(Catatan ini dibuat sebelum melahirkan anak ketiga tetapi tidak dapat diupload kerana masalah talian- waktu tu menggunakan perkhidmatan celcom, sekarang belayar dengan streamix mobility)
Setelah sekian lama menyepi diri hati saya tergerak untuk menulis lagi. Kali terakhir saya mengemaskini blog adalah kira-kira 6 bulan yang lalu, Ogos 2008. Pelbagai sebab yang mendorong saya untuk bercuti sebentar dari menulis. Pertama sekali, saya telah kembali meneruskan pengajian separuh masa saya. Kesibukan menyiapkan tugasan kuliah di samping kerja rasmi menghalang saya dari menjenguk blog.
Tambahan pula saat itu saya telah disahkan akan menerima kedatangan "orang baru" yang ketiga. Tiba- tiba saya hilang minat untuk melakukan kebanyakan perkara yang saya sukai termasuklah aktiviti menulis. Saya bukan sahaja tidak mengemaskini blog ini malahan semua laman maya yang saya sertai. Saya juga hilang minat untuk menghasilkan sajak. Tugasan kuliah pun disiapkan semata-mata kerana telah ditetapkan tarikh hantarnya.
Hari ini saya sedang bercuti rehat menunggu saat-saat kelahiran orang baru. Mungkin rasa gentar menyebabkan saya tercari-cari aktiviti untuk menghilangkan perasaan itu. Pada masa yang sama saya telah menamatkan kelas saya dan sedang menyiapkan projek akhir. Jadi masa lapang saya amat "banyak" berbanding sebelum ini di mana setiap sabtu dan ahad adalah hari sekolah saya.
Dan yang paling penting sekali, sekarang saya mempunyai talian internet di rumah yang memudahkan saya untuk mengemaskini blog bila-bila masa sahaja. Entri ini hanya merupakan langkah permulaan. Semoga lebih banyak entri akan muncul di masa hadapan, Insya'Allah.
No comments:
Post a Comment