Utusan Malaysia : 08/06/2008
Maklumat penulis tiada dinyatakan.
Prelude
Ada hari dia berasa seperti berada di salah sebuah kepulauan di Caribbean. Hari ini dia berasa seperti berada di Jerlun. Terutama di saat-saat mendengar gesekan biola Dennis Lau dengan lagu 'Prelude'nya. Kereta yang sudah berusia sepuluh tahun itu terus melunjur ke alam nyata, menuju arah gunung ganang yang berlapik-lapik seperti sebuah lukisan.
Memang pemandangan menuju ke Gunung Senggol dari Kuala Sewang itu sebuah percutian mahal baginya. Setiap hari dia memandu ke tempat kerja adalah satu percutian yang indah baginya. Dia bersyukur. Benar-benar bersyukur kerana mempunyai ruang dan waktu berhenti sebentar untuk menghidu wangi mawar di jalanan. Arwah Samad meninggal begitu sahaja. Di atas timbunan kertas kerja projek-projek besar, mengejar masa. Pada usia 38 dia tidak ada masa untuk bersosial dan pada hari kematiannya, dia masih teruna. Tanpa baka untuk meneruskan perniagaannya yang kian meningkat.
Hani memandang jauh ke kawasan pergunungan yang warnanya samar-samar hari ini. Terasa seperti di Black Forest di Jerman.
"Kelemahan umat Islam ialah kerana kita terus menjadi pengguna dan tidak inovatif mereka sesuatu yang baru," terngiang-ngiang di telinga Hani ucap utama Profesor Ismaeel yang datang melawat universitinya kelmarin. Rakan-rakannya tidak habis-habis memuji ilmuan ini. Macam-macam budi dan jasa yang dipersembahkan pada hari Profesor Ismaeel melawat kembali institusi yang beliau tolong merangkakannya. Sukar mempercayai wajah yang begitu bengis telah menyentuh begitu banyak hati di universiti Hani. Hani masih seorang pelajar sewaktu Profesor Ismaeel menamatkan tempoh perkhidmatannya di Malaysia sebagai profesor kontrak. Kata orang, dia tidak mendengar dengan telinganya tetapi dengan matanya. Maka ramailah yang rasa terbelenggu semasa berada di bawah pentadbiran Ismaeel. Jika ingin berbelanja, mereka kena berhati-hati. Tidak ada satu sen pun terlepas dari soal-jawab Profesor Ismaeel yang dikatakan ramai, tidak mengambil sesen pun gaji yang dibayar kepadanya. Dia memang sudah sedia jutawan dan datang ke Malaysia kerana percaya negara ini boleh memimpin negara-negara Islam yang mundur lainnya.
"Ah..agak berbeza sekarang," fikir Hani. Di jabatannya, polisi 'pejabat hijau' yang diperkenalkan oleh Ismaeel tidak lagi menjadi amalan. Pendingin udara tidak lagi diletakkan pada suhu 25 Celsius pada waktu bekerja dan dipadamkan pada waktu rehat. Begitu juga dengan alat-alat elektrik yang lain. Sekiranya selama ini mereka dapat menjimatkan RM30,000 sebulan bil eletrik, kali ini tidak lagi mungkin.
Pengganti Ismaeel sepertinya jua, amat teliti dengan perbelanjaan tetapi seperti yang dinyatakan oleh Ismaeel, seorang pemimpin yang baik tidak mungkin dapat menjamin kesejahteraan sesebuah institusi atau negara jika semua yang terlibat tidak sealiran jiwa seperti pemimpin tersebut. "Tidak mungkin seorang individual bisa merubah segala-galanya hanya dengan kepintaran beliau seorang," hujah Ismaeel dan ini disambut oleh para khalayak yang sedang membayangkan keadaan politik semasa di mana semua orang ingin mengaku bahawa hanya dia yang bertanggung jawab di atas kejayaan negara ini. Tetapi berapa ramai yang ingin memikul tanggungjawab itu jika negara ini menjadi seperti negara-negara mundur lain di dunia. Hani tertanya-tanya.
Hani berhati-hati meletakkan keretanya di tempat yang sudah sedia sempit. Saiz sebuah kubur.
"Hai Hani, awal kau sampai hari ni?" temannya menegur dari celah tiang dan mula ketawa seolah-olah dia baru bangun dari mimpi yang ngeri.
