Tuesday, 30 November 2010

Siri Bermusafir: Shah Alam

Salam musafir...

Alhamdulillah akhirnya saya berpeluang mengemaskini catatan siri bermusafir saya...

Insya'Allah saya akan mengemaskini status terkini dan yang tertinggal akan saya catatkan kemudian sekiranya berkesempatan... (selalunya kalau tangguh yang terkini, ada keberangkalian akan tertinggal terus)

Sekarang kami sekeluarga sudah selamat tiba di rumah abang dan keluarga di Shah Alam aka rumah blogger Mys... Kebanyakan followers kami sama, jadi mesti ada kawan2 yang kenal beliau... Terima kasih my sister-in-law... Di atas layanan anda sekeluarga.. letih semalam ya, sesat waktu nak jemput kami kat Bukit Jalil.. hehe... semoga diberkati Allah.. :)

Nanti citer panjang lagi... Tapi secara ringkas, setakat ini musafir kami Alhamdulillah berjalan amat lancar....

Jumpa lagi.. Salam...

Wednesday, 24 November 2010

Siri Bermusafir: SMS dari Skudai

Salam...

Semalam memang saya kelam- kabut bila mendapat tahu mengenai penginapan semasa bengkel di Melaka.

Dalam kalut- kalut tu saya terlupa satu perkara. Menempah penginapan di Johor.

Mengikut perancangan saya, kami sekeluarga akan sampai ke Senai pada sebelah malam dan keesokannya bertolak ke Melaka dengan bas. Memandangkan saya ada seorang rakan di Johor, saya rancang nak menginap sekejap di rumahnya memandangkan saya memang kenal rapat dgn dia dan suaminya.

Dan saya yakin dia pun pasti akan mengalu- alukan kedatangan saya... (macam konfiden jer)...

Kita merancang dan Allah turut merancang untuk kita. Dan Allah merupakan Sebaik- baik Perancang.

Saya call kawan saya dan seperti biasa suaranya yang lembut menyambut panggilan saya. Bila saya cerita kat dia saya nak datang, dia memang excited. Tapi....

Hehe... Ada tapinya...

Kebetulan pada hujung minggu ni dia dan beberapa rakan satu uni dulu (yang saya pun kenal) dah buat program nak berjumpa di PD. Dia pun serba salah sebab program tu dah rancang sebulan yang lepas dan penginapan semua dah ditempah.

Saya pun faham dan cakap kat dia untuk teruskan jer program diorang sebab saya pun tak duduk lama kat Johor. Kalau dia dapat tangguhkan program pun tak berbaloi. Esoknya awal pagi saya dah nak bertolak ke Melaka.

Saya cuma mintak tolong dia cadangkan beberapa nama hotel yang berdekatan dengan stesen bas supaya mudah nanti nak naik bas. Dia pun bagi lah beberapa nama hotel untuk saya semak kat internet.

Esoknya (iaitu semalam) saya langsung lupa pasal tu sebab dah "terkuzat" dapat berita pasal penginapan.

Sebaik saja saya selesaikan tempahan hotel kat Melaka saya terima satu SMS.

"Dah decide ke hotel mana nak duduk kat Johor nanti? Mintak maaf sgt2 sebab tak dpt entertain kat Johor. Nanti kita jumpa minggu depan"

Saya ternganga....

"Alamak... Saya terlupa pasal tu. Ada problem penginapan kat Melaka. Kena buat tempahan sendiri. Berikan saya satu nama hotel nanti saya terus cari pas ni.."

Nasib baik la sahabat saya yang baik hati ni tanya balik... Kalau tak, memang saya lupa sangat pasal tu. Syukur saya sebab Allah berikan saya anugerah berpeluang kenal dengan rakan sebaik ini. Alhamdulillah..

Tak lama lepas tu saya dapat sms balik...

"Duduk kat rumah saya je lah. Nanti saya tinggalkan kunci kat jiran. Kancil pun ada kat rumah kalau nak jalan2..."

Lagi sekali saya ternganga...

Saya terus call suami. Alhamdulillah suami setuju dengan cadangan tu.

Dalam saya berfikir macaman nak reply balik (segan sebenarnya...) supaya nampak sopan santun sikit, telefon saya berdering..

"Macamana? Apa keputusan?.. Terima jelah tawaran yang menarik ni.."

Suara halus kawan saya menyapa telinga saya. Latarbelakang ialah suara suaminya memberi penjelasan pasal kunci rumah.

Saya pun apa lagi.... :)... Bak kata pepatah,

"Orang berbudi, kita berbahasa; Orang memberi kita merasa"

Lepas tu dia sms alamat penuh rumah dia.

Alhamdulillah... Selesai nampaknya satu urusan.

Pagi tadi saya terima satu lagi sms. Kawan saya berikan pulak nama dan alamat jiran tempat dia tinggalkan kunci rumah. A good neighbour of her katanya.

Sms terkini dari kawan saya:

"C U. Maybe we will visit you in Melaka.."

Semoga urusan mereka sekeluarga dipermudahkan Allah, Insya'Allah... AMin...

Permudahkan urusan saudaramu,
dan ALlah akan permudahkan urusanmu...

Tuesday, 23 November 2010

Siri Bermusafir: Cabaran Pertama

Salam...

Penganjur bengkel call kata penginapan yang disediakan berkongsi dengan peserta lain.

Alamak... Macamana ni.. Saya bawak satu famili.. takkan nak kongsi duduk dengan peserta lain...

