Thursday, 31 July 2008

Pelangi Pagi- Puan Khadijah Hashim

Hari ini saya berasa gembira. Kenapa? Ada beberapa perkara yang menggembirakan hati saya. Pertama, semalam saya telah terjumpa beberapa buah buku yang ditulis oleh penulis-penulis wanita tersohor tanahair seperti Puan Fatimah Busu dan Puan Khadijah Hashim. Sebenarnya buku-buku tersebut pernah saya baca semasa saya masih kecil. Ibu saudara saya, seorang guru gemar membeli pelbagai jenis buku dan saya kerap "menyelongkar" almari buku beliau. Salah satu daripada buku-buku yang saya jumpai bertajuk "Pelangi Pagi" tulisan Puan Khadijah Hashim. Buku ini menyimpan kenangan bagi diri saya. Sempena ulang tahun saya yang kesepuluh, ibu saudara saya seorang guru tersebut telah menghadiahkan saya buku novel Pelangi Pagi dengan pesanan sekiranya saya tidak lagi berminat dengan buku tersebut, saya hendaklah mengembalikan buku tersebut kepadanya. Pesanan ini menunjukkan betapa bernilainya buku tersebut kepadanya dan buku bernilai tersebut telah dihadiahkan kepada saya yang masih hingusan dengan rela hati.
Namun, kerana sifat saya yang masih hingusan dan kerana kerapa berpindah-randah, buku tersebut telah lenyap dari simpanan saya. Namun, tajuk buku dan catatan itu masih kejap terpateri di ingatan saya sehingga kini, dua puluh enam tahun kemudian. Saya pernah berazam untuk membeli buku itu sekiranya saya berpeluang menjumpai buku itu semula. Dan semalam saya menjumpai buku tersebut di celah-celah tajuk ratusan buku-buku terkini. Hanya senaskah yang tinggal. Seperti kata orang, peluang yang baik jarang berulang. Sekarang buku itu telah menjadi milik saya. Saya masih lagi mempertimbangkan untuk menyimpan buku itu, atau mengembalikan semula kepada ibu saudara saya. Bukan bermaksud tidak ingin menyimpannya tetapi ingin menyegarkan semula kenangannya bahawa saya masih mengingati dan menghargai pemberiannya.
Seterusnya, apakah sebab lain saya gembira? Minggu ini suami saya berpeluang balik ke Kuching dan saya akan mengambil cuti rehat Isnin ini. Dan DBP sedang mengadakan Karnival Buku setelah beberapa tahun tidak diadakan. Jadi, saya berasa bahawa saya berhak menikmati kegembiraan ini. :)

Wednesday, 30 July 2008

Orang berbudi kita berbahasa

Adat orang kita, "Orang berbudi kita berbahasa". Namun atas nama globalisasi dan perniagaan, saya sendiri tidak tahu telah dicampak ke lautan mana adat budaya kita. Baru sebentar saya menerima panggilan telefon dari satu nombor yang tidak dikenali. Berdasarkan adat bahasa, salam diberi harus disambut, saya menjawab panggilan tersebut. Keadilan juga harus diberikan kerana setiap orang berhak diberi peluang untuk menyatakan hasratnya.
Sebaik sahaja punat jawab yang berimejkan gagang telefon berwarna hijau ditekan, suara halus wanita yang amat sopan menyapa telinga saya dengan salam. Salam yang diberi saya jawab dengan nada sopan yang serupa. Dengan penuh kelembutan dan berbudi bahasa, pemilik suara menyatakan hasratnya untuk membuat penghantaran kad penghargaan untuk pemilik kad kredit yang masih aktif yang telah bernasib baik terpilih untuk skim tersebut. Saya mengiakan sebagai isyarat bahawa beliau boleh meneruskan cerita beliau.
Namun apabila beliau bertanya mengenai bank yang mengeluarkan kad kredit saya, ternyata beliau telah memberikan mesej jelas bahawa panggilan tersebut dibuat secara rambang (walaupun pada hakikatnya saya menyedari perkara itu). Saya menggunakan peluang tersebut untuk memaklumkan kepada pemanggil bahawa saya tidak berminat dengan tawaran tersebut kerana saya berpendapat saya berhak untuk tidak menjawab pertanyaan tersebut. Sebelum selesai saya berkata-kata, tiba-tiba panggilan tersebut diputuskan. Datang tidak dijemput, pergi tidak dihalau. Tepuk dada, tanyalah iman.

Tuesday, 29 July 2008

Batuk

Mak Jah menarik nafas panjang. Dadanya terasa pedih seolah-olah dicucuk jarum. Tangan kanannya mengurut-urut dada. Mungkin dapat mengurangkan sakit yang dirasainya sekarang. Dilepaskannya penyapu lidi yang sedang dipegangnya ke tanah. Perlahan-lahan Mak Jah melangkah ke arah pangkin kayu di bawah rumah. Selipar yang mengalas kakinya diseret di atas tanah. Serasa tidak berdaya dia hendak melangkah ke pangkin yang hanya beberapa tapak sahaja di depannya. Mak Jah dicengkam hairan. Akhir-akhir ini dia mudah letih walau melakukan kerja ringan. Mak Jah menghempaskan punggungnya ke pangkin. Belakang tapak tangannya menyapu dahi yang dibasahi sedikit peluh. Mata Mak jah dilontarkan jauh ke tengah bendang yang menghijau. Sayup-sayup tersergam bukit-bukit yang melatari pemandangan desa yang indah itu. Mentari petang memancar dengan lembut. Mata Mak Jah terasa layu. Mengantuk dibuai bayu.
"Assalamualaikum, Mak Jah," suara halus menyapa telinga Mak Jah. Dia menoleh ke arah suara tersebut. Bibir pucatnya mengorak senyum nipis.
"Alaikumsalam, Milah. Kau dari mana ni? Tiba-tiba je muncul," suara Mak Jah bernada riang. Dia berengsot sedikit untuk memberi ruang yang cukup untuk tetamu yang baru datang duduk bersamanya di pangkin.
"Saya baru balik dari kedai. Saja je singgah nak jenguk Mak Jah. Lama dah tak tengok Mak Jah berjemaah di surau," jelas wanita separuh usia yang dipanggil Milah panjang lebar. Tangan kanannya diangkat tinggi menunjukkan sebungkus gula yang baru dibelinya.
Senyum Mak Jah semakin lebar. Pipinya yang kerepot nampak berseri. Terharu kerana masih ada orang yang mengambil berat pasalnya.
"Entahlah Milah. Kurang sihat pulak aku rasa dua tiga hari ni," suara Mak Jah bernada sayu.
Matanya merenung jauh ke deretan bukit di seberang permatang.
Milah terasa sebak. Cepat-cepat tangannya menyapu kering air mata yang hendak menerpa turun ke pipinya. Dahan hatinya berat digayut simpati.
Tiba-tiba Mak Jah batuk kuat bertali-temali. Milah mengurut-urut belakang Mak Jah seolah-olah ingin meredakan beban Mak Jah.
"Eh, kuat benar bunyi batuk Mak Jah ni," Milah diasak risau.
"Mak Jah dah makan ubat?" Simpati Milah melimpah ruah.
Mak Jah bungkam. Enggan bersuara.