"Terangsang dengan ucap utama Prof. Ismaeel semalam. Aku tak nampak pun kau? Kau pergi tak?"
"Ada.Semua tu karut saja," kata Siti.
"Maksud kau?"
Dan Siti bercerita panjang di sebalik tiang. Kata Siti idea untuk memajukan umat ini kadang-kala hanya retorika. Kita masih bercakap, orang lain dah lama buat, katanya.
"Yah, itulah pun yang cuba diketengahkan oleh Prof. Ismaeel."
"Dan kau terpedaya dengan kata-kata seorang ilmuan yang tidak pandai menghormati wanita ini? Kita tidak punyai tempat di dalam dunia mereka, Hani."
"Aku tidak percaya kepada pemisahan jantina. Ini sangat lapuk. Perjuangan barat sejak lama tetapi tidak harus kita perjuangkan di sini. Tidak ada isu di Malaysia."
"Kata kau. Tetapi dengan globalisasi kemasukan idea ini pun mencurah-curah. Koridor-koridor yang kita bina ini... akan menjadi koridor-koridor gelap jika kita tidak berhati-hati. Takutkan Barat satu hal, takutkan pembenci wanita, yang tidak sekalipun diajar oleh Rasulullah kita, adalah satu hal yang paling aku takuti kerana ia datang bertopengkan Islam," Siti ketawa lagi. Memang sah dia bangun dari mimpi yang buruk. Giginya yang sumbing juga kelihatan. Siti sentiasa sibuk walaupun untuk pergi membuat gigi palsu. Sebab itu marah benar dia bila kehadirannya sebagai seorang pekerja yang komited dan serius ditidakkan oleh ilmuan-ilmuan seperti Profesor Ismaeel.
"Kau tidak dengar semalam Prof. Ismaeel berkata jawatan doktor tidak sesuai dengan fitrah wanita kerana pekerjaan itu merampas masa mereka dari keluarga dan sebagainya?" Mulut Siti berubah menjadi mulut ikan emas.
"Yah, aku dengar dan aku juga berasa begitu tidak selesa kerana padaku itu masalah perancangan masa. Kita bisa sahaja mengatur doktor wanita bertugas di waktu siang dan yang lelaki di waktu malam. Tetapi aku pun terfikir segala kesulitan waktu kerja itu adalah masalah pentadbiran yang bisa saja kita selesaikan. Ia tiada kaitan langsung dengan fitrah wanita."
"There you go! Aku dah kata kadang-kadang ilmuan yang menggunakan label Islam ini mengarut sahaja."
IlmuHani tertanya-tanya sekiranya masalah yang ada di dunia Islam ini bukan masalah kedangkalan ilmu tetapi lebih kepada cara fikir terutama tentang wanita mendapat pendidikan tinggi dan keluar bekerja. Isu yang sepatutnya tidak lagi wujud nampak seperti telah kembali mendominasi hidup ramai orang. Baik lelaki mahupun wanita. Hani rasa seperti berjalan bertapak-tapak ke belakang. Di ketika negaranya bangga dengan peningkatan ramai wanita berpendidikan tinggi, ada pula suara-suara sumbang menyatakan hal inilah punca keretakan rumahtangga dan masalah sosial. Di ketika para ibu boleh mendidik anak-anak mereka dengan ilmu yang lebih dari apa yang dicurahkan sebelumnya kepada mereka kerana ibu mereka tidak diberi peluang seperti yang ada pada mereka hari ini, ada pula suara-suara parau yang mengatakan anak-anak akan lebih terdidik jika ibu-ibu bijak ini duduk di rumah menjadi guru kepada anak-anak mereka sendiri. Soalnya, jika ibu-ibu ini tinggal di rumah, kebanyakan masa, anak-anak mereka sama ada tidur sebagai seorang bayi atau di sekolah sebagai anak-anak sekolah. Masa terluang ibu-ibu bijak ini sepatutnya digunakan untuk membentuk negara sebagaimana mereka berjaya membentuk keluarga mereka sendiri.
