Sunday, 16 October 2011

Ikut resmi Sudoku

Assalamualaikum wb...

Akhir2 ni memang saya "ketagih" buat sudoku. Kalau dulu saya tak pandang pun Big Book of Sudoku yang suami belikan, sekarang asyik mengadap buku tu je. Dalam tu memang banyak sangat Sudoku dari pelbagai peringkat; yang paling senang hingga yang paling sukar. Tapi yang tak seronoknya, buku ni tebal sangat. Tak sesuai nak dibawa ke mana2.

Jadi malam tadi, bila keluarga singgah di MPH, saya beli dua buah buku Sudoku; yang susah dan yang sukar (Hard and Diabolical).

Bila dah kerap sangat mengadap Sudoku ni, saya terfikir pulak satu perkara.

Nikmat buat Sudoku ni ialah bila kita mengahadapi kesukaran semasa nak selesaikan Sudoku tu. Kalau kita dah selalu buat, mesti kita dah tak rasa seronok kalau buat yang peringkat mudah. Makin sukar, makin seronok. Dan yang paling seronok ialah  bila kita berjaya selesaikan Sudoku yang sukar tu.

Namun sebaliknya, keseronokan tu takkan lama, dan seterusnya kita akan mula nak selesaikan masalah yang seterusnya. Dan proses itu akan berulang- ulang.

Kenapa agaknya ya, kita suka kepada kesukaran atau dalam erti kata lain "cabaran"?.

Saya sendiri tak tahu jawapannya. Tapi saya rasa proses menyelesaikan masalah Sudoku tu sebenarnya tidak banyak bezanya dengan proses kita menangani cabaran kehidupan kita sendiri.

Justeru, setiap kali kita terserempak dengan cabaran2 dalam mengharungi kehidupan seharian, janganlah mudah berputus asa. Selesaikan satu persatu, kerana suatu hari nanti bila semua telah kembali tenang seperti sedia kala, kita akan menoleh ke belakang dan tersenyum kerana kita telah berjaya mengatasi cabaran- cabaran itu, dan itulah nikmat  kehidupan.

Wallahu a'lam...

Friday, 14 October 2011

Sabar....

Assalamualaikum wb..

Kejadian yang berlaku ke atas blog saya pada hari ni benar2 menguji kesabaran saya, dan memaksa saya untuk membuat keputusan drastik.

Saya pindahkan blog saya ke url baru dan terpaksa meninggalkan Follower saya. Saya dah tinggal pesanan ringkas di blog lama. Jadi, sesiapa yang masih berminat nak Follow saya, maka mereka berpeluang untuk mencari blog baru saya.

Setakat ni, "rumah baru" saya masih haru-biru. Masih tak de semangat nak hiaskan. Nanti2 lah...

Nak cerita panjang pun malas...

Wednesday, 12 October 2011

Kemaskini semasa

Assalamualaikum wb...

Pagi tadi Maryam menduduki peperiksaan pemilihan kemasukan ke Tahun Satu.

Sedang membaca doa sebelum memasuki dewan peperiksaan
Yang berkepit dengan cikgu bertudung purple tu adalah Maryam. Tak  nak masuk dalam barisan.



Habis periksa kami pergi makan roti kering dan sup di Delifrance.

Dah happy.. Tak ingat dah nangis2 tadi... :)

Pencuci mulut pulak ialah Black Forest. Sengaja bawak budak2 joli sikit, nak pujuk Maryam yang baru lepas memerah otak jawap kertas periksa. Tengok dalam gambar kedua tu, siap dipeluk cikgu lagi sebab menangis.


Sedapnya Black Forest...


Balik rumah semua dah letih. Tiba2 nenek telefon kata nak hantar bubur. Rupanya, baby Suhaib yang hantar, dalam perjalanan nak pergi shopping.

Comelnya Baby Suhaib... Mata pun dah tak nampak dah...

Setakat ini dulu.

Nota penulis: Entri ini dibuat pada Sabtu lepas tapi menghadapi masalah masa nak publish.


Tuesday, 11 October 2011

Ia akan tiba

Kian jauh perjalanan kehidupan
kian sayup pesanan kematian
hingga kita terlupa
ia akan menjelma
tanpa diduga
tanpa bisa diteka
saat dan ketika

hanya kita harus bersedia
menyambutnya dengan rela.