Mula2 saya pun tak faham kenapa kena kongsi sebab kadar bilik yang dinyatakan pada surat jemputan memang layak untuk saya... Bukan saya nak mempertikaikan penganjur, tapi sebab dah kebetulan saya bawak famili, saya cuba nak dapatkan penjelasan.

Alhamdulillah penganjur pun memang cool dan boleh memberikan penjelasan kepada saya dengan sejelas- jelasnya. Tu pun selepas pemanggil pertama digantikan dengan pegawai lain... Hehehe.. Itulah saya.. Suami saya pun selalu cakap, saya ni sukar nak terima alasan macam tu jer.. mesti nak tahu sebab- musabab sampai puas hati...

Dalam erti kata, cerewet lah tu... :).. Mungkin betul saya berada dalam kategori cerewet. Tapi bagi saya, biar kita dapatkan penjelasan dan tamat kat situ je dari timbul silap faham yang berpanjangan... Itu kata kita ya... Tapi kalau orang lain lak cerewet kat kita, boleh sabar ke?.. Jawap.. jawap.. jangan tak jawap.. (ditujukan kepada diri sendiri..:)

Berbalik kepada cerita penginapan tadi. Saya dah sedikit panik lah jugak... Takkan nak batalkan... Tiket dah beli.. Anak2 pun dah menyimpan angan2 tinggi nak jumpa sepupu2 kat KL... Tapi, takkan nak duduk kongsi2... Dahlah menurut penganjur, penginapan saya kat situ tak boleh dibatalkan sebab bengkel tu dianjurkan secara pakej.. (semua kos penginapan, makan dan bengkel digabungkan)

Dalam gabra tu saya sempat tanya kat penganjur hotel terdekat. Dia sebut satu nama hotel. Cepat2 saya cari no telefon kat internet dan terus call. ALhamdulillah bila saya tanya, hotel tu memang bersebelahan dengan hotel tempat bengkel dianjurkan. Saya tanya lak kadar bilik dia... Hmm.. Telan air liur... :).. KIra kos tambahan lah ni...

Tapi sebenarnya dah tak de pilihan pun... Kira masuk akaun kos luar jangka... Saya call pulak suami... Alamak.. tengah discussion.. Tak leh cakap sekarang... Kena pilih masa yang tak stress untuk menyampaikan berita yang stress.. :).. Kena tunggu dia call balik lak....

Rasa berjam jugak lah tunggu suami call balik.. walhal baru jer beberapa minit. Memang sah penantian itu satu penyiksaan...

Bila suami call, saya cakap ada berita terkini. Suami kata:

"Kursus dibatalkan ke?.."

Dalam hati saya, petanda baik ni.. Sebab suami dah teka yang lebih teruk dari apa yang nak saya cakap.. (saya rasa lah.. :)

Bila saya cakap pasal tu dan kadar hotel terdekat, suami terus kata okay...

Haih... Coolnya suamiku.. Saya pun terkagum..

Tapi bila saya cakap yang penginapan tu terpaksa ditanggung sendiri, suami senyap seketika.. hehe..

Lepas tu suami tanya saya, macamana?... Nak batalkan ke?..

Saya kata balik, kalau batal kita rugi kos tiket. Kalau kita teruskan, kita tambahkan kos penginapan jer.

Lepas bincang2 balik, kami bersetuju untuk teruskan rancangan bermusafir kami. Dan anggapkan ini merupakan cabaran pertama yang telah berjaya diatasi.

Lagipun, deri segi positif, memang syukur banyak2 sebab tahu lebih awal. Sekurang2nya dapat buat Plan B awal2. Kalau dah depan kaunter tu baru Receptionist tu cakap:

"Puan duduk berkongsi dengan peserta lain.."

Tak ke ternganga saya...

Cabaran Pertama: Insya'Allah.....

Salam..

Bermusafir

Assalamualaikum wa rahmatullah...

Terkini:

Pagi tadi dikejutkan dengan telefon dari emak. Datuk saudara meninggal dunia malam tadi.. Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.... Sebelum kerja menjenguk bersama suami, dan adik dan suaminya.


Semasa:

Seketika saya tidak mengemaskini blog. Tapi saya tetap menjenguk kemaskini rakan2 sebagai pembaca senyap. Saya menyepi untuk muhasabah diri... :)..

Dan kembali memblog untuk berkongsi cerita paling terkini.


Semalam, awal pagi bos dah cari... Kebetulan saya datang lambat... Hehe.. Saspen pergi jumpa bos.. Bersih la saya diberus lepas nih... :)

Masuk je bilik bos, tengok muka dia okay jer... Rupa2nya dia nak suruh saya gantikan dia menghadiri bengkel kat Melaka.... Jeng.. jeng.. jeng... (mula nampak mentol menyala..)

Saya terus call suami...

Sebenarnya kami memang merancang nak ambil cuti serentak minggu depan sempena cuti sekolah. Niat kami nak melapangkan masa bersama anak2 di rumah atau keluar berjalan2. Memang tak de rancangan nak melancong jauh...

Bila saya cakap kat suami, dan berkebetulan sebelum ni memang kami pernah intai2 tiket firefly konon2 nak menjenguk abang sulung dan keluarga kat KL (tapi nampaknya firefly kuch- kl je murah.. kl - kuch parah.. :), suami saya terus log in air asia.

Semak2 tarikh pergi balik dan kos penerbangan untuk sekeluarga, nampaknya sesuai dan dalam bajet...

Guess what?...

Kami sekeluarga akan bermusafir....

Sepatutnya memang seronok dapat jalan- jalan... Tapi, dengan seorang kanak2 di bawah 2 tahun, kena rancang betul2 supaya musafir kami dipermudahkan Allah....

