Kerap kita merintih di atas kekurangan yang dialami. Gaji yang tidak pernah cukup... Kereta yang kecil... Pekerjaan yang membosankan...
Semua yang kita miliki seolah-olah tidak sesempurna kehidupan orang lain. Mengapa perasaan sebegini kerap menghambat jiwa kita?
Allah berfirman yang kira-kira bermaksud "Sekiranya engkau bersyukur akan aku tambahkan nikmat kepadamu tetapi sekiranya kamu kufur (tidak mensyukuri) sesungguhnya azabku amat pedih".
Sebagai seorang Muslim amatlah sesuai untuk kita menjiwai dan meyakini janji Allah itu. Hal ini kerana Allah tidak pernah memungkiri janji-janjiNya dimana setiap hari sekurang-kurangnya lima kali kita membaca doa selepas azan yang diakhiri dengan "Sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janjiNya".
Adakah ayat Allah di atas bermakna seandainya kita bersyukur maka akan bergoleklah seguni harta dari Allah tanpa perlu kita berusaha? Atau akan melayang sepeti emas di bawa angin hanya dengan kita berpeluk tubuh sahaja? Semestinya suatu perkara yang mustahil.
Lantas, apa maknanya? Atau adakah Allah telah memungkiri janjiNya? Tidak sekali-kali.
Secara pemahaman kasarnya dari pandangan seorang yang tidak mendalami pengajian Islam ke peringkat akar umbi, saya berpendapat bahawa ayat di atas bermaksud dengan menanam sifat syukur di dalam diri kita maka secara terus kita telah diberi nikmat oleh Allah melalui hati yang tenang.
Lantas nikmat ketenangan hati itu sendiri merupakan nikmat yang amat besar yang belum tentu dimiliki oleh golongan yang hidup mewah sekiranya mereka tidak bersyukur. Melalui ketenangan hati kita mampu mencicipi kebahagiaan hidup bersama keluarga. Malahan jiwa yang tenang membolehkan kita berfikiran terbuka dan meningkatkan tahap kreativiti minda.
Hasilnya, tidak mustahil kita akan diberi jalan untuk berusaha dengan lebih giat untuk meningkatkan tahap ekonomi keluarga. Namun, sekiranya usaha kita belum cukup mantap untuk menikmati rezeki lebih golongan yang bersyukur sudahpun menggenggam nikmat ketenangan di dalam jiwa dan seterusnya hidup mereka.
Secara keseluruhan, pastikan kita tergolong dalam golongan yang bersyukur dan kita sudahpun berada di atas lorong yang menuju ke arah kenikmatan dan kebahagiaan hakiki.
WallahuA'lam...
No comments:
Post a Comment