Latih tubi 11/10/2011

Monday, 10 October 2011

Rezeki Jangan Ditolak



Musuh jangan dicari....

Assalamualaikum wb...

Ada sapa nak bergaduh ka?..

Tak de lah...

Sebenarnya saya memang betul2 sedang lapar tapi alang2 nak pegi minum. Takut nanti dah tengahari terlalu kenyang pulak untuk makan bekal.

Sedang saya sibuk2 intai bekas makanan ringan kat atas meja (yang dah tinggal serdak), tiba2 seorang rakan kerja masuk bawa kotak yang ada gambar KFC.

Rupa2nya dia belanja sebab kontrak perkhidmatannya disambung untuk setahun lagi. Patut lah saya tengok dia dah ke hulu ke hilir kat pejabat dua tiga hari ni.

Alhamdulillah, seketul ayam memang cukup2 je untuk mengalas perut sehingga pukul satu nanti. Ke, kenyang sampai ke petang?... :)

Apa2 pun, saya nak mula dah ni...

Allahumma barik lana, fi ma razaktana, wa qina 'azabannar....

Ameen....

Sunday, 9 October 2011

Dia datang...

Assalamualaikum wb....

Hari ini kehidupan saya kembali normal.

Hampir empat bulan saya dan suami menjadi "super parents".

Semenjak pembantu saya berhenti pada pertengahan bulan Julai lepas, urusan rumah tangga dikongsi bersama di antara saya dan suami. Anak2 pula dihantar sama ada ke rumah mak saya atau mak mertua (terima kasih ibu2 ku semua). Kadang kala, kalau cuti, adik ipar saya akan menjenguk ke rumah membantu mengemas mana yang patut.

Dulu, sewaktu bulan Ramadhan, saya sibuk menyiapkan pakaian raya keluarga. Jadi, kebanyakan kerja rumah dibantu suami sepenuhnya. Malahan, mengemas untuk raya pun dibuat oleh suami. Di dapur pula kami bergilir. Saya buat persiapan berbuka dan suami buat persiapan sahur. Saya dah masukkan semua makanan ke dalam bekas dan suami cuma tinggal keluarkan dari peti sejuk dan panaskan dalam mikrowave.

Sebaik sahaja selepas raya, suami sambung belajar separuh masa. Jadi, dia dah tak boleh tolong sangat. Kena buat tugasan kuliah dan hadiri perbincangan kumpulan. Masa ni, saya pulak ambil alih semua kerja rumah. Tapi Alhamdulillah, kali ni tak lah sekelam- kabut sangat sebab dah pernah lalui benda yang sama sebelum ni. Minda pun dah bersedia awal dengan pelbagai kemungkinan.

Dan puncak cabaran ialah bila saya baru saja turun kerja selepas bercuti panjang untuk Ramadhan dan Raya, terpaksa ambil cuti mengejut pulak sebab Maryam dan Asiah dijangkiti HFMD. Takkan nak tinggalkan anak2 yang tak sihat kat rumah mak/ mak mertua. Bukannya senang nak jaga budak2 yang enggan makan sebab ulcer kat dalam mulut. Yang ni saya dah buat entri sebelum ni.

Sebenarnya dalam kesibukan dan kelam- kabut tu, saya belajar banyak benda. Dari seorang yang tak kenal sangat dengan dapur, saya cuba belajar sikit2 dan ternyata saya tak de lah "buta dapur" sangat. Kali ni kami lebih banyak makan di rumah. Saya dah tahu nak atur masa supaya saya sempat siapkan mana2 yang patut selepas balik dari kerja.

Walaupun tidak lah sesempurna mana, saya puas hati sebab urusan rumah masih dalam kawalan walaupun saya hanya ada masa di waktu malam dan hujung minggu sahaja. 

Saya rasa kalau pada suatu hari  nanti, saya terpaksa untuk tidak menggaji pembantu rumah, saya rasa saya dah bersedia asalkan ada tempat untuk anak2 menumpang sementara saya berada di pejabat pada siang hari.