Menghormati"Ah Siti. Kau mungkin benar di dalam penafsiran kau tentang alaf baru yang menakutkan ini," fikir Hani sambil menghirup kopi pahitnya di pejabat. Tetapi dia menghormati pilihan yang diberi kepada wanita itu sendiri. Tiada negara yang patut menjadi sebuah negara tirai besi tetapi Hani bersetuju, hormat kepada kaum wanita semakin tiada semakin dunia ini bertambah usianya. Seolah-olah kita di dalam perjalanan pulang ke gua dan akan mula berkomunikasi melalui lukisan-lukisan di atas batu.
Kerana inilah dia putuskan pertunangannya dengan Mansor. Mansor tidak faham cara Hani berfikir. "Engkau terlalu Siti," kata Mansor, kecewa. Mansor bercakap seolah- olah Siti bukan seorang pemikir yang wajar dihormati.
"I cannot live with a man who is not my father," kata Hani pula. Mansor benar-benar terkejut dengan pengucapan Hani itu.
"Kita putus sahaja," Hani nekad.
Mansor pulangkan balik CD Prelude Hani. Hani pulangkan balik anak patung Barbie kepada Mansor. Tidak mungkin Hani boleh menjadi seorang Barbie.
Tetapi setiap hari juga Hani mendengar cd Prelude yang dipulangkan Mansor. Dunianya dilema. Pada satu ketika, dia perlu menjadi Barbie. Pada suatu ketika lain dia ingat pesan ayahnya, "Kita dijadikan Allah sama sahaja. Yang membezakan kita ialah taqwa."
Dan harga diri. Hani bukan barang hiasan. Hani ingin berkeluarga. Punya ramai anak dan mempunyai masa untuk memasak dan menjahit untuk keluarganya. Tetapi Hani juga mempunyai tanggungjawab kepada dunia di luar dunianya.
"Kita tidak boleh menjadi individual yang mementingkan diri kita sendiri," kata-kata Professor Ismaeel bergema di setiap tiang yang Hani lalui. "Kita tidak boleh membina keluarga kita sahaja.Negara kita sahaja," keras ingatan Professor Ismaeel.
Antara bunyi gesekan biola Prelude dan ingatan Professor Ismaeel, Hani menutup kedua-dua telinganya. Dia binggung. Mansor. Ummah. Mansor. Ummah.
"Hei, mengapa kau ni Hani?!!" Siti menjergah dari sebalik tiang lagi.
"Are you OK?" suara Siti cemas bertanya.
Siti membawa Hani ke kafe yang berdekatan. Hani diberinya segelas air berais.
"Engkau perlu cuti. Aku tengok dah dua bulan kau bekerja tak berhenti-henti. Tempat ini tidak akan kehilangan kita bila kita mati, kau tau?" Siti mula menjadi ikan mas yang disayangi semua orang.
"Sejak kau putus tunang dengan Mansor, kau jadi teruk. Makan dan minum tak menentu. Kalau kau tak sanggup berpisah, pergi semula ambil Barbie kau itu. Rujuk semula," Hani tahu Siti ikhlas mahukan kebahagiaannya.
"Aku tak tau, Siti. Aku di persimpangan." Hani nampak Siti menenggelamkan mata hitamnya ke atas. Siti bukan seorang yang romantik.
"Aku tahu kita berada di tahun 2008. Dilema yang aku hadapi ini adalah dilema kaum wanita di tahun 60-an atau 70-an. Lucu, kan?"
"Tidak lucu langsung, Hani. Tidak ada seorang wanita pun yang akan ketawa," kata Siti sambil meluruskan jubah hitamnya. Di kiri tangannya dia memegang telefon bimbit dan menghantar SMS.
"Siapa yang kau SMS tu?"
"Kawan. Dia terjumpa barang kau tertinggal di perpustakaan waktu kau pergi memulangkan buku tadi. Sebentar lagi dia datang."
Mereka duduk menghirup minuman masing-masing. Angin bertiup damai. Hani berasa sedikit bodoh. Masalah yang dihadapinya bukan seperti mangsa gempa bumi atau taufan di bumi lain. Jika dia tidak bisa mengendalikan perasaannya, dia tidak mungkin boleh mengendalikan masalah ummah.
"Saya fikir ini Dr. Hani punya?" tangan yang agak kasar menghulurkan sesuatu kepada Hani.CD Preludenya.
Hani melihat ke atas.
"Mansor!"
Siti beredar dari situ.