Rumah

Sepanjang tempoh tiga puluh enam tahun aku menyedut udara segar di bumi Allah ini tanpa disedari telah cukup banyak juga aku mengembara. Walau mungkin tidak seperti orang lain yang telah menjenguk ke seluruh pelosok dunia, namun boleh dikatakan kehidupanku tidak terhad kepada satu kediaman sahaja.
Menurut ibu, kami tiga beradik yang tua dilahirkan di kampung asal nenek dan datuk kedua-dua belah ibu dan abah di pinggir Sungai Sarawak. Namun, samar-samar dalam fikiranku, kami pernah menghuni rumah kayu di tepi jalan yang sunyi. Rumah tersebut terletak berhampran dengan hutan. Di belakangnya terdapat bukit batu kapur. Terbayang juga di ruang mataku sebuah perigi yang jernih airnya. Semasa tinggal di rumah itu ibu melahirkan anak perempuannya yang keempat di Hospital Kuching.
Namun, tiba-tiba kami kembali semula ke kampung. Menurut ibu, kami terpaksa berpindah balik ke rumah nenek di kampung kerana risaukan keselamatan kami anak beranak ketika abah bekerja. Memang abah bekerja syif malam setiap selang hari. Sementelahan pula, telah berlaku suatu kejadian pembunuhan di kawasan berhampiran dengan rumah kami. Aku sendiri tidak pasti berapa lama kami menetap di kawasan terpencil itu.
Seterusnya, kami berhijrah pula ke sebuah perkampungan "haram" di tepi sungai Sarawak. Ia terletak betul-betul di sebelah jambatan konkrit yang menghubungkan kawasan Bandar Kuching dan kawasan Petra Jaya. Masa itu abang berada dalam Darjah Satu. Jadi, dia terpaksa menumpang di rumah emak saudara kami di kampung sementara menunggu hujung tahun untuk dipindahkan ke sekolah baru di bandar. Kami berpindah hanya tiga beradik bersama ibu dan abah. Adik perempuan bongsu yang ibu lahirkan semasa kami tinggal di rumah nenek juga tidak berpindah. Dia telah ibu serahkan dalam jagaan adik perempuannya semenjak berumur tiga bulan.
Aku masih teringat kampung baru kami di tepi jambatan itu. Kalau aku tak silap, kami tiba di sana menaiki bot tunda milik bapa saudara sebelah abah. Minda mudaku masih merakam pemandangan asing itu. Masih tidak banyak rumah yang ada. Aku hanya dapat melihat lalang menghijau seperti sawah padi. Aku tidak berapa ingat, tetapi yang pastinya pondok yang kami diami amat kecil. Tanpa sebarang bilik. Tiada ruang dapur. Tiada bilik mandi. Di suatu sudut terdapat satu lubang kecil. Betul-betul di bawahnya digalikan lubang yang sentiasa dipenuhi air kerana kawasan kampung kami dinaiki air apabila air sungai pasang besar. Seingatku ia digunakan kami kanak-kanak untuk melepaskan hajat. Tandas gantung ada dibina berjauhan dengan rumah kami. Mungkin berkongsi dengan jiran.
Kami tinggal di pondok itu bukanlah tetap tetapi sementara menunggu rumah yang lebih selesa siap dibina. Sebenarnya separuh dari masa kecilku adalah di kampung ini dan terlalu banyak pengalaman pahit manis yang kami rasai di sini. Namun aku tidak hendak bercerita lebih panjang lagi saat berada di sini kerana mungkin ia akan dilanjutkan di ruang yang berbeza.
Selanjutnya semasa menjejakkan kaki ke sekolah menengah, permohonan ibu dan abah untuk menyewa sebuah lot kedai di kawasan Petra Jaya telah diluluskan. Pada mulanya perniagaan di situ diserahkan kepada sepupu kami yang masih menganggur selepas tamat sekolah. Tetapi apabila masing-masing meninggalkan bandar untuk meneruskan kehidupan, ibu dan abah mengambil keputusan untuk sepenuh masa tinggal di kedai. Bahagian belakang kedai diubah kepada tempat tinggal. Ruang mandi disekat oleh dinding memisahkan ruang utama. Walaupun pada masa itu kami sudah tinggal di asrama, namun setiap kali balik kami adik-beradik akan turut tinggal di belakang kedai bersama dengan ibu dan abah.
Pada masa yang sama ibu dan abah juga membeli sebuah rumah di kampung berdekatan. Rumah tersebut dijual oleh pemiliknya yang memerlukan wang dengan segera. Seingat aku, kami tidak lama duduk di situ. Apabila kerajaan mengarahkan penduduk kampung "haram" berpindah ke kawasan petempatan baru, ibu dan abah mula membina rumah baru di kawasan baru. Aku pula telah ditawarkan menyambung persekolahan ke sekolah berasarama penuh di Semenanjung. Kami mula menetap sepenuhnya di kampung pindah tersebut apabila kedai sewa kami diambil balik oleh pihak perbandaran. Rumah itu masih didiami ibu dan abah sehingga sekarang.
Hidup berpindah randah kami jelas menampakkan kesan sekarang kerana kami tidak lagi dikelilingi jiran yang kami tinggal bersama semasa masih kecil. Walaupun kenangan masa kecil tidak begitu jelas lagi di ingatan, namun sisa-sisa ingatan silam yang masih berbekas tetap akan terpateri sebagai buah tangan bernilai yang tidak mungkin dapat ditukar ganti.

Monolog

Ruang kosong yang menghuni cepu fikirnya dikuak perlahan. Jemarinya mula rancak bertandak di atas petak huruf papan kekunci. Satu demi satu aksara muncul di skrin komputer di depannya. Matanya tajam menancap bait-bait kata yang mula bercantum membentuk patah ayat. Dia tekun menyusun aksara-kasar tanpa menghiraukan sama ada telah melahirkan sebarang makna. Saat itu dia enggan mengalah kepada kotak mindanya yang menghantar mesej kononnya tiada sebarang maklumat yang ada. Dia harus menafikan fakta itu yang tidak semestinya tepat. Dia percaya bahawa dialah yang seharusnya mengawal aktiviti mindanya dan bukan sebaliknya. Dia harus yakin. Dan dia harus menghanttar mesej itu kembali kepada pusat pemproses data di mindanya. Aku yang mengawal, bukan dikawal. Dia berbisik tegas.

Bukit

Sinar mentari petang terdampar di meja kerjaku. Pandanganku sedikit silau. Aku meninjau ke luar tingkap lewat cermin kaca di sebelah kiriku. Nun jauh di kaki langit tersergam deretan bukit. Nampak membiru. Puncaknya jelas kelihatan seolah-olah memesrai awan-gemawan yang menipis di dada langit..

Monday, 28 July 2008

Makmal kehidupan

Deria hidungku mengesan bau yang kurang menyenang. Abah yang sedang berehat di katilnya memandang ke arahku. Secarik senyum terukir di bibirnya yang pucat. Aku mengesan mesej simpati di sebalik kerlip bening matanya.
"Angah makan kat luar sikit," bisiknya sambil bibirnya menjuih ke ruang wad sebelah.
Aku yang sedang menyudu nasi putih berlauk ikan terubuk menu hospital ke mulut terhenti seketika. Petang tadi sebaik sahaja tamat waktu pejabat aku terus bergegas ke hospital. Risaukan adikku yang telah menemani Abah semenjak tengahari, aku tidak singgah di kafeteria hospital yang terletak di sebelah tempat letak kereta. Lantas, nasi Abah yang berbaki di dalam bekas makanan hospital terus aku pindahkan ke dalam bekas plastik untuk mengalas perut. Bisikan Abah kubiarkan sahaja berlalu. Baki makanan dalam bekas plastik kuhabiskan setakat yang mampu. Sekurang-kurangnya boleh lagi aku bertahan sehingga giliran ku tamat malam nanti.
Alhamdulillah, aku bertahmid sendiri. Kasih sayang Allah terlalu melimpah ruah. Saat Abah bertarung dengan kesakitan dua hari yang lalu aku bagai baru menyedari betapa lemahnya aku sebagai hambaNYA. Saat itu, aku tidak mampu berbuat apa-apa apabila tiub menyokong pernafasan disumbatkan ke paru-paru Abah melalui saluran kerongkong. Dua malam Abah bergantung dengan tiub itu dan dua malam juga kami sekeluarga dihimpit resah yang teramat. Bergilir-gilir kami adik beradik membacakan Yasin. Along tak putus-putus membacakan kalimah di telinga Abah.
Ternyata ujian yang Allah berikan menjentik saraf kesedaranku. Di ruang sempit ini aku belajar makna kehidupan. Ruang ini juga mendidik aku erti kepayahan. Mentafsir bab kehidupan dari sisi lain. Betapa aku kerap mengeluh dan resah sedangkan terlalu banyak nikmat yang kuhirup berbanding mereka yang menginap di daerah sempit ini. Lantas sedikit demi sedikit aku berazam untuk menterjemahkan ayat-ayat Allah yang digambarkan dengan kejelikan, kehodohan dan kesakitan ini dalam lapis yang sedikit mendalam setakat yang aku mampu.
Sesi pembelajaran dalam bentuk lendir dan kahak, najis dan kencing, kepayahan dan kematian, ratap dan air mata aku akrabi. Aku kuatkan hati untuk berhadapan dengan wajah-wajah gelap mereka sebagai realiti kehidupan. Mungkin ruang sempit ini merupakan makmal kehidupan yang mengajar aku makna sebenar sisi gelap dan aku bersyukur kerana berpeluang menatap sisi itu tanpa aku benar-benar berada di dalam. Dan untuk pengalaman tak ternilai itu, syukurku kian bertambah.

nyata atau maya

Di ruang ini
maya bertemu nyata
bercumbukan rasa
sehingga kita lupa
adakah hidup ini nyata
atau khayalan maya semata

Kita bernama manusia

Selagi kita
bernama manusia
keluh adalah nafas
yang menghidupkan
resah adalah degup
yang menjanjikan
kewujudan pada titik
hari esok

To show, not to tell...

Cerpen yang bermutu cenderung untuk bercerita dan bukannya memberitahu. Betulkah itu?. Dalam bahasa Inggeris ia berbunyi " To show and not to tell".
Sebagai contoh, Ahmad berasa sedih adalah memberitahu.
Bercerita pula membawa pendekatan begini,
" Seulas senyum yang tadinya mekar di bibir Ahmad tiba-tiba lenyap. Perlahan-lahan awan kesayuan meredupkan sinar kejora di matanya. Pantas dia mengedip-ngedip kelopak matanya yang mulai lembap. Biarlah di mata rakan-rakannya dia tetap seorang lelaki yang berjiwa kasar."
Beberapa hari yang lepas aku berpeluang merayapi blog beberapa orang penulis tersohor. Mana tahu aku boleh mengutip petua-petua untuk menulis karya yang bermutu. :).
Namun, sebaliknya kian lama, keyakinan mereka dalam menghasilkan karya menyebabkan aku kian tenggelam ke dalam lubuk kecewa. Rasanya sampai bila-bila pun mungkin tidak bisa menyalin gaya mereka walau hanya sebesar hama.
Tapi ada juga satu dua penulis yang bernada selamba yang bisa memberi setitis harap untuk suatu hari nanti aku juga boleh menghasilkan penulisan yang boleh disebut cerpen atau sajak yang bermutu.
Sehingga saat itu tiba, aku akan terus berengsot untuk mengasah zarah-zarah minat yang sedia ada.