Tapi buat masa ni, saya nak menikmati kehidupan "selesa" sementara masih ada peluang menggaji pembantu rumah....... :)

Semalam, pembantu lama saya dah datang   bekerja balik kat rumah saya. Jadi, saya tak payah susah2 nak ajar sebab dia pun lebih tahu dari saya selok- belok rumah.

Tapi, tak boleh la lepas tangan habis. Nanti tak lah kelam-kabut sangat kalau masa "itu" tiba...

Haha.. Jangan keliru.. Memang hari tu pembantu saya dah berhenti.. Kenapa datang kerja balik?.. Nanti2 kalau saya ada masa, kita cerita lagi ya...

Sekarang ni, saya nak rehat betul2.. :)




Friday, 7 October 2011

Cerita Sebuah Persahabatan

Assalamualaikum wb...

Semasa saya dalam tingkatan satu (beribu abad yang lampau), saya pernah dipilih untuk  menyertai kumpulan nasyid sempena apa entah... Layaklah tak ingat sebab dah beribu abad yang lampau ianya berlaku... Tapi, saya masih ingat lagu yang kami bawa, lagu nasyid berkaitan Palestin. Antara lirik dia;

hhmm... hhmm.. testing.. testing..

one... two... one .. two...

korus:


"Rakyat Palestin terus di...... 
oleh insan yang bengis
berbagai ragam tindakan kejam
yahudi dan .......


mereka dibuat seperti
binatang sembelihan
dibunuh disakiti
tanpa belas kasihan"

Lagu kedua:

Tak ingat.... Nampak bayang2 je, tapi lirik dia tak jelas...


Sebenarnya saya nak cerita pasal seorang budak ni.. Yang sama- sama nasyid ni. Tapi dia terpilih sebagai salah seorang dari dua orang penyanyi utama. Dia ni kecik aje (masa tu lah), berkulit putih cerah, muka comel aje...Chinese look...  Sebelum tu memang saya tak pernah bertegur sapa dengan budak ni...

Pada penilaian saya, dia ni nampak macam sombong sikit.. Serius je mukanya dia kalau bertembung... Lagipun saya tengok, baju kurung sekolah dia macam putih bersih dan sentiasa licin bergosok je. Mesti anak orang berada. Seganlah saya... Rumah saya, bukan setakat nak gosok baju, bekalan elektrik pun tak ada.. Malam2 dapat bekalan tenaga dari sambungan janakuasa kecil dari jiran sekampung. Yang cerita sedih ni lain kali kita buat entri... Kali ni saya nak cerita pasal budak comel yang muka serius ni dulu....

Dipendekkan cerita... Semasa masuk Tingkatan Dua, pihak sekolah buat pengkelasan pelajar. Jadi, pelajar di kelas saya terdiri dari kombinasi pelajar dari pelbagai kelas yang berbeza. Tup, tup saya dan budak comel yang saya panggil A (Bukan nama sebenar) ni ditempatkan di satu kelas. Bukan sahaja satu kelas, malahan satu dorm. Sebab, penempatan dorm dibuat berdasarkan kelas. Kelakar kan... Lepas tu boleh pihak sekolah salahkan pelajar pulak bila tak nak bergaul dengan pelajar kelas lain....

Jadi, saya dan A sekarang telah berada dalam satu geng. Kelas kami dulu di makmal sekolah, jadi duduk kat meja besar makmal tu setiap meja dalam 4 pelajar rasanya. Kami duduk satu meja sebab kawan rapat dia dari satu kelas dulu memang kenal dengan saya. Saya dah tahu dah yang dia tak sombong tapi cuma jenis pelajar serius aje. Tapi dalam geng besar kami dulu, ada pasangan atau pair. A ni geng dengan kawan rapat dia lah, dan saya ada pair saya sendiri. Betul ke istilah pair yang saya pakai ni... Hentam je lah Labu...

