Saturday, 30 May 2009

penjara tanpa bicara



Dalam kamar masa aku terperangkap

mendakap resah dan gelisah
jemari kasar memerangkap kebebasan
kian hari kian erat
tiap saat kian kejap

wahai penjaga kamar yang setia
lepaskan aku dari penjara tanpa bicara
menekan jiwa dari arah berbeza
sehingga terjerat menderas rasa
lantas terjerit tanpa suara

di sini
aku masih terdera...

0135 am
21.05.09

Lovers and Stranger


Sekarang saya sedang membaca buku ini yang ditulis oleh Robert Raymer. Penulis buku kumpulan cerpen bertajuk "Lovers and Strangers" ini merupakan seorang pensyarah Penulisan Kreatif di UNIMAS. Beliau berasal dari Amerika Syarikat dan telah menetap di Malaysia lebih dari 20 tahun.

Sebenarnya saya baru sahaja mengenal penulis ini apabila mengetahui blog Robert Raymer, borneoexpatwriter.blogspot.com dari newsletter MPH Quill. Melalui blog tersebut beliau telah mempromosi kumpulan beliau yang menggamit perhatian saya untuk segera mencari buku beliau di MPH Spring.

Membaca kumpulan cerpen Robert Raymer ternyata tidak mengecewakan. Setelah menikmati 15 dari 17 cerpen saya mendapati cara penulisan beliau begitu menarik terutama kerana kebanyakan latar cerita beliau menggunakan sudut pandang beliau sendiri sebagai seorang ekspatriat terhadap kebudayaan dan cara hidup rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Menerima hakikat bahawa Melayu merupakan kaum majoriti di Malaysia dan Islam pula merupakan ugama rasmi, Robert Raymer berjaya menyelami cara hidup dan konsep pengamalan Islam di Malaysia. Cara penulisan beliau menyerlah penghormatan beliau kepada hakikat tersebut. Hal ini terserlah melalui cerpen "Mat Salleh" yang mengisahkan situasi yang dihadapi oleh seorang rakyat Amerika Syarikat yang mengahwini wanita Melayu semasa beliau pertama kali mengikut isterinya balik ke Malaysia. Penulis ternyata peka dengan adat resam Melayu dan isu ini diketengahkan dengan pendekatan yang amat menyentuh perasaan saya.

Cerpen "The Neighbours" pula mengetengahkan senario masyarakat Malaysia berbilang kaum. Secara bijak penulis menyindir lumrah sesetengah masyarakat yang gemar bercerita mengenai orang lain. Keadaan ini ditimbulkan dengan bijak tanpa beliau prejudis kepada kaum tertentu. Hal ini boleh dikatakan berbeza dengan sesetengah penulis yang pernah menyentuh isu serupa tetapi cenderung untuk memihak kepada golongan tertentu.

Secara keseluruhan kumpulan cerpen Robert Raymer berjaya mengangkat suasana harmoni pelbagai kaum di Malaysia dengan sentuhan yang amat menarik dan bersahaja. Hal ini mungkin kerana beliau melihat keadaan tersebut secara adil sebagai seorang dari budaya dan latar belakang yang berbeza.

Saya mengkategori kan buku ini sebagai "mesti baca". Untuk sesiapa yang berminat untuk menikmati keharmonian kehidupan di Malaysia, buku ini boleh didapati di MPH, Spring.


Friday, 29 May 2009

spektrum asmara

Spektrum rasa
menjalur kasih
di garisan cinta

usah kau tanya
ke mana arah
zarah rindu berkelana

dalam jiwa yang bergelut
akan wujud koordinat yang sama
di sana kita pasti bersua melakar cita
di metropolis asmara...

1623 pm
(latih tubi untuk nada penulisan yang bernada teramat asing)

Tuesday, 26 May 2009

akurlah...


Telah ternyata 
imbangan kejujuran 
dan angka kewarasan
kian mengabur dimamah
nota merah biru ungu

di sana 
jemari haloba 
mencakar kepercayaan
mereka yang berharap
pada keyakinan dan etika

terbakarlah gedung kebanggaan wall street
terbongkarlah tembok kegagahan uncle sam
tercemarlah gelanggang keegoan dunia sana

maka akurlah
kerana kamu juga manusia biasa
seperti mereka yang kerap kau hina...

1105 pm 
26.05.09

(latih tubi sajak yang bernada berbeza dari yang sebelumnya) 

Sunday, 24 May 2009

benih harapan


Menatap hari semalam aku tersenyum
kau bercanda aku adalah kekasih selamanya
memateri cinta dalam degup rasa
di hatiku mawar merah mekar mewangi

hari ini awan hitam mendakap mimpi
di gelora laut akukah nelayan itu
yang kian lemah dan goyah
di mataku mega jingga kian tenggelam

menjangkau hari esok 
belum pasti mentari akan menyapa
kerana kita hanya dua jiwa nestapa
di tanganku tergenggam sebutir harapan...

1100 pm
24.05.09

Thursday, 21 May 2009

si penjaja akhbar



Dalam degup meniti embun pagi
naskah cerita dan berita menyimpan dingin harapan
sambil setia menekur sepi di perhentian sunyi
yang sesekali disinggahi wajah-wajah segar 
di sebalik cermin buram berhawa dingin

helaian biru yang bertukar tangan
adalah senyuman manis anak kecil
menanti bersama mimpi malam tadi
inginkan mainan Barbie
dan basikal kecil bereben merah

Namun
si penjaja akhbar
tetap di perhentian yang tidak lagi sunyi
tapi naskahnya masih setia di sisi...