Musafir ni kira memang musafir betul sebab kami ambil penerbangan kuching JB. Dari JB ke Melaka pulak Insya'Allah naik bas. Dan dari Melaka ke Kl lepas tamat kursus pun naik bas.

Lepas ziarah abang dan keluarga di KL, balik pun ikut JB. Di samping nak jimat kos, ambil peluang pulak nak ziarah kawan karib saya kat uni dulu yang duduk kat JB.

Sekarang ni sedang buat senarai semak barang2 yang nak dibawa. Kalau boleh, seminima mungkin untuk memudahkan perjalanan.

Semoga dipermudahkan Allah.. Amin...

Monday, 15 November 2010

9 Zulhijjah, Hari Arafah

Salam...

Alhamdulillah saya rasa ceria sangat hari ni.... Kenapa ya?..

Kerana kali ni saya dipermudahkan Allah SWT untuk menunaikan puasa sunat Arafah.

Kenapa pulak saya ceria sebab dapat puasa sunat Arafah?..

Sebab seingat saya, inilah kali pertama saya melaksanakan puasa sunat Arafah ni. Sebelum ni entah kenapa saya selalu ambil ringan dan sedar2 dah tiba Hari Raya Qurban.

Di antara langkah2 yang saya buat supaya tak lupa ketibaan 9 Zulhijjah ialah:

  1. Awal2 mintak izin kat suami nak buat puasa ni...
  2. Buat entri kat blog pasal puasa ni...
  3. Buat peringatan dalam hp..
  4. Malam tadi ajak suami keluar jap carik mee crispy sebab nak puasa hari ni.. (alasan.. hehe)
Insya'Allah semoga selamat sampai ke petang...

Salam....

Sunday, 14 November 2010

Tiba- tiba teringat

Salam....

Saya tiba- tiba teringat suatu kisah...

Seorang pedagang sedang di dalam perjalanan apabila melihat seseorang yang sedang memerlukan pertolongan. Dia berhenti untuk membantu kerana kasihan.

Rupa- rupanya orang itu merupakan perompak yang sengaja berpura2 di dalam kesusahan untuk menarik perhatian orang untuk berhenti.

Semasa disuruh mengeluarkan barang2nya yang berharga, pedagang tersebut menyatakan kepada perompak...

" Aku tidak risau akan kehilangan barang2 berharga ini, tetapi aku bimbang sekiranya nanti ada orang yang betul2 di dalam kesusahan tidak akan dibantu lagi kerana bimbang ia hanya perangkap perompak..."


Saya tidak pasti sumber cerita ini... Sekadar untuk renungan sejenak...

Wallahua'lam...

Thursday, 11 November 2010

Takut kubur gelap

Salam...

Tidak seperti Fatihah, Maryam "liat" sedikit nak mula belajar solat. Setiap kali diajak menyertai kami solat berjemaah, dia akan mencari pelbagai alasan.

Namun, Alhamdulillah sekarang lebih mudah nak ajak dia solat...

Sebabnya?...

Ceritanya begini.....

Kami sekeluarga pernah bercerita pasal kehidupan di alam barzakh semasa membaca buku mengenai tajuk tersebut.

Sebenarnya anak- anak yang mula bertanya mengenai kehidupan di alam kubur apabila kami singgah menunaikan solat di sebuah masjid yang dikelilingi kawasan perkuburan.

Nak cerita pun tak begitu arif sangat menyebabkan saya dan suami mencari buku mengenai alam barzakh. Dan bila dah jumpa dan suami bercerita serba sedikit mengenai alam barzakh, pelbagai pertanyaan keluar dari mulut anak- anak.

Sehingga keluar isu bahawa kubur tu gelap dan banyak haiwan2 berbisa. Tapi kalau kita rajin menunaikan solat, kubur kita akan terang - benderang dan haiwan berbisa pun takut nak datang.

Memang ilmu mengenai alam kubur ni termasuk dalam ilmu ghaib yang kita tak pasti konsep sebenar, namun kami cuba seberapa boleh untuk mengaitkan dengan hakikat nyata untuk memudahkan anak- anak faham.

Dan tiba- tiba suatu hari Maryam secara sukarela memberitahu dia nak ikut solat. Saya tanya kenapa tiba2 je berubah?.

Dia jawab,

"Adik takut kubur gelap"

Alhamdulillah, sehingga sekarang dia sedaya- upaya akan menyertai kami menunaikan solat berjemaah.



Surah Taha Ayat 132:"Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa."

Terjemahan Dalam Bahasa Malaysia
Tafsiran Ar-Rahman

"Enjoin prayer on thy people, and be constant therein. We ask thee not to provide sustenance: We provide it for thee. But the (fruit of) the Hereafter is for righteousness."
Terjemahan Dalam Bahasa Inggeris
Tafsiran Abdullah Yusuf Ali


Wallahua'lam...

Wednesday, 10 November 2010

Sapa nak beli insuran ni?..

Salam...

Hari tu saya pernah buat entri mengenai insuran, kan?..

Kali ni saya nak cadangkan satu cara untuk menyertai salah satu plan insuran yang melayakkan kita untuk mendapat perlindungan di hari yang tiada perlindungan melainkan perlindungan Allah.

Salah satu pelan insuran tersebut ialah membanyakkan bersedekah tanpa diketahui sesiapa sehingga dikatakan tangan sebelah pun tidak tahu yang tangan sebelahnya telah bersedekah...

Semasa blogwalking saya terjumpa dengan laman web yang memaparkan imej seperti di bawah:



Dengan hanya memperuntukkan RM10 sebulan Insya'Allah melayakkan kita untuk dipertimbangkan untuk menyertai skim insuran tersebut.