Mari kita pendekkan lagi cerita ni. Kami berada dalam satu kelas di sekolah yang sama sehingga tingkatan 4. Saya dan A dan beberapa orang kawan sekelas saya telah ditawarkan untuk masuk tingkatan 4 di sekolah berasrama penuh kat Klang. Dan yang bestnya, kami berdua dan seorang lagi pelajar lelaki ditempatkan di satu kelas walaupun tak sama bilik. Kat sekolah ni kami dari satu negeri ada 5 org pelajar perempuan dan setiap seorang ditempatkan di 5 dorm yang berbeza. Kejam lah pulak... Dahlah jauh dari keluarga, dipisahkan pulak dari kawan senegeri.

Bermula dari di sekolah ni lah kami mula rapat. Kami duduk satu meja sebab waktu kami masuk sekolah tu, pelajar2 lain dah lama mendaftar. Memandangkan kami duduk jauh dari keluarga, saya dan A sentiasa ke mana- mana bersama. Malahan, kalau ikut kawan balik bercuti pun, kami akan pilih kawan dari negeri yang sama. Malah pernah kami berdua sama2 balik bercuti ikut seorang kakak.

Waktu lepas SPM, kawan- kawan lain masuk tingkatan 6 sementara menunggu keputusan universiti. Yang kami berdua ni, dengan selambanya duduk je kat rumah. Macam konfiden ya dapat masuk U.. Indahnya kenangan... :)... Nasib baik dapat masuk.. Kalau tak, menggagau la... Waktu mak ayah A menunaikan haji di Mekah, A dititipkan sekali kepada mak ayah saya untuk tengok2kan. Dan satu peristiwa yang sampai sekarang A tak boleh lupa, Abah terlibat dalam kemalangan motosikal dilanggar bas semasa dalam perjalanan balik dari menguruskan borang biasiswa A. Ini pun boleh cerita lain kali.

Alhamdulillah kami berdua dapat masuk MAtrik UIA. Sama- sama masuk Kuliyyah Ekonomi. Jadi, dapatlah kami atur semaksima yang mungkin, hampir semua kelas kami sama. Masuk kampus Induk UIA (waktu tu di Petaling Jaya), tahun dua kami sama2 ambil pengkhususan perakaunan. Tapi semenjak keluar dari sekolah lama, kami tidak pernah lagi ditempatkan di dorm/ atau bilik yang sama. Namun ia tak menghalang dari kami berkepit sepanjang masa. Kebetulan lagi sekali kami membentuk geng di UIA dan kami mempunyai satu bilik yang dijadikan pusat oleh geng kami. Jadi, lebih kurang, kami macam sebilik jugaklah.. Dalam erti kata lain, bilik orang bilik kami juga.. Kalau kat uni, istilah yang biasa ialah "squatting". Betul ekk?...

Tahun 3 kami kena buat praktikal. Saya kat firma audit dan A kat BSN. Tapi kebetulan jugak tempat praktikal kami tak jauh. Jadi, setiap waktu rehat Jumaat yang panjang, kami akan menapak untuk berjumpa dan makan tengahari dan meronda sama2.

Ok.. Belum habis lagi coretan saya. Tapi kali ni cerita lepas grad pulak. Waktu semester akhir, waktu orang lain sibuk belajar untuk periksa, saya hasut A untuk cari kerja kt KL. Kononnya cari pengalaman sehingga pesta konvo. Waktu tu, kerja kami pagi petang beli suratkhabar. Bukan nak baca sangat pun, tapi nak tengok iklan kerja kosong. Akhirnya saya dapat kerja kat sebuah syarikat kecil kat Raja Chulan A pulak rasanya dapat lambat sikit, tapi lepas tu dia dapat tawaran kat bank.

Kat KL, kami menyewa dengan tiga orang kawan seuni yang lain kat flat di Sentul. Saya dan A sebilik. Akhirnya, selepas bertahun2 tak pernah sebilik, saya dan A dapat jadi rakan sebilik. Berdua sahaja. Yang peliknya kat sini jugaklah kami pernah "berkrisis" untuk kali yang pertama dalam persahabatan kami. Waktu ni A dah ada kawan istimewa. Sebenarnya semua rakan serumah saya dah ada teman istimewa waktu tu kecuali saya.