Sunday, 27 July 2008

Jeda

"Assalamualaikum Bapa," saya memulakan bicara.
Jeda. Kepala lelaki yang saya panggil bapa itu masih tunduk. Salam saya seolah-olah tidak memberi apa-apa makna kepadanya.
Saya enggan mengalah.
"Assalamualaikum Bapa," saya mengulangi salam dengan nada serupa.
Perlahan-lahan kepalanya didongak. Mata saya ditenungnya dengan tajam. Saya yang sedang duduk bersila berhadapan dengannya mulai risau. Mulutnya berkumat-kamit seolah-olah menjawab salam saya. Hati saya dicengkam sedikit resah. Rambutnya yang putih panjang mencecah bahu bergerak-gerak dihembus bayu laut. Dia masih tetap dengan diamnya.
Suasana subuh masih lagi pekat dengan kedinginan. Sekali-sekala deru ombak menghempas pantai menyapa gegendang telingaku.

Gobok

Kolam hatiku tiba-tiba berkocak. Jalur rindu perlahan menyusup masuk ke kamar perasaan ku yang telah lama kelam. Kian lama cahaya nostalgia kian menyebar ke segenap ruang. Pandang mata hatiku merayap liar. Gobok resah yang selama ini terselindung di sebalik kegelapan sedikit demi sedikit menampak bayang. Aku terpana. Terlalu lama. Terlalu usang. Sehingga aku sendiri hampir terlupa akan kewujudannya.

Wednesday, 23 July 2008

Rintihan seketul hati

Telah sekian lama
merayap dan meniarap
di segenap nadi dan saraf
menghisap dan menyerap
toksik dengki dan khianat
yang berakar umbi
di kumbah hati
yang kian mati

wahai insan
lontarkan segumpal simpati
buat seketul hati
yang kian lesu
semakin bisu
justeru terlalu tepu
terlantar di bumi berdebu...

Monday, 21 July 2008

Sketsa kehidupan

Seorang doktor gigi ingin mengetahui komen saya mengenai satu persoalan yang mungkin tiba-tiba muncul semasa beliau mengintai-ngintai gigi dan mulut pelanggannya. Sms nya berbunyi berikut
" Dulu saya tak suka Ina Naim tapi meminati Suhaimi. Sekarang saya berpendapat Ina sesuai dengan Suhaimi. Saya juga tidak menyukai Ikin(Mawi) tetapi berpendapat kedua-duanya memang sesuai di antara satu sama lain".
Secara peribadi saya berpendapat inilah yang dinamakan jodoh. Setiap insan akan menemui jodohnya sendiri. Justeru, tidak semestinya orang yang pertama yang kita sukai itu jodoh kita. Malahan pasangan suami isteri yang telah berkahwin pun belum tentu itulah jodohnya sehingga ke penghujung hayat. Sebijaknya, kita harus menerima hakikat bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Illahi. Dan yakinlah bahwa Allah Maha Mengetahui. Sebaliknya pengetahuan kita terlalu amat cetek hatta berguni "phd" yang dikendong. Dalam Al-Quran sendiri ada dinyatakan bahawa pengetahuan Allah begitu luas.
Jadi siapakah kita untuk membuat sebarang kesimpulan. Namun rasanya tidaklah menyalahi sekiranya kita mempunyai tafsiran sendiri mengenai sesuatu perkara atau isu kerana sebagai seorang insan kita dikurniakan akal untuk berfikir dan menilai.
Kembali kepada topik perbincangan asal, ternyata kita dapat menyaksikan sketsa kehidupan manusia di depan mata kita sendiri. Ina yang pada mulanya tampak amat kecewa dengan keputusan Mawi memutuskan ikatan pertunangan mereka ternyata sekarang amat bahagia bersama suami dan bayi sulungnya yang comel. Tanpa publisiti meluas mengenainya tempoh hari, kemungkinan Ina tidak bertemu dengan Suhaimi. Dan seandainya dia kekal bersama Mawi sehingga sekarang, kita sendiri mungkin boleh mengandaikan tekanan yang bakal dihadapi kerana tunangnya adalah seorang MAWI.
Pada masa yang sama, walaupun menilai Ekin secara negatif sebelum ini berikutan penampilannya terdahulu yang dirasa tidak serasi dengan MAWI, namun ternyata perubahan ke arah yang lebih positif melenyapkan ketidakserasian itu. Pada masa yang sama, Ekin sanggup bersama MAWI walaupun menyedari pelbagai cabaran berat yang bakal dihadapi. Hal ini berbeza dengan Ina yang mengenali MAWI semasa MAWI masih lagi sebagai orang biasa. Lantas perubahan kehidupan MAWI mencetuskan masalah kerana kedua-dua pihak sekarang melihat dari sudut pandang yang berbeza. Kesediaan Ekin menghadapi cabaran bersama MAWI bukanlah bermakna dia lebih baik dari Ina atau sebaliknya tetapi situasi semasa yang mengelilingi keempat-empat insan ini telah menyatukan dan menyerasikan mereka dengan pasangan masing-masing.
Semoga komen ini memenuhi kehendak intelektual si penyoal. Jadi, lawatan gigi saya yang seterusnya boleh secara percuma ya... :)

Rakyat cukup makan

Menelusuri pelbagai blog merupakan salah satu cara untuk memastikan kita sentiasa mengikuti perkembangan semasa selain dari mendapat maklumat dari pelbagai media arus perdana. Tanpa melihat dari sudut kesahihan maklumat yang diutarakan, lambakan blog tempatan pastinya tidak dapat lari dari membincangkan isu-isu hangat terkini ternyata memberi peluang kepada masyarakat untuk menilai dari sudut lain. Hasilnya, sebarang rumusan sudah pasti bakal disimpulkan dan lebih terperinci.
Sebagai contoh, isu debat di kaca tv yang baru sahaja berlalu turut mencuri perhatian pemblog-pemblog. Pelbagai pendapat diutarakan. Banyak yang mengkritik dan tidak kurang pula yang menyokong hujah-hujah pendebat. Namun, benar seperti kata salah seorang dari mereka, walaupun mungkin terdapat golongan rakyat yang tidak begitu memahami makna yang tersirat di sebalik angka dan statistik yang dilaungkan, tapi pihak yang berbicara dengan bahasa rakyat pasti akan lebih diberi perhatian. Justeru, golongan negarawan harus lebih kerap berbicara bahasa rakyat di samping beretorik dengan bahasa elit.
Walau apapun tafsiran yang diperolehi, saya amat terkesan dengan ungkapan dari salah seorang pendebat pada malam tersebut, "dalam suasana sekarang, walaupun harga petrol dan barangan naik secara mendadak, namun rakyat masih cukup makan". Sebagai seorang rakyat marhaen yang setiap hari mencongak poket dan kad kredit untuk berbelanja, saya mempunyai tafsiran sendiri...

Kenapa?

Menatap akhbar pagi ini
mataku hanya menyorot
ruangan gosip artis
yang sudah jelas
ketidakjelasannya

Menonton televisyen malam tadi
langkah kuorak
ke kamar tidur
saat jarum jam berengsot
ke angka lapan

ingin aku berteriak
biar jiran sebelah terdongak
adakah aku golongan alpa
yang tidak lagi berminat kepada fakta
yang terpapar di media perdana?...

Sunday, 20 July 2008

Skrin Komputer

Jari jemariku cekatan menari di atas papan kekunci. Mataku pula menancap ke skrin komputer peribadi di atas meja kayu beralas kaca di hadapanku. Bila aku perlu mengeluarkan arahan untuk dilaksanakan oleh pusat pemprosesan utama tangan kanan ku menggagau tetikus yang setia tercatuk di hujung papan kekunci. Jari telunjukku mengetik-ngetik bahagian depan sebelah kiri tetikus yang menyerupai belahan kaki kuda.
Serentak terpapar ikon mesin masa bersaiz mini di skrin menandakan ia sedang memproses arahan yang diberikan. Kekadang aku berasa lebih mudah berurusan dengan mesin daripada berbicara dengan manusia. Ini bukanlah bermakna aku bersikap autokratik. Di pejabat aku lebih cenderung berkomunikasi dengan rakan sepejabat secara terbuka. Sesiapa sahaja berhak meluahkan pandangan dan pendapat tanpa perlu berasa risau. Namun, akhir-akhir ini bibit-bibit tekanan mula bertputik dalam diriku.
"Puan, saya kurang bersetuju dengan sikap puan yang terlalu mendengar kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat kita," ungkapan lembut bersimpul makna yang keras menyusup cuping telingaku lantas menerawang ke saraf otakku.
Wajah selamba pembantuku yang telah berkhidmat hampir lima belas tahun di syarikat pembinaan milik Datuk Siva kutatap. Sinaps otakku berinteraksi di antara satu sama lain berusaha untuk mentafsir makna dan konotasi dari patah-patah perkataan yang meluncur satu demi satu dari bibirnya yang merah garang.