Caranya senang sahaja (terutama untuk yang memilik akaun Maybank):

1. Log in ke dalam MBB2u di laman www.maybank2u.com.my.
2. Pilih Third Party Transfer
3. Dapatkan no TAC
4. Masukkan no akaun dan jumlah yang dikehendaki (RM10)
5. No akaun yang tepat akan memaparkan nama Tabung Palestin Haluan
6. Klik Confirm.

Kalau nak buat secara konsisten setiap bulan, daftarkan sahaja kat Favourite Third Party Transfer. JAdi tak perlu nak dapatkan TAC dulu untuk membolehkan pindahan wang. Lebih mudah.

Semoga Allah menilai dan menerima amalan kita sebagai ibadah untuk Nya semata- mata...

Insya'Allah.

Panggilan Haji

Salam...

Bersempena dengan musim haji sekarang ni, saya nak kongsi apa yang saya dah lakukan hari ni yang berkaitang dengan ibadah haji yang merupakan salah satu Rukun Islam.

Pagi tadi saya temankan suami buat pengeluaran di Tabung Haji. Terus kami ambil peluang untuk daftar haji.

Nak tau tak tahun bila kami dijangka akan dipanggil?

V
V
V
V
V
V
V
V
TAHUN 2035

Betul ... 25 tahun lagi... Lama tu.... Kira punya kira, waktu tu saya berusia 63 tahun...

Ya Allah.. Merasa ke saya nak menjejakkan kaki ke Tanah Suci ni? ....

Semoga ALlah permudahkan urusan dan niat kami suami isteri untuk menunaikan ibadah haji...

Jadi, pengajaran kat sini, sesiapa yang belum mendaftar tu, sebaik2 nya daftar lah segera asalkan duit kat tabung haji dah mencecah RM1,300. Bila2 nak pegi cerita kemudian....

Kita setakat merancang, Allah jua yang menentukan...



Salam...

Tuesday, 9 November 2010

Puasa Sunat di Hari Arafah

Salam...

Saya nak berkongsi maklumat kat sini untuk peringatan saya sendiri... MAklumat ni saya rujuk dari Utusan Malaysia..


Daripada Abi Qatadah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang." (Riwayat Muslim)



Untuk makluman semua termasuk saya, hari Arafah ialah 9 Zulhijjah yang mana pada tahun ini jatuh pada 16 November 2010 hari Selasa.

Jadi, sapa2 yang berniat nak puasa sunat pada hari Arafah, ingat ya tarikh ni.... 16 November 2010, hari Selasa..

Salam.....

Jeng.. jeng.. jeng...

Salam...

Sebenarnya saya buat entri lain, tapi lepas tu saya save dan simpan kat draf jer.

Jadi, untuk ganti entri tu saya nak buat entri pasal apa yang dah saya buat sebentar tadi....

Apa saya dah buat?..

Saya baru jer buat order online untuk barangan kraf kain felt. Sebenar saya belum pernah pun cuba buat benda kraf felt ni (kraf lain pun belum pernah buat.. :))... Saya tahu pasal benda ni bila saya buat aktiviti blogwalking....

Tup..tup.. teringin pulak saya nak cuba bila tengok benda2 yang comel2 tu... Harap2 nya ia tak menjadi koleksi bahan mentah yang akan menghiasi stor saya.... :)

Dah order dan bayar terus... Kira2 dalam tiga empat hari lagi sampailah kot.. Insya'Allah...

Sekian, terima kasih.. :)

Sunday, 7 November 2010

Bicara Pedusi

Salam...

Kalau hari tu kali pertama saya sertai giveaway, kali ni kali pertama pulak saya sertai contest..

Saya tertarik nak sertai contest ni sebab hadiahnya ialah sebuah buku yang baru diterbitkan di luar negara... Nak tau lebih lanjut mengenai contest ni, sila klik di sini...

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++

[1] Letakkan gambar buku "Bicara Pedusi" di dalam blog anda.


Saya dah letakkan satu gambar kat dalam entri ni dan satu lagi kat sidebar blog saya..

[2] Tuliskan sebab-sebab "Kenapa Saya Perlu Mendapat Buku Ini Dari Puan Insyirah?"

Sila rujuk di bawah..

[3] Ayat 'gorengan' mestilah lebih dari 200 patah perkataan. Sila gunakan kreativiti anda untuk 'memancing' ana supaya memilih karangan anda untuk mendapatkan buku ini. Ingat! Kalian satu-satunya yang memiliki buku ini di Malaysia (selain adinda ana). Percuma pula tu... Haih, tak nak ke? ^_~


Kenapa saya perlu mendapatkan buku ini dari Puan Insyirah?

Sebab utama saya perlu mendapatkan buku ini dari Puan Insyirah ialah kerana ia merupakan satu- satunya salinan buku novel Bicara Pedusi yang ada di Malaysia pada masa ini.

Sebab yang lebih utamanya ialah seperti catatan saya yang seterusnya....

Saya memang minat membaca pelbagai jenis buku termasuk novel. Namun memandangkan masa saya amat terhad dan perlu diperuntukkan untuk aktiviti- aktiviti lain termasuk kerjaya, keluarga dan Allah, maka saya perlu menapis jenis bahan bacaan saya.

Ini bermakna saya perlu memastikan bahan bacaan saya memang bermanfaat dan memberikan pulangan yang tinggi kepada saya. Melalui bahan bacaan tersebut saya berharap ia akan meningkatkan ilmu saya dan seterusnya menjadikan saya lebih dekat kepada Allah swt.

