Wednesday, 21 July 2010

Singkatnya masa...

Menekur bait-bait bicaranya lewat paparan blog, saya bagai amat mengenali dirinya.

Terasa ketabahannya mendakap hati saya. Menompang semangat saya dalam menjalani hari-hari yang penuh cabaran. Gelak tawanya, tangis rintihnya, syukur zikirnya bagai hamparan bunga-bungaan yang berwarna-warni. Harum menghiasi laman blognya.

Pada hakikatnya, dia tiada lagi bersama kita untuk menghuni dunia yang sementara. Dia telah lebih dahulu meninggalkan kita untuk berpindah ke alam kekal.

Namun melalui catatan-catatannya yang dilakar selepas dia mengetahui mengenai barah yang dihidapi, saya pinjam semangatnya. Saya pinjam tabahnya. Saya pinjam sabarnya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Dia telah menyelesaikan tanggungjawabnya sebagai khalifah di dunia. Dan perginya dengan penuh kesedaran bahawa tempoh masanya dikira detik demi detik. Saat demi saat.

Bagaimana pula dengan saya? Tempoh saya di dunia juga dikira detik demi detik. Saat demi saat. Tapi bilakah detik itu? Bilakah saat itu? Dalam keadaan apakah saya bila saat itu tiba? Bersediakah saya?

Betapa singkatnya masa padahal amat banyak yang belum dilaksana....

No comments:

Post a Comment