Bulan dan Mentari- Zaharah Nawawi

Mataku terasa berpasir. Tubuhku didakap keletihan. Namun kugagahkan jua untuk menyelesaikan dokumen-dokumen yang bertimbun di ruang berlabel "Masuk" di sudut kanan mejaku. Tengahari semalam dalam perjalanan balik dari kuliah, aku singgah sebentar di toko buku kegemaranku yang terletak di Jalan Haji Taha. Tujuan asal hanya ingin melengkapkan koleksi majalah Dewan Masyarakat tahun 2007 dalam simpananku. Dengan harga RM2 senaskah aku perlu mendapatkan lapan naskah lagi.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke toko tersebut, aku terus menuju ke arah tangga yang mengarah ke ruang atas kedai. Selok-belok kedai tersebut memang sudah sebati dalam benak mindaku. Tiba di ruang atas kedai aku terus menuju ke ruang belakang yang menempatkan majalah-majalah tahun terdahulu keluaran DBP. Selepas membelek satu-persatu aku hanya berjaya memperolehi lima naskah majalah sedangkan masih ada tiga keluaran lagi untuk mencukupkan koleksiku. Dihambat sedikit kecewa, aku mengarah ke rak yang mempamerkan pelabagai novel, antologi cerpen dan puisi terbitan terbaru DBP. Mataku rakus membelek tajuk satu persatu. Terlalu banyak buku menarik yang dihasilkan oleh penulis tersohor tempatan. AKu mula rambang mata.
Mula memusatkan pandanganku ke bahagian nama penulis buku, pandangan mataku tertancap pada nama Zaharah Nawawi. Secara jujur aku belum pernah meratah hasil tulisan gubahan tangan penulis tersohor ini. Lantas keinginanku untuk bercanda dengan hasil kreatifnya membuak-buak seperti minuman tin bikarbonat yang dibuka selepas digoncang dengankuat. Tanganku menjangkau buku setebal kira-kira 4cm itu yang terletak di tingkat dua dari atas rak.
Buku itu kubelek-belek seperti membelek buah durian yang dijual di kaki lima semasa musim durian. Kuselak muka surat pertama. Hmmm. baharu sahaja diterbitkan. Gumam aku sendiri. Kulit depan yang berwarna jingga kemerahan dilakari ilustrasi sebuah kereta mewah menjentik rasa ingin tahuku. Tanpa berfikir panjang aku bergegas ke arah tangga lantas turun ke tingkat bawah menuju kaunter bersama habuanku pada hari itu.
Sampai sahaja di rumah aku terus masuk ke bilik. Beg plastik putih yang kujinjing erat dari kereta kuletakkan rapi di atas meja baca. Seusai Solat Zohor aku terus merebahkan diri di katil. Tangan kiriku mencapai isi kandungan beg plastik putih di atas meja baca di sebelah kanan katil. Selepas menatap dan menggarap dua tiga helai yang pertama, aku berpendapat jalan ceritanya memang menarik. Gaya bahasa yang dilakarkan membuai aku untuk menghabiskan bab satu demi satu. Aku hanya berhenti untuk solat dan makan. Untuk menikmati pembacaan, perut harus diisi dengan kenyang.
Lewat jarum pendek jam dinding di kaki katilku mengengsot ke angka dua, aku berjaya menoktahkan pembacaanku. Anak kecilku telah lama mengembara ke daerah fantasinya. Sayup-sayup laungan sayu kucing dan anjing liar menyusup ke telingaku. Akhirnya mataku dikatup dengan hati yang puas. Novel "Bulan dan Mentari" telah selesaiku ratah dari tulang ke tulang. Dari kulit ke kulit. Aku puas walau hari ini aku terpaksa melawan letih dan kantukku. Malam ini ternyata akan berakhir lebih awal. :)

Abi dan TV

Matanya bersinar menyorot dokumen kecil dibalut plastik bersaiz 7cm x 4 1/2cm di tangannya. Terpapar di sudut kad wajahnya yang ceria ayu bersolek nipis. Hatinya dibalut bangga. Akhirnya dia berjaya memperolehi lesen memandu. Namun sinar suria di wajahnya tiba-tiba terlindung dek awan muram yang gelap. Hatinya sayu. Terlalu lama dia memendam rasa itu. Di mata rakan-rakannya dia seorang yang ceria dan jarang emosi. Namun baginya dia lebih selesa menyimpan cerita peribadinya kemas di gobok hati. Bukan prinsipnya untuk menjaja pahit manis hidupnya semata-mata untuk menagih simpati orang lain. Baginya sokongan orang tidak akan menguntungkannya sesen pun manakala umpatan orang pula mustahil akan meluakkannya walau secubit.
"Abi, Kak Anjang nak ambil lesen memandulah, dah mendaftarpun kat sekolah memandu petang tadi'," Ena bersuara manja lewat talian telefon.
"Hah, eloklah tu Kak Anjang. Lama dah Abi suruh. Kak Anjang kata nak pakai duit Kak Anjang sendiri. Sekarang Kak Anjang dah dapat kerja. Eloklah cepat-cepat ambil lesen tu," Abi mengulas semacam berceramah.
Ena mengukir senyum seolah-olah Abi nampak keceriaan Ena. Bulan lepas permohonan kerja Ena sebagai Penolong Juru Audit di firma kecil di pinggir bandaraya telah diterima. Masih jelas di retina matanya riak bangga yang terserlah di wajah Abi bila Ena menghadiahkannya dengan set televisyen 21 inci yang dibeli secara tunai dengan gaji pertamanya.
"Abi boleh tonton program Al-Kuliyyah dengan selesa sekarang. Acu dengan Acik takkan ganggu Abi lagi," Ena memeluk Abi dengan erat dan mesra. Bukan niatnya untuk membalas budi Abi dengan pemberian kecil itu. Ena sedar pengorbanan dan jasa Abi dan Umi mendidik mereka adik-beradik mustahil akan terbalas walau dia menghadiahkan seisi dunia kepada Abi dan Ummi.

Manifestation of Sarawak Cultural Arts


Mesco 2008

Manifestation of Sarawak Cultural Arts

ENHANCING THE SARAWAK CULTURAL ARTS

Venue :

Dewan Suarah Kuching

Date : 25th and 26th July 2008

Time : 8.00 p.m

CAPERENA PRESENTS

AUTHENTHIC and CREATIVE ARTS PERFORMANCES

IN DANCE, MUSIC AND THEATRE

BY WELL-KNOWN GROUP

ORGANISED BY:

Cultural arts Performers’ Arena

Ticket RM 10 available at:

MSN Gymnasium Counter,
Dewan Suarah Complex
Kuching

Or

CAPERENA
Contact Person:
Encik SHARKAWI BIN HAJI AMIT
0198394222 OR 016 8878090 OR 082 259468 (o)

Monday, 14 July 2008

Menganyam tikar

Adik raup muka dengan kedua-dua belah tapak tangan. Adik buat seperti Nenek Wa selalu buat sewaktu sedang ambil wuduk. Lutut Adik terasa lenguh. Mak Jah masih buat macam Adik tiada di kedainya. Dia masih lagi tergodek-godek melayan tiga orang lelaki kurus pendek dari kapal besar di tengah sungai. Anak dara diapun masih tergodek-godek sama. Sesekali telinga adik ditusuk suara langsing anak dara Mak Jah mengilai. Adik menggeser sedikit mengurangkan lenguh.
Hati adik dimamah kecewa. Mak Jah macam tidak memahami betapa Adik terpaksa berjalan jauh dari rumah nenek di hilir kampung untuk datang ke kedai Mak Jah. Lainlah kalau Adik duduk di rumah Nenek Wa. Rumah Nenek Wa terletak di hulu kampung. Rumah Nenek Wa terletak betul-betul di kaki bukit. Rumah Nenek Wa jauh dari sungai tidak macam rumah nenek. Semasa kecil, Abah suka bermain sorok-sorok di atas bukit di belakang rumah Nenek Wa. Nenek Wa kata Abah manja sebab dia anak bungsu Nenek Wa. Abah bukan macam Pak Ngah yang semenjak kecil lebih suka mengikut arwah Tok Wa pergi menambang.
Tiba-tiba adik dikejutkan oleh bunyi ekspres air yang bergerak membelah sungai menuju ke pengkalan di tengah kampung. Sisik-sisik air sungai beralun perlahan-lahan ke tepi sungai. Mata adik mencerlung menyoroti ekspres air yang panjang seperti naga cerita kayangan yang Emak ulang-ulang sebelum Adik dan Kak Long tidur setiap malam. Adik mula gelisah. Adik yakin Emak dan Abah pasti turut duduk di dalam perut naga putih itu. Adik tahu naga putih itu hanya akan muncul dari arah hulu sungai Sarawak dua kali sehari. Sekali sewaktu matahari baru muncul dari permukaan sungai dan sekali lagi apabila matahari mula condong menuruni langit menuju ke permukaan sungai. Emak dan Abah pasti akan tercari-cari Adik di rumah. Adik enggan bergerak meninggalkan kedai Mak Jah selagi hajatnya tidak tertunai. Adik akan cuba memujuk Mak Jah sekali lagi apabila lelaki-lelaki yang bercakap gaya Rhoma Irama itu keluar dari kedai Mak Jah.
Adik teringat lagi dengan Nenek Wa. Nenek Wa tidak banyak cakap seperti nenek. Sekali-sekala Adik dan Kak Long akan berambeh di rumah Nenek Wa. Nenek Wa tinggal dengan berdua dengan Mak Lang. Adik seronok kalau dapat peluang berambeh di rumah Nenek Wa. Walaupun rumah Nenek Wa hanya disinari lampu pelita apabila malam, Adik tetap suka sebab rumah Nenek Wa ada banyak selimut tampung seribu. Tidur dengan selimut tampung seribu selesa. Lagipun tilam kekabu Nenek Wa empuk sebab selalu dijemur di bawah sinar matahari. Bila bangun tidur setiap pagi, Adik boleh mandi air pancuran yang sejuk dan dingin. Selepas mandi Nenek Wa akan hidangkan nasi sejuk berkuah air teh. Adik tanpa sedar menelan air liur.
Nenek Wa pandai menganyam tikar. Adik akan mengekor Nenek Wa ke rusuk rumah untuk menjemur daun-daun pandan yang telah kupas dari batangnya. Daun-daun pandan yang telah cukup kering pula akan direndam dengan celup pelbagai warna. Kemudian ia akan diraut sehingga lembut dan mudah untuk dianyam. Adik akan bersila kukuh di sebelah Nenek Wa semasa Nenek Wa menganyam tikar. Jari jemari Nenek Wa cekatan menyelitkan daun-daun pandan di antara satu sama lain. Kemudian Nenek Wa akan menarik-narik anyamannya supaya betul-betul kukuh sebelum menyisipkan helaian daun pandan yang baru. Tikar Nenek Wa akan dijual kepada jiran tetangga sebelah-menyebelah rumah Nenek Wa.
"Adik buat apa di sini?" suara keras Abah menyergah mengejutkan Adik. JAntung adik berdegup kencang. Tekak adik terasa kering.

