh. Jadi, setiap waktu rehat Jumaat yang panjang, kami akan menapak untuk berjumpa dan makan tengahari dan meronda sama2.

Ok.. Belum habis lagi coretan saya. Tapi kali ni cerita lepas grad pulak. Waktu semester akhir, waktu orang lain sibuk belajar untuk periksa, saya hasut A untuk cari kerja kt KL. Kononnya cari pengalaman sehingga pesta konvo. Waktu tu, kerja kami pagi petang beli suratkhabar. Bukan nak baca sangat pun, tapi nak tengok iklan kerja kosong. Akhirnya saya dapat kerja kat sebuah syarikat kecil kat Raja Chulan A pulak rasanya dapat lambat sikit, tapi lepas tu dia dapat tawaran kat bank.

Kat KL, kami menyewa dengan tiga orang kawan seuni yang lain kat flat di Sentul. Saya dan A sebilik. Akhirnya, selepas bertahun2 tak pernah sebilik, saya dan A dapat jadi rakan sebilik. Berdua sahaja. Yang peliknya kat sini jugaklah kami pernah "berkrisis" untuk kali yang pertama dalam persahabatan kami. Waktu ni A dah ada kawan istimewa. Sebenarnya semua rakan serumah saya dah ada teman istimewa waktu tu kecuali saya.

Jadi, bila hujung minggu selalunya saya seorang je tinggal kat rumah. Jadi, saya kerap balik ke Uni menjenguk adik junior yang satu geng dengan kami dulu. Walaupun sebilik, saya dan A jarang bertemu muka dan bersama- sama... Seharian di pejabat, dan malam baru sampai ke rumah. Kami bersua malam je. Masa lapang kami jarang sama2. Saya dengan adik2 junior dan adik2 saya sendiri yang masih belajar di Uni, dan dia dengan kawannya.

Sehingga satu ketika saya perasan, kami seolah2 semakin renggang. Fizikal kami dekat, tapi jiwa kami amat asing. Malah, saya sampai terasakan kami tidak lagi berbual kecuali yang amat perlu. Sekali tu, saya boleh perasan, A mengelak dari bercakap dengan saya.

Mulanya saya anggap itu perasan saya sahaja. Tapi pada satu peringkat, saya perasan, bila saya balik dan dia ada di rumah, A boleh memalingkan muka dari saya. Saya rasa sedih sangat. Dah lah kami sebilik. Tapi kami tidak lagi bertegur sapa. Yang peliknya, tanpa pernah bertengkar atau berselisih faham. Tiba2 kami jadi orang yang paling asing di antara satu sama lain.

Satu hari, saya dah tak boleh tahan lagi. Saya memang rasa amat sedih. Saya ingat lagi.. Waktu tu hujung minggu (rasanya) saya baru habis menunaikan solat. Masih dalam telekung lagi. Saya panggil A bersemuka. Jujurnya, saya bukanlah jenis orang yang berani nak berbincang benda yang serius, selalunya saya kalau terasa, saya akan simpan. Biar ia hilang sendiri. 

Tapi kali ni, saya tak boleh tahan. Lama dah saya simpan. Saya tertanya2 apa salah saya kalau betul2 lah perubahan sikap tu bukan perasaan saya jer.Kalau saya tersilap sangka, saya  nak minta maaf. Saya panggil A. Waktu tu, saya tak boleh tahan air mata. Saya tanya kenapa dia buat saya macam tu. Apa kesalahan saya terhadap dia. Kalau betul2 saya ada buat salah yang saya tak sedar, saya nak mintak maaf.

A pun saya rasa tak sangka saya akan berani bersemuka macam tu. Selama persahabatan kami, memang tak pernah kami bersemuka secara serius macam tu. Dan saya perasan, kami tak pernah berbicara yang jiwang2 macam tu.

Bila saya tanya dengan sedih macam tu, A pun dah mula syahdu Katanya saya tak buat silap tapi dia rasa terpinggir dengan sikap saya. Saya lebih rapat dengan adik2 kampus dan dia rasa diketepikan... Saya terperanjat sangat. Saya tak sangka yang A boleh beranggapan macam tu.

Selama ini, saya sebenarnya rasa rendah diri terhadap A. Dia comel, saya comot. Walaupun pada mulanya saya di depan dari segi pelajaran, selepas itu prestasi A meningkat dengan mendadak berbanding saya. Dia orang berada, saya ada2 jer. Di kampus, dia kerap dijemput menganggotai jawatankuasa penting, saya ni tak de sapa yang perasan kewujudan di mana2 (kononnya).Dia ada teman istimewa yang mengambil berat pasal dirinya, saya lak sorang je. J adi, saya tak pernah terfikir yang dia akan berasa terpinggir walau apa yang saya lakukan.

Walhasil, kebaikan dari kejadian tu, kami mula melihat diri masing2 dari perspektif yang berbeza. Saya  lebih menghargai diri saya dan persahabatan kami dan A pula lebih memahami sikap saya. Habis sessi bersemuka tu kedua- dua kami memohon maaf sambil menangis. Tapi lepas tu, kami cuba berhubung seperti biasa walaupun sedikit kekok. Tapi tak lama.. Lepas tu kami dah ok.

Ok. Biar saya habiskan.

Kenapa saya buat entri ni?. Minggu lepas saya terima sms dari A yang dia dan suami akan berangkat ke Tanah Suci Mekah esok hari 8 Oktober 2011. Saya doakan dia dan suami dipermudahkan segala urusan dan dianugerahkan Haji Mabrur.

Untuk A..


Saya amat  menghargai persahabatan kita selama ini... Semoga kita bersahabat sehingga ke syurga...AMeen...






No comments:

Post a Comment