Jadi, bila hujung minggu selalunya saya seorang je tinggal kat rumah. Jadi, saya kerap balik ke Uni menjenguk adik junior yang satu geng dengan kami dulu. Walaupun sebilik, saya dan A jarang bertemu muka dan bersama- sama... Seharian di pejabat, dan malam baru sampai ke rumah. Kami bersua malam je. Masa lapang kami jarang sama2. Saya dengan adik2 junior dan adik2 saya sendiri yang masih belajar di Uni, dan dia dengan kawannya.

Sehingga satu ketika saya perasan, kami seolah2 semakin renggang. Fizikal kami dekat, tapi jiwa kami amat asing. Malah, saya sampai terasakan kami tidak lagi berbual kecuali yang amat perlu. Sekali tu, saya boleh perasan, A mengelak dari bercakap dengan saya.

Mulanya saya anggap itu perasan saya sahaja. Tapi pada satu peringkat, saya perasan, bila saya balik dan dia ada di rumah, A boleh memalingkan muka dari saya. Saya rasa sedih sangat. Dah lah kami sebilik. Tapi kami tidak lagi bertegur sapa. Yang peliknya, tanpa pernah bertengkar atau berselisih faham. Tiba2 kami jadi orang yang paling asing di antara satu sama lain.

Satu hari, saya dah tak boleh tahan lagi. Saya memang rasa amat sedih. Saya ingat lagi.. Waktu tu hujung minggu (rasanya) saya baru habis menunaikan solat. Masih dalam telekung lagi. Saya panggil A bersemuka. Jujurnya, saya bukanlah jenis orang yang berani nak berbincang benda yang serius, selalunya saya kalau terasa, saya akan simpan. Biar ia hilang sendiri. 

Tapi kali ni, saya tak boleh tahan. Lama dah saya simpan. Saya tertanya2 apa salah saya kalau betul2 lah perubahan sikap tu bukan perasaan saya jer.Kalau saya tersilap sangka, saya  nak minta maaf. Saya panggil A. Waktu tu, saya tak boleh tahan air mata. Saya tanya kenapa dia buat saya macam tu. Apa kesalahan saya terhadap dia. Kalau betul2 saya ada buat salah yang saya tak sedar, saya nak mintak maaf.

A pun saya rasa tak sangka saya akan berani bersemuka macam tu. Selama persahabatan kami, memang tak pernah kami bersemuka secara serius macam tu. Dan saya perasan, kami tak pernah berbicara yang jiwang2 macam tu.

Bila saya tanya dengan sedih macam tu, A pun dah mula syahdu Katanya saya tak buat silap tapi dia rasa terpinggir dengan sikap saya. Saya lebih rapat dengan adik2 kampus dan dia rasa diketepikan... Saya terperanjat sangat. Saya tak sangka yang A boleh beranggapan macam tu.

Selama ini, saya sebenarnya rasa rendah diri terhadap A. Dia comel, saya comot. Walaupun pada mulanya saya di depan dari segi pelajaran, selepas itu prestasi A meningkat dengan mendadak berbanding saya. Dia orang berada, saya ada2 jer. Di kampus, dia kerap dijemput menganggotai jawatankuasa penting, saya ni tak de sapa yang perasan kewujudan di mana2 (kononnya).Dia ada teman istimewa yang mengambil berat pasal dirinya, saya lak sorang je. J adi, saya tak pernah terfikir yang dia akan berasa terpinggir walau apa yang saya lakukan.

Walhasil, kebaikan dari kejadian tu, kami mula melihat diri masing2 dari perspektif yang berbeza. Saya  lebih menghargai diri saya dan persahabatan kami dan A pula lebih memahami sikap saya. Habis sessi bersemuka tu kedua- dua kami memohon maaf sambil menangis. Tapi lepas tu, kami cuba berhubung seperti biasa walaupun sedikit kekok. Tapi tak lama.. Lepas tu kami dah ok.

Ok. Biar saya habiskan.

Kenapa saya buat entri ni?. Minggu lepas saya terima sms dari A yang dia dan suami akan berangkat ke Tanah Suci Mekah esok hari 8 Oktober 2011. Saya doakan dia dan suami dipermudahkan segala urusan dan dianugerahkan Haji Mabrur.

Untuk A..


Saya amat  menghargai persahabatan kita selama ini... Semoga kita bersahabat sehingga ke syurga...AMeen...