Friday, 11 July 2008

Ikan Nyolong

Tangis adik mulai reda. Adik teringat emak yang belum balik dari pekan. Awal pagi tadi emak bertolak ke pekan bersama Abah. Selalunya kalau emak dan abah pergi ke pekan, mereka akan belik lewat petang. Adik ikut Kak Long hantar emak dan abah hingga ke pengkalan. Kak Long kata ekspres air akan singgah di pengkalan untuk menurunkan penumpang yang datang dari kampung Muara Tebas. Adik tanya di mana letaknya kampung Muara Tebas. Kata Kak Long kampung Muara Tebas terletak berdekatan dengan pintu laut besar.
Ekspres air akan hantar emak dan abah sampai ke pengkalan ekspres di Pending. Lepas itu emak dan abah akan naik bas biru nombor ke pekan. Kak Long sebut nombor bas biru yang emak dan abah naik tetapi Adik sudah lupa. Adik memang mudah lupa. Malam tadi sebelum tidur emak ukur kaki adik dengan tali rapia warna merah jambu. Kaki Kak Long pun emak ukur. Emak kata dia dan abah nak beli kasut baru untuk Adik dan kak Long. Adik memang suka kasut baru. Adik suruh emak beli kasut warna merah terang. Biar Mak Jah cemburu bila tengok kasut adik lebih cantik dari baju kebaya Mak Jah.
Adik dongak ke langit. Matahari sudah turun sedikit. Adik rasa tidak lama lagi emak akan balik. Emak mesti bawa kasut merah untuk adik. Adik tiba-tiba teringat semula dengan tujuan dia datang ke kedai Mak Jah. Hasratnya masih belum tertunai. Adik enggan balik walau disuruh oleh Mak Jah. Adik bertinggung di tepi kedai menghadap ke sungai. Dari jauh adik nampak pancang-pancang tubuh bergerak di atas jambatan kayu menuju ke kedai Mak Jah. Adik kira seorang seorang. Satu. Dua. Tiga. Tiga orang semuanya. Semakin lama semakin hampir. Adik perhati mereka betul-betul. Semua mereka berkulit gelap. Seorang berambut gondrong berbaju petak hijau merah berseluar hitam. Seorang lagi berambut lurus mencecah bahu berbaju jalur-jalur kuning terang berselang jingga. Yang berjalan di belakang sekali berambut pendek berbaju coklat.
Adik perasan muka Mak Jah tidak lagi masam. Senyumnya lebar sehingga ke telinga. Adik nampak Mak Jah merapikan rambutnya dengan tangan. Kemudian Mak Jah menarik-narik hujung baju kebayanya supaya nampak kemas. Ketiga-tiga lelaki tadi sudah masuk ke kedai Mak Jah. Mak Jah buat seolah-olah Adik tidak berada di situ. Dia terus menyapa lelaki-lelaki tadi sambil tersengih-sengih. Tidak lama kemudian anak dara Mak Jah yang sebaya dengan Kak Long keluar sambil tersengih-sengih. Adik buat tidak kisah dengan Mak Jah dan anak daranya yang berbadan subur itu. Adik masih teringat dengan hajatnya yang belum tertunai. Adik pun tidak sabar nak balik ke rumah. Pasti emak sudah balik dari pekan bersama kasut merah Adik.
Adik tidak sabar nak pakai kasut merah Adik. Adik tak nak pakai kasut lama adik yang sudah lusuh. Adik nak buang ke dalam sungai Sarawak yang luas. Adik campak sahaja kasut keluar melalui tingkap semasa air pasang. Adik pasti emak tak akan tahu. Adik seronok kalau air pasang besar. Adik boleh kail ikan dari jungkar rumah nenek. Adik akan ambil benang putih emak dan ikat pada batang penyapu lidi nenek. Di hujung benang itu adik akan ikat lalat mati sebagai umpan. Bagai terbayang di mata adik ikan-ikan nyolong yang berenang-renang di bawah jungkar rumah nenek semasa air pasang.
Adik tak pernahpun dapat tangkap ikan-ikan nyolong itu. Tapi adik tetap seronok. Tapi emak selalu marah kalau adik main di jungkar seorang diri semasa air pasang besar. Emak tak nak adik jadi macam anak Mak Peah yang jatuh dari jungkar rumahnya. Mak Peah menangis kuat-kuat apabila orang kampung jumpa anak Mak Peah terselekat pada tiang jambatan semasa air surut.

Thursday, 10 July 2008

Rintihan marhaen

Jelaskan kepadaku
apakah makna kemakmuran
andai detik demi detik
menjerut urat leher orang kebanyakan
angkara nilai ringgit kian kontang
dek teriknya mentari inflasi

adakah ia bermakna resah
saat satu demi satu
anak-anak marhaen
mencanak data pengangguran
lantaran mainan teori Adam Smith
tiada lagi penghasilan di kilang
kerna tiada permintaan barangan

maka berdegarlah kata bijak pandai
cergaskan keinginan pengguna
dengan giuran kemudahan belian
dalam bentuk pinjaman
ternyata rakyat kebanyakan
yang ditadah kesengsaraan
demi mengempukkan poket
dan membuncitkan perut
kapitalis yang sedia kaya

jawablah kemusykilanku
adakah kami pengguna
alat penyubur ekonomi negara
yang didamba sentiasa
untuk memakmurkan negara...

Kapal Besar

Adik masih tidak berganjak dari kedai Mak Jah. Adik nekad tidak akan mengalah selagi Mak Jah tidak menunaikan permintaannya. Mata adik yang berair menancap ke wajah Mak Jah yang sudah mula memerah. Di mata adik, Mak Jah sudah berubah menjadi harimau lapar. Macam harimau sarkis. Tapi harimau sarkis jinak.
Adik melontar pandangan ke luar kedai. Mata adik mencerlang jauh ke tengah sungai. Adik nampak kapal- kapal besar berlabuh. Adik sempat kira satu persatu. Ada empat buah semuanya. Muncung kapal menjuih macam muncung itik serati nenek yang gemar mengejar budak-budak yang bermain di depan rumah nenek. Emak kata kapal-kapal besar itu semuanya datang dari luar negara. Adik tanya emak di mana letaknya luar negara. Emak akan senyum lebar sambil memicit hujung hidung adik yang kecil. Emak akan gomol adik kuat-kuat sampai adik tidak dapat bernafas. Emak kata luar negara tempat yang jauh. Adik tanya lagi," Jauh tu terletak di mana mak?". Emak akan gelak kuat-kuat. Adik suka kalau emak senyum. Apalagi gelak. Lesung pipit di pipi emak akan muncul di permukaan pipinya. Emak akan nampak berseri-seri.
Tiba-tiba adik terpandang perahu tambang Pak Ngah terolang-oleng dibuai ombak. Di dalamnya terpancang tubuh-tubuh kurus yang menumpang perahu Pak Ngah. Menurut Emak, orang-orang itu datang dari kapal-kapal besar di tengah sungai. Mereka singgah ke kampung untuk membeli bekalan makanan dan keperluan harian. Mereka datang membawa duit banyak untuk dibelanja di kedai Mak Jah. Mak Jah pasti tersenyum mesra menyambut kedatangan mereka. Wajahnya tidak akan garang seperti sekarang, bisik adik sendiri.