Bahan bacaan saya tak semestinya hanya dari lingkungan agama semata- mata kerana saya percaya setiap ilmu yang bertebaran di muka bumi ini adalah hak Allah. Dan selagi ia bermanfaat dan membimbing kita ke arah kebaikan, maka ia adalah di dalam kategori bahan bacaan yang saya utamakan.

Kembali kita kepada kenapa saya perlu mendapatkan buku ini... Kenapa ya? Ia sebuah novel yang saya belum baca dan belum pernah dengar ulasannya dari pembaca lain... Jadi, kenapa saya ingin mendapatkannya dan yakin bahawa ia adalah dari bahan bacaan yang mampu memanfaatkan diri saya?

Untuk menjawab persoalan ini, saya perlu mengetengahkan serba sedikit sejarah saya berkenalan dengan penulis buku ini....

Gempak tak?.. Saya kenal dengan penulis buku ini... Sebenarnya saya cuma mengenali beliau melalui tulisan di blognya.... Saya terjumpa linknya dari blog rakan blogger saya (tapi tak ingat sapa)....

Dan pertama kali saya membaca blog beliau saya telah tertarik dengan cara penulisan beliau... Saya terus mengikuti blog tersebut dan pada masa yang sama saya membaca blog beliau secara tebuk- tebuk dari awal untuk memudahkan kefahaman ke atas entri- entri beliau...

Dan di antara entri- entri yang saya baca ialah dua cerpen beliau. Dan cerpen "Saya sudah bertunang" mencuri emosi saya sehingga saya menitiskan air mata.. (untuk rekod, saya bukanlah golongan yang mudah menangis hanya dengan membaca novel/ cerpen)..

Cerpen itu menyedarkan saya bahawa sebenarnya saya sudah "bertunang" dan bila- bila masa akan "dinikahkan".. Tak nak cerita panjang- panjang pasal cerpen ni.. sapa- sapa berminat nak tahu, sila cari sendiri di blog beliau ya... :)

Dan sebab itulah saya perlu mendapatkan buku ini dari Puan Insyirah.... Saya yakin dengan membacanya, saya akan memperolehi banyak manfaat yang boleh membantu mendekatkan saya kepada Pencipta saya, Allah swt. Insya'Allah....


(Puan penganjur: harap dah mencecah bilangan perkataan yang diperlukan ya.. :))

[4] Contest berakhir pada 14 November 2010 (10 hari sahaja). Sehari boleh buat 20 patah perkataan (20 perkataan x 10 hari = 200 perkataan) tambahkan perkataan 'terima kasih' dah jadi 202 patah perkataan kira lulus dah tu.

Hari ni 8 November 2010.. JAdi, penyertaan saya masih dalam tempoh yang ditetapkan

[5] Kepada yang SUDAH menyiapkan ayat gorengan "Kenapa Saya Perlu Mendapat Buku Ini Dari Puan Insyirah?" sila maklumkan (berserta link blog, contoh :
http://niqobgirl.blogspot.com/2010/11/bicara-pedusi.html) di ruangan komen yang disediakan.

Lepas ni saya buat.....

+++++++++++++++++++++++++++++++++++

Catatan selepas pemisah ++++ ni bukan syarat contest ya... :)

Nervous nih.... Macam lepas jawab soalan periksa pulak dah.... :)

Saya nih memang allergic kalau masuk pertandingan... sebab tu sebenarnya saya jarang ikut mana2 pertandingan walaupun di alam nyata.... Saya ni kira ada simtom low self esteem sikit.... Yang ini pun saya gagahkan jugak sebab seperti yang saya tulis di atas lah... :).

Tak nak tulis panjang2 lah.. nervous nih.. :)

Salam.....

(Ya Allah, permudahkan urusan ku.... Amin)

p/s: kawan2 blogger... tolong aminkan ya... :)



Dah ambil skim insuran ni?.

Salam...


Kali ni saya nak jadi ejen skim insuran terkini..


7 golongan yang akan mendapat lindungan Allah di hari yang tiada satu pun perlindungan melainkan perlindungan Allah (swt):

  1. Imam yang adil
  2. Pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah swt
  3. Lelaki yang hatinya terikat dengan masjid
  4. dua orang yang bertemu dan berpisah kerana Allah semata-mata
  5. Lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan menolak godaan itu semata2 kerana takutkan Allah swt
  6. Golongan yang banyak bersedekah
  7. Golongan yang banyak membaca berzikir mengingati Allah swt
(Hadith Bukhari dan Muslim)

Jadi, terpulang untuk kita memilih sekurang2 nya satu dari skim insuran di padang Mahsyar di atas.....

Wallahua'lam...

Sukarnya...

Salam..

Satu khabar yang saya terima di hujung minggu ini mengajar saya betapa sukarnya kita nak melaksanakan apa yang kita ucapkan....

Begitu mudah melafazkan/ menyarankan kita harus berbuat begitu begini untuk mendapat keredhaan Allah, namun apabila sesuatu berlaku yang memerlukan kita melaksanakan saranan tersebut, ternyata hati kita mula berkira....

Semoga Allah meredhai keputusan/ tindakan yang telah kami suami isteri ambil dalam menangani hal ini....

Insya'Allah....

Friday, 5 November 2010

Yess..

Salam..

Ingat tak dengan entri saya terdahulu mengenai stimbot dan gril?...


Guess what?..

Saya baru teringat, malam ni kami nak bawa anak2 dan kakak makan stimbot dan gril.... Seronoknya.. (lebih2 lah pulak)..


Tak sabar nak tengok budak2 dan kakak ternganga seperti saya hari tu....