Thursday, 6 October 2011

Saya hairan...



Assalamualaikum wb...



Saya hairan.... 



Apa yang saya hairankan?...




Saya hairan dan pelik... Kenapa kalau saya sedang buat kerja lain terutama semasa sedang memandu, amat banyak isu yang nak saya bincangkan dalam blog... 



Tapi kalau saya dah berada di depan komputer dan blog saya pulak berada pada mod "Create Post", tak ada satu pun idea yang muncul....







Arrrggghhhh....


Tak apa lah... Anggaplah saya tak tulis apa- apa pun...

Wednesday, 5 October 2011

Macam- macam Ado

Assalamualaikum wb..

Akhir- akhir ini saya banyak buat aktiviti "bloghopping". Membaca mana- mana entri yang menarik. Seperti juga aktiviti merayau- rayau di alam nyata, sekiranya tidak dikawal arah, aktiviti merayau- rayau di alam maya juga boleh menyebabkan kita "tersesat".

Kali ini dalam saya "melompat" dari satu blog ke satu blog, saya terjumpa rangkaian blog mengenai kehidupan rumahtangga. Seperti yang kita maklum, selalunya rangkaian blog mempunyai persamaan dari sudut temanya; hobi, cara hidup, Kerjaya  dan aktiviti sosial, sekadar menyebut beberapa contoh.

  1. Hobi: Kraf, Fotografi, Menulis, memasak
  2. Cara Hidup:  agama, bangsa,
  3. Kerjaya: Jualan langsung, perniagaan atas talian, 
  4. AKtiviti sosial: Pertubuhan kebajikan, Kegiatan sukarela, ibu tunggal
Bila saya terjumpa rangkaian blog yang membincangkan permasalahan rumahtangga dari pelbagai sudut, banyak sangat pengajaran yang saya perolehi. Tapi, memang banyaklah juga kisah- kisah tragis dan dramatik  yang selalunya kita hanya  tonton di TV atau dari novel.

Sehingga sampai satu tahap, saya rasa tak payah dah beli novel atau tengok drama. Layari je blog;

"MACAM- MACAM ADO"

Nota Penulis: Ini adalah entri berjadual.

Tuesday, 4 October 2011

Suatu perkenalan...



Assalamualaikum wb...

Pada suatu ketika, saya pernah bercita- cita untuk menjadi penulis rencana. Saya mula membeli buku yang berkaitan dengan bidang penulisan. Justeru, apabila terbaca bahawa satu bengkel penulisan kreatif dan rencana akan diadakan di bandar kecil tempat kami menetap waktu itu, saya menganggap ia satu rahmat.

Saya memang amat teruja kerana bukan mudah untuk berpeluang menghadiri bengkel seperti itu yang selalunya dianjurkan di bandar- bandar besar sahaja. Namun, pada sessi pengenalan bengkel, saya mula diterjah kecewa. Memandangkan masa yang singkat ( dua hari), pihak tenaga pengajar merasakan untuk meneroka kedua2 topik (kreatif dan rencana) dalam satu bengkel adalah tidak berbaloi.

Jadi, akhirnya undian angkat tangan telah dibuat untuk menentukan topik mana yang perlu diteruskan dan menggugurkan satu lagi topik yang kurang mendapat sambutan. Dalam sebuah bilik yang dihadiri oleh sekitar 30 orang peserta, hanya satu tangan sahaja yang menyokong untuk memilih penulisan rencana iaitu tangan saya.

Memang tragis. Saya menangis dalam hati. Inilah satu2nya peluang saya nak belajar menulis rencana dari mereka yang pakar dan ia telah hancur dengan satu undian sahaja. Tapi, memandangkan suami saya pun ikut sekali dalam bengkel tu, saya pun mengambil  keputusan untuk terus menyertai bengkel penulisan kreatif (sajak dan cerpen) walaupun dengan suku hati je.

Yalah.. Siapa yang nak belajar sajak dan cerpen?.. Saya memang sah2 dari dulu tak pernah ada bakat dalam sastera ni. Sajak adalah benda terakhir yang saya akan jadikan bahan bacaan saya. Cerpen pun boleh tahan lagi. Tapi bukan sajak.Bukannn...