Wednesday, 9 July 2008

Badut dan sarkis

Adik menangis teresak-esak. Butir jernih air mata berjejeran di pipinya yang gebu dan montok. Disekanya perlahan-lahan dengan belakang tangan kanannya. Dia amat tidak faham. Mengapa Mak Jah, tuan punya kedai runcit di hujung kampung enggan memenuhi hajatnya. Sedangkan ini bukan kali pertama dia melakukan perkara itu.
Kedai Mak Jah yang gemar berkebaya merah hati itu memang kerap dikunjunginya. Terutama apabila emak keluar ke pekan. Apabila emak hendak pergi ke pekan, dia akan berbedak seperti Mak Jah. Cantik. Emak akan pakai baju kurung sedondon dengan kain sarung susun. Emak akan keluarkan tudung barunya dari almari pakaian. Adik akan ambil peluang bermain dengan minyak wangi emak. Botol berwarna kuning air itu hanya akan muncul apabila emak pergi ke pekan.
Adik akan setia duduk di samping emak. Emak sapu bedak rata-rata di seluruh wajah. Selepas itu emak akan tepuk-tepuk serbuk berwarna merah jambu di pipi. Warna coklat di atas kelopak mata. Adik gelak terkekeh-kekeh. Adik teringatkan rancangan sarkis yang adik tonton di televisyen.
Adik memang gemar menonton rancangan sarkis. Ada banyak binatang yang adik boleh tengok. Ada gajah yang pandai duduk di atas bangku bulat pendek. Ada harimau yang pandai melompat melalui gegelung api. Ada monyet yang pandai menunggang basikal. Tapi yang paling adik suka ialah bila badut yang bertopi tajam di hujung muncul di kaca televisyen sambil melontar banyak bola kecil dan cuba untuk menyambutnya semula. Kasut badut yang besar menyebabkan badut berjalan terkedek-kedek. Kadang-kadang badut itu akan terjatuh berguling-guling di atas pentas sebab tersandung kasutnya yang besar. Adik akan gelak sampai keluar air mata.
Adik gelak tengok emak pasang bedak warna-warni di muka sebab badut pun suka bubuh bedak warna-warni macam emak. Walaupun televisyen yang ditonton di rumah Pak Mat jiran sebelah cuma ada warna hitam putih, adik dapat cam muka badut yang putih melepak dan berhidung bulat seperti buah limau itu. Adik mesti tengok rancangan sarkis walau terpaksa membayar lima sen setiap kali menghadap skrin televisyen Pak Mat yang besar.
Adik tetap tegas dengan pendiriannya. Adik enggan berganjak. Baginya kebenaran harus ditegakkan. Seperti ungkapan yang kerap didengarnya. Lawan tetap lawan. Adik sebenarnya tidak begitu memahami makna ungkapan itu. Tapi dari riak wajah lelaki yang melaungkan kata-kata itu yang begitu bersemangat, adik yakin ia membawa makna semangat. Malahan adik yakin telahannya itu tepat apabila setiap laungan kalimat itu disambut dengan sorak-sorai yang gemuruh orang ramai yang berhimpun.

Industri Hiburan kian Goyah...

Suatu ketika dahulu, tidak pernah terdetik di minda kita bahawa industri musik tanah air akan turut diwarnai oleh alunan lagu-lagu nasyid kontemporari yang mengajak ke arah nilai- nilai murni dan syaksiah terpuji. Malahan lagu-lagu nasyid hanya terhad kepada irama padang pasir yang terikat kepada persembahan yang kaku dan membosankan.
Namun pada hari ini, irama nasyid kontemporari mampu berbangga kerana ia telah berjaya mencetuskan fenomena baru di dalam industri muzik tanah air. Dan anjakan budaya ini berjaya diwujudkan kerana keberanian dan keyakinan untuk menongkah arus muzik perdana yang telah ditunjukkan oleh Kumpulan Raihan yang dianggotai pada masa itu oleh Nazrey, Almarhum Zairey, Amran, Che Amran dan Bakar.
Situasi ini membuktikan bahawa pada hakikatnya khalayak ramai sentiasa tercari-cari alternatif kepada kecenderungan arus perdana untuk mengisi kekosongan jiwa. Namun yang kerap terjadi, amat kurang golongan yang berani mengambil risiko untuk mencetuskan pembaharuan yang menyumbang kepada pembaikan ummah kerana risau tidak akan mendapat sambutan. Malahan kecenderungan untuk meraih keuntungan kerap memaksa pelbagai pihak untuk menjauhi pasaran yang belum pasti.
Isu ini dibangkit memandangkan industri hiburan semasa yang semakin tenat terutama bidang lakonan. Walaupun memang jelas bahawa setiap penerbitan masih mendapat perhatian khalayak namun boleh dikira dengan jari produk-produk yang betul-betul menjulang kesenian untuk mendidik masyarakat. Malahan terdapat filem-filem yang dihasilkan dengan bertujuan menanamkan nilai-nilai murni tetapi dihasilkan dengan mengorbankan etika para pelakon atas nama seni. Maka terjadilah adegan ranjang yang dilakukan atas dasar professional setelah mendapat izin dari suami, isteri atau ibu bapa. Maka, atas tiket kerjaya, ramailah mat rempit menjaja hubungan sumbang remaja di samping golongan elit yang berbangga dengan kehidupan sosial yang dianggap mendokong kemodenan.
Justeru, adalah amat-amat dialukan sekiranya kita menanamkan di dalam diri setiap kita bahawa tiada kemaksiatan yang boleh dihalalkan atas nama seni. Setiap individu harus bertanggung jawab memastikan aksi dan kegiatan tidak bermoral didedahkan ke ruang tamu kita untuk tatapan anak-anak yang bakal menjadi teras masyarakat di masa hadapan. Pada masa yang sama, orang-orang penting industri hiburan harus sama-sama bertanggungjawab membantu membentuk masyarakat dan bukan memikir keuntungan semata-mata. Hal ini adalah kerana keuntungan yang diperolehi tidak akan membawa sebarang makna sekiranya akar tamadun iaitu golong muda- mudi kita mengamalkan cara hidup yang reput. Akar yang reput pastinya tidak mampu menunjang pokok yang teguh dan sihat. WallahuA'lam.

Monday, 7 July 2008

Lina Maisara: Kesempurnaa

Lina Maisara. Memikirkan nama itu sahaja sukmaku bisa mengawang ke langit ketujuh. Gadis ayu dari bandar kecil di tanah utara itu memang cukup sempurna di mataku. Bicaranya tegas. Anak sulung dari tujuh beradik, sikap berdikarinya telah terasuh sejak kecil. Ayahnya nelayan yang tabah. Ibu pula setia membantu dengan berniaga ikan tahai dan pelbagai kuih asli di pasar tamu di pinggir sungai. Lantas Lina Maisara menjadi seorang gadis yang mendambakan kesempurnaan. Di bahunya terpikul harapan ayah bonda untuk meringankan beban keluarga.
Seusai kuliah di peringkat diploma, Lina Maisara menjawat jawatan Penolong Pegawai Akaun. Dan takdir itu menemukan dua hati yang hauskan kasih sayang sesama insan. Cinta pandang pertama menjadikan kami sepasang merpati dua sejoli di pejabat. Namun obses Lina Maisara terhadap kesempurnaan tidak pernah bernoktah. Di jarinya yang lentik, setiap laporan akan diperincikan sehingga ke angka perpuluhan. Kesilapan menaip bukanlah alasan yang dia boleh terima dengan mudah.
Amat pantang baginya jika terdapat sebarang kesilapan pada kerjanya. Kerap aku mengusik meja kerjanya yang sentiasa kemas. Setiap batang pen dan helaian kertas harus diletakkan di tempatnya sendiri. Jangan ada sesiapa yang berani merubah susun atur itu atau Lina Maisara akan membebel panjang. Malah amat sukar untuk mengesan kehadiran sebarang habuk di mejanya. Lantas langkah jabatan kami melaksanakan 5S yang dipelopori banyak syarikat besar di Negara Matahari Terbit menyuburkan lagi kecintaan Lina Maisara kepada kesempurnaan.
Lina Maisara. Mengapa kesempurnaan tahap maksima yang kau dahagakan? Hatiku berbisik kesal. Mana mungkin ada makhluk yang wujud tanpa kekurangan. Justeru aku kian takut untuk berkongsi hakikat kelabu itu dengannya. Kehadiran Lina Maisara menjadikan aku seorang lelaki yang takut pada kehilangan. Lantas aku nekad untuk menidakkan kebenaran itu.
"Kasihan anak kecil itu kan?" suara Lina Maisara kedengaran terharu. "Ibunya memang tabah. Saya sendiri tidak pasti adakah saya akan setabah dia seandainya saya berada di tempatnya," Lina Maisara berterus terang. Tudung merah anggur yang kemas berhias kerongsang merah darah ikan dibetulkannya sedikit dengan hujung jari. Butir-butir kata itu bagai merentap lubuk hatiku. Lina Maisara khusyuk membaca ruangan Kisah Hidup di sebuah majalah tempatan sehingga dia tidak perasan dengan gelodak jiwaku. Berterus terang hanya akan merentap kasih Lina Maisara dari sukmaku.

