Monday, 30 June 2008

Pertemuan di lif

Sebaik sahaja pintu lif terbuka, dia melangkah masuk dengan yakin. Bibir nipisnya mekar dengan senyum seolah-olah pagi itu merupakan pagi yang bertuah baginya. Hari itu dia mengenakan baju kemeja hitam. Ia disesuaikan dengan skirt labuh hijau lumut bercorak kulit harimau bintang. Rambut panjang separas bahunya kemas dihias dengan sepit rambut hitam senada dengan kemejanya. Mataku sempat menangkap tahi lalat sebesar mata anak mancis di hujung cuping telinganya.
Perlahan-lahan, wangi haruman yang nyaman menyelubungi ruang lif yang kecil itu. Haruman yang mengingatkan aku pada seseorang. Ingatan yang telah aku lontarkan jauh di gaung sejarah silam. Kerana ingatan itu juga aku terpaksa mendiami kota ini. Kota yang jauh dari segala-galanya yang mengenali diriku. Termasuk keluargaku sendiri.
Ting.Tong. Pintu lif terbuka semula. Terpampang angka sepuluh di dinding luar betul-betul di hadapan pintu lif. Aku terpinga-pinga. Aku keseorangan. Dengan longlai aku mengatur langkah keluar dari lif menuju ke ruang pejabatku yang terletak di sebelah kiri bangunan. Baru aku teringat dengan temujanji yang perlu ku penuhi pada sebelah pagi.

No comments:

Post a Comment