Tapi, siapa kita untuk menentukan apa yang baik untuk kita. Kita merancang dan Allah juga merancang. Namun Allah lah Sebaik- baik Perancang.

Secara keseluruhannya bengkel yang dijalankan memang menarik. Dua orang tenaga pengajar dari DBP Kuching begitu bersemangat melaksanakan tugas mereka. Bengkel dibahagikan kepada dua bahagian utama; sajak dan cerpen.

Bak kata pepatah; tiada gading, akar pun berguna. Tak dapat belajar menulis rencana, saya buat perancangan kedua. Saya nak belajar menulis cerpen. Sajak?.. Nahi.. Nahi.. Nahi... Saya tak pandai dan tak faham sajak.

Tapi, walau macam tu, semua peserta memang kena hadir semua sessi. Jadi, saya memang kena dengar juga waktu sessi ceramah sajak. Dan ini merupakan kali pertama saya dengar secara serius apakah itu sajak dan bagaimana nak tulis sajak. Dulu kat sekolah memang pelajar aliran sastera, tapi waktu tu belajar sastera semata2 nak lulus periksa, jadi memang tak sampai ke mana lah. Habis periksa, habis lah cerita.

Salah satu latihan yang dibuat semasa bengkel menulis sajak ialah semua peserta dikehendaki mengemukakan sajak masing-  masing untuk dibedah. Peserta yang tak ada sajak disuruh menulis sajak dan- dan tu jugak. Benda yang kunun-kununnya sajak tu nanti akan dihantar kepada penceramah dan dia akan cuba analisa sajak untuk pembaikan kat dalam kelas tu juga.

Saya pun buatlah baris- baris rangkap yang kononnya sajak berdasarkan teknik yang telah ditunjukkan penceramah. Saya ingat lagi, saya buat pasal kanak2 yang belajar bertatih yang sering rebah, tapi tak pernah mengalah. Saya samakan dengan proses kehidupan kita yang sering tersilap tapi kita tidak boleh mengalah dan mesti terus berjuang untuk hidup.

Dan saya ingat lagi, "puisi/ sajak" yang saya hentam keromo tu di antara yang dipilih oleh penceramah untuk dibedah. Haih.. Saya kira terkagum lah jugak. Kiranya ada juga lah benda kat situ yang layak nak dikritik untuk penambahbaikan. Dari kritikan penceramah (waktu tu muka saya yang duduk betul2 kat depan penceramah memang dah setebal tembok, walaupun penceramah tak kenal pun sapa yang menulis benda tu) saya mula membuka jiwa saya untuk mengenali dunia sajak dengan lebih intim.

Itulah sajak pertama saya yang saya hasilkan lima tahun lalu (tapi sayangnya saya tak simpan sebab waktu itu saya tak pernah terfikir yang saya boleh buat banyak lagi sajak di masa depan). Dan itulah sejarah perkenalan saya dengan dunia penulisan sajak.

Daripada seorang manusia yang memang seratus peratus jahil sajak, saya memulakan pencarian dan penggalian bakat dari dalam diri saya sendiri. Saya menjadikan diri saya sebagai "bahan eksperimen" sama ada bakat itu diwarisi dari dalam diri atau boleh dipelajari.

Sekarang saya masih lagi "bertatih" dalam menulis sajak dan tahap saya boleh dinilai dari pelbagai tulisan "latih- tubi" di blog ini.

Kesimpulannya, setiap apa yang berlaku kepada kita tetap mempunyai hikmah tersendiri. Mungkin pada masa ia berlaku, kita anggap tidak mendatangkan kebaikan terhadap diri kita. Namun, hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi di masa depan. Jadi, terpulang kepada kita sama ada ingin melepaskan peluang yang lalu di depan mata, atau menggenggamnya sehingga ia mendatangkan kebaikan kepada kita suatu masa nanti.

Wallahua'lam....



Saturday, 1 October 2011

Nasi Tomato di suatu petang...

Assalamualaikum wb...

Baru je siap masak Nasi Tomato berlaukkan Sambal Tumis Udang Dan Ayam Goreng Salad. Maryam sedang khusyuk menikmati hidangan.