Sunday, 6 July 2008

Lina Maisara

Jarum panjang jam dinding menunjukkan angka tiga. Masih ada lebih kurang empat puluh lima minit lagi sebelum temujanjiku yang telah direncanakan. Kopi panas kuhirup perlahan. Kehangatannya menjalar ke seluruh urat saraf. Aku menarik nafas panjang. Dinding kantor yang berwarna kuning terang tidak lagi menarik perhatianku. Aku mula tenggelam dalam pusaran kenangan yang mengheret aku kian jauh. Jauh ke lubuk kekecewaan yang teramat dalam.
" Assalamualaikum. Saya Lina Maisara, pegawai baru di Cawangan Kewangan", suara lembutnya mengetuk gegendang telingaku. Aku mendongakkan mukaku. Mata nakalku menyeluruh wajah polosnya yang dibaluti tudung hijau daun pisang gaya Wardina. Baju kurung batik Malaysia warna kuning pinang bercorak bunga hijau tua meruntun hatiku. Mata beningnya kurenung. Gadis Melayu Terakhir rupanya masih wujud di zaman ini, aku sempat bermonolog. Cepat-cepat dia menundukkan pandangan. Tiba-tiba suara mendehem mengembalikan kewarasanku. Wajah nakal Puan Mariah tersengih-sengih menghenyakkan aku ke bumi. "Kalau Lina nak tahu, Encik Razif ni masih belum berpunya. Ketua cawangan yang paling muda kat pejabat kita ni. Dapat aje ijazah, terus diterima bekerja kat sini", jelas Puan Mariah selaku Pegawai Tadbir panjang lebar disulami dengan usikan nakal.
HAri-hari berikutnya, aku berasa jalur pelangi kebahagiaan sentiasa menaungiku. Hidupku bagai dikelilingi bunga-bunga pelbagai warna dan haruman. Kebahagiaan bagaikan pasti milikku apabila ternyata aku tidak bertepuk sebelah tangan. Bayang-bayang hitam yang sentiasa mengekoriku tidak lagi kuhiraukan. AKu optimis yang akhirnya aku mampu mengucapkan selamat tinggal pada lembaran gelap itu. Biar coretan takdir yang dilakar itu bakal hilang dihapus dek tumpahan ketulusan cinta Lina Maisara. Jika dia benar-benar ikhlas terhadapku, pasti dia sanggup menerima aku seadanya. Aku pasrah untuk memendamkan hakikat itu jauh di balik gunung angan-angan. Mungkin ia terbaik untukku.

Thursday, 3 July 2008

Di tepi pantai

Kepalanya didongakkan sedikit. Kedua-dua kelopak matanya ditutup kejap. Perlahan Amira membuka kelopak matanya. Direnungnya tompokan awan hitam yang berselerakan di langit. Suasana di tepi pantai itu tidak begitu meriah. Hanya seorang dua pengunjung yang masih merayau-rayau sambil menikmati suasana petang. Pohon-pohon kelapa bergerak seperti penari-penari inang melentokkan badan.
Fikirannya kusut. Kewarasannya hampir luput. Pertimbangannya goyah. Pandangan mata hatinya semakin kabur. Hati Amira betul-betul terbakar. Usaha murninya selama ini diketepikan selayak sisa makanan yang tidak diperlukan lagi. Yang pastinya akan mengenyangkan hanya anjing dan kucing yang bakal menggeledah tong sampah di tepi pagar rumahnya.
Amira menanam tekad. Dia harus kembali kepada kewarasan dan pertimbangan kukuh sebelum membuat sebarang keputusan. Perlahan-lahan dia bangun. Serasa satu beban yang amat besar telah terlepas dari pundaknya. Langit kian cerah dan awan-awan hitam mula berarak pergi. Amira yakin keadaan akan bertambah baik.

Wednesday, 2 July 2008

Lu Fikirlah sendiri

"Saya terpaksa kurangkan komisyen awak kerana kos barangan telah meningkat", Encik Syarif bersuara tegas. Memek mukanya jelas menunjukkan kerisauan seolah-olah hanya dia seorang yang menghadapi masalah barang mahal.
"Baik encik, saya faham. Keputusan ini pasti mampu membantu kedudukan kewangan syarikat secara keseluruhan", Mamat mengangguk-angguk kepalanya menunjukkan yang dia faham masalah majikannya. Kalau boleh, mahu dia memberi kesemua wang gajinya untuk membantu meringankan beban majikannya.
Namun jauh di dalam hatinya berbisik, "Tambah pokai lah nampaknya aku".
"Untuk mengurangkan beban awak, saya akan bayar upah awak setiap minggu bukan secara bulanan seperti sekarang," serentak air muka Encik Syarif bertukar lembut. Dia betul-betul mengambil berat mengenai kemaslahatan pekerja bawahannya. Maklumlah, semua pekerjanya bergantung hidup dengan gaji yang diperolehi dari syarikatnya.
"Alamak encik, kebanyakan perbelanjaan saya diatur untuk pembayaran bulanan. Kalau bayar setiap minggu, nanti tak sempat bayar keperluan utama, habislah duit tu saya buat belanja. Lagipun, macamana saya nak bayar ansuran kereta dengan gaji seminggu tu." tersengih-sengih sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Berapa sangatlah gaji seminggunya. Sebulan pun cukup-cukup makan. Hati Mamat berbisik lagi.
Encik Syarif terdiam. Jari telunjuk kanannya diketuk-ketuk di hujung dagu runcingnya perlahan-lahan. Kepalanya yang hampir licin ditelengnya sedikit sambil anak matanya dicerlung ke atas. Seolah-olah ada tikus sedang bersenda ria di bumbung pejabatnya yang serba mewah itu.
"Ha!" tiba-tiba Encik Syarif memekik sambil mengetik jari telunjuk dan ibu jari kanannya. Lagaknya seperti seorang ahli sains yang telah mengesan sebab Darwin mengusulkan Teori Evolusi. Bibirnya melebar dengan senyuman bangga. Misai tebalnya bergerak-gerak.
"Baiklah. Untuk menyelesaikan masalah kewangan awak, saya batalkan pembayaran gaji setiap minggu. Jadi, awak akan terus menikmati pembayaran gaji sekali sebulan," Encik Syarif mengeluarkan perintah. Encik Syarif tersenyum lega. Akhir dia berjaya membantu pekerjanya mengatasi masalah kewangan mereka. Hatinya senang. Baginya, apalah gunanya menjadi majikan kalau tan mampu membantu menyelesaikan masalah mereka.
Mamat pun turut tersenyum lebar. Lega kerana majikannya begitu prihatin dengan masalah kewangannya. "Terima kasih Encik Syarif," ulangnya berkali-kali. Digenggamnya tangan Encik Syarif erat-erat. Badannya sedikit bongkok serentak dengan kepalanya ditundukkan. Kalau boleh, mahu dikucupnya tangan orang yang berjasa kepadanya itu. "Encik Syarif memang majikan yang bertanggungjawab," sambungnya lagi. "Saya berjanji akan bekerja lebih bersungguh-sungguh sehingga tak perlu berhenti makan demi untuk membals budi Encik Syarif," ikrar Mamat sambil senyum lebar masih belum surut dari wajahnya.
Aku yang menjadi penonton setia kepada sketsa itu turut menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal.
Siapa yang membantu siapa sebenarnya?
LU FIKIR LA SENDIRI

Tuesday, 1 July 2008

Kelebihan puasa di Bulan Rejab (Petikan e-mel)

Pada 4 Julai 2008 (Jumaat) kita memasuki bulan Rejab. Bulan Rejab adalah bulan Allah swt. Let's overview ada apa di sebalik bulan Rejab itu.
Diriwayatkan bahwa Rasulullah saw telah bersabda, "Ketahuilah bahwa bln Rejab itu adalah bulan ALLAH swt, maka:"

1. Barang siapa yang berpuasa 1 hari dalam bulan ini dengan ikhlas, maka pasti ia mendapat keredhaan yang besar dari ALLAH swt

2. Dan barang siapa berpuasa pada tanggal 27 Rejab 1429h/Isra Mi'raj (Rabu, 30 Julai 2008) akan mendapat pahala seperti 5 tahun berpuasa

3. Barang siapa yang berpuasa 2 hari di bulan Rejab akan mendapat kemuliaan di sisi ALLAH swt

4. Barang siapa yang berpuasa 3 hari yaitu pada tanggal 1, 2, dan 3 Rejab (4, 5, 6 Julai 2008) maka ALLAH swt akan memberikan pahala seperti 900 tahun berpuasa dan menyelamatkannya dari bahaya dunia dan seksa akhirat

5. Barang siapa berpuasa 5 hari dalam bulan ini, insyaallah permintaannya akan dimakbulkan Allah swt..InsyaAllah

6. Barang siapa berpuasa 7 hari dalam bulan ini, maka ditutupkan 7 pintu neraka Jahanam dan barang siapa berpuasa delapan hari maka akan dibukakan 8 pintu syurga

7. Barang siapa berpuasa 15 hari dalam bulan ini, maka ALLAH swt akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan menggantikan kesemua kejahatannya dengan kebaikan, dan barang siapa yang menambah (hari-hari puasa) maka ALLAH swt akan menambahkan pahalanya."

Sabda Rasulullah saw lagi :"Pada malam Mi'raj, saya melihat sebuah sungai yang airnya lebih manis dari madu, lebih sejuk dari air batu dan lebih harum dari minyak wangi, lalu saya bertanya pada Jibril as "Wahai Jibril untuk siapakah sungai ini?"

Maka berkata Jibrilb as "Ya Muhammad sungai ini adalah untuk orang yang membaca selawat untuk engkau dibulan Rejab i ni."