Sekian, terima kasih... :)

Thursday, 4 November 2010

Seram

Salam..

Pernah tak kita tonton cerita seram?... Mesti pernah, kan...

Selalunya "benda" ni bila menjelma konon2nya akan menjelma dalam bentuk yang cantik contohnya perempuan yang cantik. Lepas tu pulak akan ada watak "pakar" yang boleh tengok rupa asal "benda" ni yang menakutkan... (Kononnya..)

Kenapa saya cerita pasal ni?...

Sebenarnya saya terfikir mengenai konsep dunia yang sementara ni... Semuanya nampak indah2 belaka... Seronok... Sehingga rasa sayang nak ditinggalkan...

Tapi seandainya kita tahu tarikh akhir kita berada di dunia yang sementara ni, agaknya sama tak lagi nilai dunia ni di mata kita?...

Takde lah maksud saya ingatan kepada mati menyebabkan kita terus meninggalkan sepenuhnya urusan dunia, dan terus 24 jam berada di tikar sejadah...

Namun, kesedaran dengan hakikat kematian pasti akan menyedarkan kita bahawa kita tidak seharusnya bermatian2 mengejar dunia kerana semua itu akan ditinggalkan.

Malahan, kesedaran tentang hakikat kematian sepatutnya akan menjadikan kita insan yang lebih bertanggungjawab ke atas tugasan dunia kita. Hal ini kerana setiap tanggungjawab pasti dilaksanakan dengan segera kerana masa amat terhad.

Dan tanggungjawab di dunia yang tidak terlaksana dengan sempurna akan menyebabkan perjalanan di akhirat menjadi sukar.

Seperti kata penceramah di Radio Ikim pagi tadi, apa yang bakal kita hadapi di alam akhirat bergantung dengan cara kita hidup di dunia...

Wallahua'lam..

Salam..

Wednesday, 3 November 2010

Kawan Lama

Salam...

Baru semalam saya berhubung kembali dengan jiran sebelah katil sewaktu duduk di asrama semasa saya belajar di tingkatan empat... Lama tu.... Dah hampir nak suku abad...

Ceritanya, rakan sebatch saya telah buat satu page kat facebook untuk batch kami. Kebetulan dia rakan sekelas saya, dia pun invite saya ke dalam group tu....

Bila dah join, saya pun menerima pelbagai makluman untuk setiap posting kat situ... Malam tadi saya bersiar2 lah kat situ membaca pelbagai posting yang kebanyakannya dibuat oleh pelajar lelaki (pelajar ikhwah adalah gelaran untuk mereka semasa saya belajar di situ dulu)...


Tiba2 saya terbaca posting yang menyebut nama sama dengan jiran sebelah katil saya tetapi memiliki gelaran doktor di depannya. Hamba Allah ni pulak ada jugak reply posting tu.. Untuk mengelakkan dari tersilap orang, saya klik ke profilnya tapi disekat untuk bukan rakan.

Jadi, saya cuba tengok gambar profilnya pulak... Macam CSI pulak saya... Alhamdulillah gambar profilnya memaparkan gambar dua orang anaknya yang masih kecil, mungkin seusia anak2 saya... Dan saya tengok, junior2 tu memang ada iras jiran saya waktu masih remaja dulu (16 tahun tu memanglah remaja ye dak..)

Kira excited jugaklah sebab saya memang putus hubungan selepas SPM. Seingat saya memang saya tak jumpa dah lepas tu dan kami tak sama uni rasanya... So, saya terus hantar mesej kat dia malam tadi. Saya memang jarang hantar friend request sebab segan tak pasti orang nak masukkan kita dalam friend list dia tak dan takut silap orang...

Tadi saya cek emel dan tengok dah ada reply dari dia.. Alhamdulillah memang sah itulah jiran sebelah katil saya dulu... Saya memang ingat sangat sebab dia ni memang baik...

Sekolah saya ni dari tingkatan 4 hingga tingkatan 6 atas... Jadi, masuk tingkatan 4 tu macam masuk tingkatan satu jugaklah... Tambah2 lagi, saya ni pelajar "oversea" yang baru pertama kali berpisah dari keluarga menyeberangi laut china selatan.. Keduanya pulak, kami pelajar "oversea" yang hanya 9 orang tu masuk lambat dalam 2 bulan berbanding dengan pelajar "local".

Waktu mula2 sampai tu, rasa tersangatlah asing dan sedihnya. Pihak asrama pun amatlah bijaksana.. Kami pelajar perempuan yang hanya 5 orang tu diorang bahagikan pulak di lima bilik yang berbeza (tapi bersebelahan)... Sedih tau walaupun bersebelahan... Setiap kali makan, kami orang pun berkumpul dan buat cerita sedih.. lepas tu semua pakat mata merah...

Kembali kepada kisah kawan saya ni... Bukan dia jer sebenarnya... Semua kawan2 "local" ni sebenarnya pun baru first time jugak ada pengalaman jumpa budak "oversea".

Bear in mind, zaman tu adalah penghujug 80 an dan belum wujud lagi Airasia, internet, telefon bimbit dan astro...

Jadi diorang pun amat baik menerima kedatangan kami... Tapi kawan saya ni terlebih2 lah istimewa sebab dia yang bertuah katil sebelah dia masih kosong dan akhirnya sekarang dia dah berteman...

