Sepanjang tempoh tiga puluh enam tahun aku menyedut udara segar di bumi Allah ini tanpa disedari telah cukup banyak juga aku mengembara. Walau mungkin tidak seperti orang lain yang telah menjenguk ke seluruh pelosok dunia, namun boleh dikatakan kehidupanku tidak terhad kepada satu kediaman sahaja.
Menurut ibu, kami tiga beradik yang tua dilahirkan di kampung asal nenek dan datuk kedua-dua belah ibu dan abah di pinggir Sungai Sarawak. Namun, samar-samar dalam fikiranku, kami pernah menghuni rumah kayu di tepi jalan yang sunyi. Rumah tersebut terletak berhampran dengan hutan. Di belakangnya terdapat bukit batu kapur. Terbayang juga di ruang mataku sebuah perigi yang jernih airnya. Semasa tinggal di rumah itu ibu melahirkan anak perempuannya yang keempat di Hospital Kuching.
Namun, tiba-tiba kami kembali semula ke kampung. Menurut ibu, kami terpaksa berpindah balik ke rumah nenek di kampung kerana risaukan keselamatan kami anak beranak ketika abah bekerja. Memang abah bekerja syif malam setiap selang hari. Sementelahan pula, telah berlaku suatu kejadian pembunuhan di kawasan berhampiran dengan rumah kami. Aku sendiri tidak pasti berapa lama kami menetap di kawasan terpencil itu.
Seterusnya, kami berhijrah pula ke sebuah perkampungan "haram" di tepi sungai Sarawak. Ia terletak betul-betul di sebelah jambatan konkrit yang menghubungkan kawasan Bandar Kuching dan kawasan Petra Jaya. Masa itu abang berada dalam Darjah Satu. Jadi, dia terpaksa menumpang di rumah emak saudara kami di kampung sementara menunggu hujung tahun untuk dipindahkan ke sekolah baru di bandar. Kami berpindah hanya tiga beradik bersama ibu dan abah. Adik perempuan bongsu yang ibu lahirkan semasa kami tinggal di rumah nenek juga tidak berpindah. Dia telah ibu serahkan dalam jagaan adik perempuannya semenjak berumur tiga bulan.
Aku masih teringat kampung baru kami di tepi jambatan itu. Kalau aku tak silap, kami tiba di sana menaiki bot tunda milik bapa saudara sebelah abah. Minda mudaku masih merakam pemandangan asing itu. Masih tidak banyak rumah yang ada. Aku hanya dapat melihat lalang menghijau seperti sawah padi. Aku tidak berapa ingat, tetapi yang pastinya pondok yang kami diami amat kecil. Tanpa sebarang bilik. Tiada ruang dapur. Tiada bilik mandi. Di suatu sudut terdapat satu lubang kecil. Betul-betul di bawahnya digalikan lubang yang sentiasa dipenuhi air kerana kawasan kampung kami dinaiki air apabila air sungai pasang besar. Seingatku ia digunakan kami kanak-kanak untuk melepaskan hajat. Tandas gantung ada dibina berjauhan dengan rumah kami. Mungkin berkongsi dengan jiran.
Kami tinggal di pondok itu bukanlah tetap tetapi sementara menunggu rumah yang lebih selesa siap dibina. Sebenarnya separuh dari masa kecilku adalah di kampung ini dan terlalu banyak pengalaman pahit manis yang kami rasai di sini. Namun aku tidak hendak bercerita lebih panjang lagi saat berada di sini kerana mungkin ia akan dilanjutkan di ruang yang berbeza.
Selanjutnya semasa menjejakkan kaki ke sekolah menengah, permohonan ibu dan abah untuk menyewa sebuah lot kedai di kawasan Petra Jaya telah diluluskan. Pada mulanya perniagaan di situ diserahkan kepada sepupu kami yang masih menganggur selepas tamat sekolah. Tetapi apabila masing-masing meninggalkan bandar untuk meneruskan kehidupan, ibu dan abah mengambil keputusan untuk sepenuh masa tinggal di kedai. Bahagian belakang kedai diubah kepada tempat tinggal. Ruang mandi disekat oleh dinding memisahkan ruang utama. Walaupun pada masa itu kami sudah tinggal di asrama, namun setiap kali balik kami adik-beradik akan turut tinggal di belakang kedai bersama dengan ibu dan abah.
Pada masa yang sama ibu dan abah juga membeli sebuah rumah di kampung berdekatan. Rumah tersebut dijual oleh pemiliknya yang memerlukan wang dengan segera. Seingat aku, kami tidak lama duduk di situ. Apabila kerajaan mengarahkan penduduk kampung "haram" berpindah ke kawasan petempatan baru, ibu dan abah mula membina rumah baru di kawasan baru. Aku pula telah ditawarkan menyambung persekolahan ke sekolah berasarama penuh di Semenanjung. Kami mula menetap sepenuhnya di kampung pindah tersebut apabila kedai sewa kami diambil balik oleh pihak perbandaran. Rumah itu masih didiami ibu dan abah sehingga sekarang.
Hidup berpindah randah kami jelas menampakkan kesan sekarang kerana kami tidak lagi dikelilingi jiran yang kami tinggal bersama semasa masih kecil. Walaupun kenangan masa kecil tidak begitu jelas lagi di ingatan, namun sisa-sisa ingatan silam yang masih berbekas tetap akan terpateri sebagai buah tangan bernilai yang tidak mungkin dapat ditukar ganti.
kenangan dan nostalgia zaman kanak-kanak memang begitu indah.
ReplyDeleteYep. Cubalah rakamkan melalui tulisan sebelum ia menghilang di lipatan kenangan.
ReplyDelete