Dalam sebuah riwayat Tsauban bercerita :"Ketika kami berjalan bersama-sama Rasulullah saw ke sebuah kubur, lalu Rasulullah saw berhenti dan beliau menangis dengan amat sedih, kemudian beliau berdoa kepada ALLAH swt. Lalu saya bertanya kepada beliau "Ya Rasulullah, mengapakah engkau menangis?" Lalu beliau bersabda "Wahai Tsauban, mereka itu sedang diseksa dalam kuburnya dan saya berdoa kepada ALLAH swt, lalu ALLAH swt meringankan atas mereka."

Sabda beliau lagi "Wahai Tsauban, kalaulah sekiranya mereka ini mahu berpuasa satu hari dan beribadah satu malam saja di bulan Rejab nescaya mereka tidak akan disiksa di dalam kubur." Tsauban bertanya "Ya Rasulullah, apakah hanya berpuasa satu hari dan beribadah satu malam dalam bulan Rejab sudah dapat mengelakkan dari seksa kubur?"

Sabda beliau "Wahai Tsauban, demi ALLAH Zat yang telah mengutus saya sebagai nabi, tiada seorang muslim lelaki dan perempuan yang berpuasa satu hari dan mengerjakan solat malam sekali dalam bulan Rejab dengan niat karena ALLAH swt, kecuali ALLAH swt mencatatkan baginya seperti berpuasa satu tahun dan mengerjakan solat malam satu tahun."

Lidah Fitnah

Lidah fitnah
yang merah terjulur
menjilat deretan ketenangan
di jalanan panjang
berliku dan berkerikil
tajam berbisa

jejak simpati kian lenyap
degup insani kian senyap
ditelan darah hitam
yang mengalir
dari kumbah ketamakan
manusia tanpa kemanusiaan...

Kafe Francais di Pusat Pengajian Tinggi

Rempuhan teknologi komunikasi dan maklumat ternyata telah melakarkan lanskap baru dalam kehidupan masyarakat hari ini. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan tiada aspek yang terkecuali dari mendapat kesan atau tempias dari fenomena luar biasa tersebut. Malahan ia mampu mewujudkan pelbagai sub budaya baru, sama seperti semasa Revolusi Perindustrian suatu waktu dahulu. Penciptaan teknologi mesin yang membolehkan pengeluaran produk secara besar-besaran telah mengakibatkan perubahan besar pada institusi keluarga terutama anjakan peranan isteri, ibu dan wanita. Jika sebelumnya semasa Revolusi Pertanian menekankan peranan suami atau bapa dalam memikul tanggungjawab menyara keluarga, pembukaan banyak kilang yang memerlukan tenaga kerja yang banyak, memberi peluang kepada golongan wanita membantu untuk menyumbang kepada meningkatkan pendapatan isi rumah. Hal ini seterusnya secara langsung mahupun tidak mengubah struktur dan cara hidup masyarakat pada waktu itu termasuklah dari aspek pendidikan.

Hari ini setelah beberapa abad, sekali lagi tamadun dunia menyaksikan satu lagi fenomena besara yang berupaya menganjak peradaban manusia melalui arus hebat teknologi komunikasi dan maklumat. Jika dahulu manusia menjadikan jarak dan masa sebagai halangan, hari ini ia tidak lagi menimbulkan masalah. Manusia mampu berhubung dan berkomunikasi antara satu sama lain walau berada di planet yang berbeza. Maklumat dalam kadar yang banyak mampu disampaikan dalam jangka masa yang amat singkat. Justeru, definisi masa dan tempat yang suatu masa dahulu berperanan sebagai kayu ukur dan sempadan kehidupan kini tidak memberi sebarang makna lagi. Malahan internet yang sedikit masa dahulu hanyalah permainan golongan tertentu telah berjaya menyusup masuk ke dalam institusi masyarakat dan membentuk sub budaya terkini. Hal ini terbukti apabila satu kelompok masyarakat di ibu kota menggunakan kemudahan internet untuk membentuk komuniti maya. Komuniti ini menyediakan forum untuk membincangkan pelbagai isu dan topik semasa. Malahan mereka turut mengatur pelbagai acara bertitik tolak dari perbincangan maya tersebut.

Pengaruh internet yang tercetus dari fenomena hebat ini ternyata begitu berpengaruh terutama dalam bidang pendidikan. Pendidikan jarak jauh yang diteraskan kepada kemudahan atas talian memberi peluang kepada lebih ramai untuk menikmati kemudahan belajar. Di samping itu, rujukan pelbagai sumber dari segenap pelosok jagat boleh diperolehi tanpa perlu bergerak dari meja tulis. Terima kasih kepada pelbagai laman web y ang boleh diakses melalui kemudahan internet. Hal ini banyak membantu pelajar-pelajar terutama mahasiswa pusat pengajian tinggi dalam memastikan mereka memperolehi maklumat terkini untuk penyediaan tugasan atau tesis. Ternyata keperluan ini diakui oleh pihak berkaitan apabila baru-baru ini tersiar di akhbar kenyataan membenarkan kafe francais seperti kopitiam, dunkin donut dan starbuck beroperasi di beberapa pusat pengajian tinggi tempatan.

Secara umumnya, hasrat ini menunjukkan betapa golongan mahasiswa mendapat perhatian dalam kepentingan mereka sebagai pelapis kepada pemimpin hari ini. Kejayaan mendidik mereka menjadi insan yang berketerampilan amat siginifikan dalam memastikan keutuhan negara tanpa mengira di sektor mana mereka bakal berada. Tidak dinafikan insan berpengetahuan menjadi tonggak kepada perkhidmatan awam, menjana ekonomi mampan melalui sektor swasta dan menjadi asas komuniti minda kelas pertama melalui pembentukan keluarga bersakhsiah.

Namun apabila direnung dengan lebih jauh, kita harus bijak membuat taakulan terutama semasa negara dilanda cabaran menangani kegawatan seperti sekarang. Pelbagai rombakan telah dilaksanakan demi untuk memastikan negara mampu memikul beban kewangan. Sebagai contoh, baru-baru ini subsidi petrol telah dimansuhkan menyebabkan kenaikan harga petrol secara mendadak. Dipandang sebagai ubat pahit di mana subsidi tersebut hanya dinikmati oleh golongan yang memiliki kenderaan sahaja, rakyat akur dan berusaha untuk berjimat cermat walaupun kenaikan harga bahan api pastinya akan diikuti dengan kenaikan pelbagai barangan utama lain. Bantuan wang tunai pastinya tidak membantu golongan yang tidak memiliki kenderaan sendiri manakala beban kenaikan harga barangan sudah tentu turut dirasai oleh golongan ini. Ternyata pada saat ini, semua lapisan masyarakat didesak untuk menjimatkan apa sahaja yang mampu demi memastikan mereka menikmati taraf hidup yang serupa sebelum kenaikan harga bahan api.

Justeru, rakyat tidak perlu dibebani dengan tuntutan kewangan yang "remeh temeh" seperti kenaikan belanja bulanan anak- anak untuk tujuan perbincangan ilmiah di kafe francais. Seperti yang dimaklumi, mahasiswa pengajian tinggi hari ini tidak lagi menikmati kemudahan pendidikan seperti sepuluh tahun lepas dan rata-rata mereka dibiayai oleh Tabung PTPTN ataupun pembiayaan ibu bapa. Walau bagaimana pembelajaran mereka dibiayai, yang pasti mereka tidak membelanjakan wang titik peluh mereka sendiri kerana masih belum bekerja. Maka, demi untuk keperluan perbincangan ilmiah, anak petani atau nelayan ataupun tukang sapu terpaksa mengunjungi tempat mewah yang tersebut yang telah dipersetujui oleh rakan kumpulan yang lain. Akibatnya, dia terpaksa berbelanja secawan kopi yang sama nilai dengan gaji sehari ibu bapa mereka. Pastinya perkara ini suatu yang tidak adil. Hal ini dibangkitkan kerana alasan yang dinyatakan untuk kebenaran kafe ini beroperasi adalah untuk tujuan perbincangan ilmiah.

Dari satu sudut lain pula, alasan untuk mengelakkan pelajar-pelajar ini dari melepak di luar kampus pula terasa amat pincang. Sudah pasti kita tidak akan memberi kebenaran untuk pusat pusat hiburan dangdut atau kelab malam beroperasi di pusat pendidikan berteraskan ilmu hanya semata-mata kerana terdapat beberapa kerat mahasiswa-mahasiswa bermasalah yang mengunjungi tempat-tempat tidak bermoral seperti itu. Malahan, sekiranya dipandang secara mendalam, mahasiswa-mahasiswa harapan masa hadapan kita sepatutnya tidak menggunakan peluang keemasan berada di menara gading untuk melepak di tempat-tempat mewah seperti itu. Malahan kecenderungan seperti ini menyerlahkan simtom-simtom yang berakar umbi dari permasalahan lain yang lebih serius.

Secara keseluruhannya, keprihatinan pihak berwajib dalam mengenal pasti keperluan golongan pelapis kepimpinan yang menghuni pusat-pusat pengajian tinggi tempatan memang amat dialu-alukan. Hal ini mampu menjamin keupayaan kita membentuk teras negara yang berkualiti dan bersyakhsiah tinggi. Namun, setiap tindakan yang bakal dilaksanakan perlu diteliti secara terperinci supaya ia bakal merealisasikan aspirasi negara dan bukan setakat menyelesaikan masalah secara luaran sahaja seperti kata pepatah "Sekadar melepas batuk di tangga".