Yang saya ingat sangat, kalau dulu (tak tahu sekarang), duduk asrama malam2 memang takut.. Terutama kalau ada kes misteri nusantara... Mau menangis ooo... Dan kami berdua ni yang katilnya paling dekat dengan pintu (katil atas pulak tu) dan kedua2nya pulak kategori tragis penakut... Pernah satu ketika tu, kami tidur rapat2 tepi katil (di katil masing2) dan berpegang tangan.. Bukan romantika punya pegang ok... :).. Menggeletar punya pegang (pun bukan menggeletar yang itu ok.. :))

Apa2pun, pengalaman saya semasa pertama kali berpisah dengan keluarga kerana nak menuntut ilmu di "oversea" memang amat berharga dan layanan yang baik dan ikhlas dari rakan2 "local" waktu tu memang sangat2 saya hargai kerana sudi menjadi ganti kerinduan kami dengan keluarga yang jarang dapat dihubungi (nak telefon biasa pun mahal tau..).


Dan untuk Dr Ada, saya gembira dapat berhubungi kembali dengan kamu... Kenangan bersama kamu dan rakan2 sebilik yang lain suatu masa dulu tetap segar terawet di lubuk hati saya....

"Sahabat2 lama itu umpama permata bergemerlapan yang tidak ternilai harganya"

Salam....

Mama, beli pembaris....

Salam...

Esok hari pertama Fatihah ujian akhir tahun. Dan bermulalah permintaan nak beli alatan sekolah.

Ujian lepas rasanya beli pensel warna. Kali ni pulak beli pembaris. Dah lah esok nak ujian, petang ni baru nak cakap. Bila pulak nak beli...

Saya tanya, selama ni pakai apa?

Dia jawab apa?... Pakai tepi kad... Hah?.. Kesiannya anak aku....

Saya takut tak sempat nak beli, mula buat otak kreatif... Nampak gayanya kena pinjam pembaris keje mama lah dulu. Nanti kalau jumpa kedai, Mama beli....

Selamat menjalani peperiksaan ya Fatihah... Semoga ALlah permudahkan... Insya'Allah..

Tuesday, 2 November 2010

Dr Muhaya Mohamad

Salam..

Siapakah Dr Muhaya Mohamad ni?...

Dr Muhaya Mohamad merupakan seorang doktor pakar mata yang terkenal di Malaysia. Boleh rujuk laman web beliau di sini.

Yang saya nak bicarakan di sini bukanlah mengenai kepakaran beliau di dalam bidang perubatan khususnya mata. Sebaliknya saya ingin menyentuh mengenai pendekatan dan pandangan beliau mengenai keindahan Islam dari sudut pandang beliau sebagai seorang pakar mata tersebut.

Sebenarnya lama dah saya "jatuh cinta" dengan pendekatan Dr Muhaya. Saya mula mengenali beliau melalui Segmen beliau di IKIM.fm iaitu "Islam itu Indah". Buat masa ini, beliau akan ke udara pada pukul 10.oo pagi setiap Rabu.

Setiap kali beliau ke udara, saya akan memastikan saya mengikuti segmen tersebut dari mula sehingga ia berakhir. Saya tak pasti pun berapa lama program tu ke udara sebab kalau boleh saya memang tak nak ia berakhir. Rasa tak puas nak dengar pandangan2 Dr Muhaya dalam segmen tu.

Yang saya suka ialah pendekatan beliau mengenai minda positif dan tenaga positif yang boleh disebarkan untuk mewujudkan persekitaran yang positif. Dalam setiap program, beliau akan menggariskan pelbagai tips2 untuk menuju ke arah tersebut.

Sebagai contoh, sekiranya ingin mendapat layanan yang baik dari orang lain, kita harus memulakannya dengan melayan orang lain dengan baik. Dan beliau kerap menggunakan poin 1, poin 2 dan seterusnya.

Saya rasa poin2 yang digariskan beliau seperti mutiara2 yang digugurkan dari langit. Tapi sebab ia merupakan percakapan, saya tak sempat nak catatkan. Dan terfikir alangkah eloknya kalau beliau ada blog untuk saya merujuk pendapat2 beliau.

Dah lama dah saya cuba cari tapi tak pasti nama penuh beliau. Alhamdulillah, dalam segmen hari ni ada sms yang bertanya mengenai perkara ni. Bila saya cuba gelintar di google, saya terjumpa laman web beliau seperti yang saya pautkan di atas.

Tapi yang paling bestnya, dari situ saya terjumpa blog beliau di sini. Saya rasa sebab dia sibuk sangat, tak banyak entri yang dibuat. Tapi sekurang2nya ia satu permulaan yang bagus untuk saya mengikuti perkembangan Dr Muhaya.

Saya doakan Allah anugerahkan kelapangan dan kekuatan untuk Dr Muhaya kemaskini blog beliau walaupun ringkas supaya orang2 seperti saya dapat memanfaatkan ilmu2 tersebut, Insya'Allah.

Radio Ikim

Salam...

Semalam, balik dari kerja saya singgah di rumah mak kerana menziarahi abang saya yang balik kampung.

Seperti biasa, selepas salam dan muah muah dengan mak, saya masuk bilik jenguk abah. Nak salam dan muah muah abah pulak... Memang semenjak abah kurang sihat, dia lebih gemar duduk di bilik sahaja berehat2.

Suatu masa dulu saya pernah bincang2 dengan suami nak hadiahkan abah radio untuk temankan dia kat dalam bilik. Nanti dia boleh dengar radio IKIM yang memang tidak dinafikan banyak sangat maklumat yang disebarkan.

Tapi bila borak2 dengan adik, dia pulak berpendapat belikan tv untuk Abah... Jadi, hilanglah isu tu... Kat rumah bukan takde radio, tapi radio tu memang radio lama yang saya beli sewaktu saya mula2 masuk kerja dulu (berkurun lama)...