1458
22.05.09

Thursday, 14 May 2009

Soal jawab agama

Saya kerap keliru mengenai tempoh darah nifas. Almaklum la, urusan melahirkan bukannya berlaku tiap-tiap hari... Lantas untuk mendapat kepastian saya menelusuri internet untuk mendapat maklumat lanjut dan telah terjumpa dengan laman ini http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/09/tempoh-nifas.html.

Berdasarkan pembacaan saya, walaupun terdapat pendapat yang berpegang kepada tempoh 40 hari, ternyata Imam Shafiee berpegang bahawa tempoh 40 adalah kebiasaan untuk darah nifas keluar. Manakala Imam Shafiee berpendapat tempoh maksima darah nifas keluar adalah selama 60 hari.

Hal ini bermakna bagi kita yang mengikut mazhab Imam Syafiee, tempoh maksima untuk nifas sekiranya masih ada darah adalah 60 hari. WallahuA'lam...

Monday, 4 May 2009

Senja...

Seringkali para pujangga mengaitkan senja dengan usia lewat. Kadangkala ia sinonim dengan penghujung kehidupan. Benarkah begitu?... Benarkah senja yang selalunya diwarnai cahaya merah di kaki langit adalah lambang kepada sisa-sisa kehidupan?... Sisa-sisa kehidupan yang jarang menjanjikan pengharapan ataupun peluang masa hadapan.

Mari kita kembali kepada firman Allah yang begitu banyak menghiasi dada Al-Quran. Allah jelas menyatakan bahawa Dia ciptakan malam dan siang bertukar ganti di mana siang adalah untuk dimanfaatkan untuk mencari rezeki yang halal manakala malam pula dicipta untuk kita berehat setelah puas berusaha seharian.

Lantas, di manakah pula peranan senja?... Ternyata senja merupakan waktu transisi di antara malam dan siang. Maka senja sebenarnya bukanlah penghujung kehidupan tetapi sebaliknya adalah sinar harapan untuk mereka yang telah berusaha sepanjang hari. Sinar harapan untuk melepaskan lelah dan bersantai bersama keluarga di malam hari manakala senja beralih pergi.

Di samping itu senja juga menandakan pejuang-pejuang Allah yang sentiasa memanfaatkan malam untuk beribadat akan semakin hampir untuk mendekatkan diri kepada Penciptanya. 

Sinar senja yang merah juga merupakan satu keindahan yang begitu sebentar yang hanya dapat dinikmati oleh mereka yang bijak menghargainya. Sebaliknya mereka yang begitu memandang negatif kepada senja akan berada di dalam kerugian.

Justeru, hargailah senja yang hanya sebentar itu....


Sunday, 3 May 2009

Bersyukurlah...



Kerap kita merintih di atas kekurangan yang dialami. Gaji yang tidak pernah cukup... Kereta yang kecil... Pekerjaan yang membosankan...

Semua yang kita miliki seolah-olah tidak sesempurna kehidupan orang lain. Mengapa perasaan sebegini kerap menghambat jiwa kita?

Allah berfirman yang kira-kira bermaksud "Sekiranya engkau bersyukur akan aku tambahkan nikmat kepadamu tetapi sekiranya kamu kufur (tidak mensyukuri) sesungguhnya azabku amat pedih".

Sebagai seorang Muslim amatlah sesuai untuk kita menjiwai dan meyakini janji Allah itu. Hal ini kerana Allah tidak pernah memungkiri janji-janjiNya dimana setiap hari sekurang-kurangnya lima kali kita membaca doa selepas azan yang diakhiri dengan "Sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janjiNya".

Adakah ayat Allah di atas bermakna seandainya kita bersyukur maka akan bergoleklah seguni harta dari Allah tanpa perlu kita berusaha? Atau akan melayang sepeti emas di bawa angin hanya dengan kita berpeluk tubuh sahaja? Semestinya suatu perkara yang mustahil.

Lantas, apa maknanya? Atau adakah Allah telah memungkiri janjiNya? Tidak sekali-kali. 

Secara pemahaman kasarnya dari pandangan seorang yang tidak  mendalami pengajian Islam ke peringkat akar umbi, saya berpendapat bahawa ayat di atas bermaksud dengan menanam sifat syukur di dalam diri kita maka secara terus kita telah diberi nikmat oleh Allah melalui hati yang tenang.

Lantas nikmat ketenangan hati itu sendiri merupakan nikmat yang amat besar yang belum tentu dimiliki oleh golongan yang hidup mewah sekiranya mereka tidak bersyukur. Melalui ketenangan hati kita mampu mencicipi kebahagiaan hidup bersama keluarga. Malahan jiwa yang tenang membolehkan kita berfikiran terbuka dan meningkatkan tahap kreativiti minda.

Hasilnya, tidak mustahil kita akan diberi jalan untuk berusaha dengan lebih giat untuk meningkatkan tahap ekonomi keluarga. Namun, sekiranya usaha kita belum cukup mantap untuk menikmati rezeki lebih golongan yang bersyukur sudahpun menggenggam nikmat ketenangan di dalam jiwa dan seterusnya hidup mereka.

Secara keseluruhan, pastikan kita tergolong dalam golongan yang bersyukur dan kita sudahpun berada di atas lorong yang menuju ke arah kenikmatan dan kebahagiaan hakiki.

WallahuA'lam...