Alkisahnya, waktu saya masuk bilik jenguk abah semalam, saya terkesan sesuatu yang berbeza. Saya toleh kiri.. saya toleh kanan... Rupanya ada suara asing kat dalam bilik tu...

Saya toleh lagi.. saya toleh lagi.... sekali tu saya tengok rupa2nya ada radio baru le... Abah sedang bersantai2 dengar radio IKIM. ALhamdulillah...

Kepada abang dan kakak iparku tersayang... Barakallahu fikum.... Comel radio yang dihadiahkan tu.... :)

Dan satu lagi, jubah untuk bonda tu cantik dan amat panjang... Dan bonda suruh saya potongkan... nampak gayanya, raya tahun depan le baru mak dapat pakai.. he.. he...

Monday, 1 November 2010

Steamboat and grill

Salam..

Malam semalam, saya dan suami keluar sebentar untuk isi minyak kereta saya dan buat urusan di mesin atm.

Dalam perjalanan balik saya teringatkan Maryam yang suka makan roti bawang putih. Suami terus membelok untuk singgah di kedai kek berdekatan.

Nak jadi cerita, saya terpandang sebuah kedai makan stimbot. Saya tak pernah makan stimbot tapi suami pernah beberapa kali diajak kawan2nya. Dia pun memang pernah cakap nak bawak saya makan stimbot tapi belum lagi terlaksana.

Tup2 malam tadi suami terus ajak singgah kat situ. Saya pun ikut je le. Memang suci dalam debu betul pengalaman saya dengan stimbot ni. Tak tahu langsung apa benda dan konsepnya.

Masuk2 je kedai, suram2 je pencahayaannya... Kira ambik feel romantika kot. Tengok meja dia istimewa sikit. Kat tengah dia ada lubang sebesar bola golf. Lepas tu kat dinding dekat meja searas lutut pulak ada suis.

Masih blank lagi nih. Datang le sorang pelayan bawak menu. Baca2 dalam tu, ada set untuk seorang (RM19.90) dan set "karnivor" untuk 2 ke 3 orang (RM39.90). Lepas tu ada pulak harga untuk hidang satu2 setiap item.

Since kali pertama buat kerja ni, saya ingat tak payah lah pakai set dulu. Pilih2 mana yang nak... Cakap la kat pelayan tu, sekali dia jawab,

"Yang tu untuk order tambahan kak. Akak pilih antara set sorang atau set karnivor ni dulu. Kalau nak tambahan, baru order pakai yang tu."

Oooo... Macam tu ya...

Kalau macam tu, saya pun pilih yang untuk sorang. Adik tu kata,

"Yang tu untuk sorang. Kalau 2 ke 3 orang, ambik set karnivor ni."

Ehh.. tak boleh ke?. Saya kalau makan dengan suami, memang ambik set individu jer... romantik.. he he.. ye ke?.. ke nak jimat bajet?..

Sebab belum reti sangat, kami ikut je lah cadangan adik pelayan tu dan pilih set karnivor.

Lepas tu adik tu tanya lagi,

"Nak sup ayam ke sup tom yam."

Ni part yang best sekali... Saya pun tanya balik,

"Sup ni masuk sekali dalam set ke?.."

Adik tu pun jawab,

"Aaa.. aaa...."
(Dalam hati dia cakap yang ni.. "Akak ni memang sah tak pernah makan stimbut.. ha ha ha..")

Lepas tu baru saya faham, dah namanya stimbut, kalau tak de sup, kat mana nak campak menda2 yang pelbagai tu...

Lepas tu baru le diaorang siapkan peralatannya; periuk stimbut, mangkuk dan sup kat tengah2 periuk tu, dan pelbagai2 makanan laut kat dalam piring empatsegi: udang, ikan, sotong yang dah dilumur rempah, bebola ikan dan satu benda yang saya tak kenal.

Periuk tu pulak dia letak betul2 atas lubang di tengah meja tu.. Dan suis tu pulak untuk masak ler.... hhmmm..

Lepas tu suami pun tunjuk le bakat memasaknya.... Kalau nak yang stim, masuk kan dalam mangkuk.. Kalau nak gril pulak, bubuh minyak sikit dan campak jer bende2 gril kat periuk tu...

Saya pulak baru lah nampak jelas macam mana sebenarnya benda stimbot dan gril ni. Saya suka gril lagi dari yang stimbot. Udang dia memang segar. Hirisan ikan dia pun sedap.

Kalau dah set tu pun untuk 2 ke 3 orang, memang tak larat nak habiskan. Nasi yang sepinggan pun kami tak dapat habiskan. Akhirnya dengan wajah yang manis, kami mintak adik tu tapaukan; sup stimbut dan sayur sekali, bebola ikan (sikit jer kami makan) dan juga nasi putih. Yang lain2 tu berjaya kami habiskan.

Itulah dia catatan pengalaman pertama saya makan stimbot dan gril. Dalam sedap2 makan tu teringat2 kat anak2 kat rumah. Kalau diorang ada, mesti diorang seronok makan pelik2 macam ni...

Cakap kat suami, Insya'Allah destinasi seterusnya untuk sessi makan kat luar, kami dah dapat tempatnya...

Salam...

Hadirmu bermisi

Dari waktu ke waktu
jiwa yang kontang
dihambat resah dan gelisah
gemerlap permata dunia
kemilaunya menyilau pandang

aku di sini
berlari dan berlari
mengejar mimpi
dan pelangi pagi
laut angan tak bertepi

kembalilah jiwa yang alpa
hadirmu bermisi
lahirmu bervisi
memakmurkan bumi
kerana Illahi.